SEJARAH PENUBUHAN MALAYAN UNION

PENUBUHAN MALAYAN UNION
Oleh
Tun Sheikh Engku Bendahara

Ketika Tanah Melayu diperintah Jepun pada tahun 1943, Pejabat Tanah Jajahan British dan Pejabat India British telah merangka sebuah kerajaan baru untuk Tanah Melayu dan telah dipersetujui oleh kerajaan British di London. British begitu yakin akan berjaya menawan Tanah Melayu semula daripada Jepun berikutan kejayaan Tentera Berikat di Eropah menawan semula beberapa negara daripada Jerman. Bentuk pemerintahan baru ini telah dirangka tanpa perwakilan dan pengetahuan orang Melayu kerana British menganggap kedaulatan Tanah Melayu tidak lagi wujud setelah kalah dalam peperangan. Kerajaan baru ini dikenali sebagai Malayan Union. British menganggap hak mutlaknya untuk menentukan bentuk pemerintahan dan kerajaan Tanah Melayu apabila berjaya mengusir Jepun.

Tujuan utama penubuhan Malayan Union ialah untuk memiliki dan menguasai Tanah Melayu. Tanah Melayu juga ialah sebuah negeri yang kaya dengan sumber ekonomi daripada sumber bumi. Kedudukan geografi Tanah Melayu pula sangat sesuai dijadikan sebagai sebuah negeri pengguna dan agen pasaran barangan dagangan Inggeris di timur. Selain itu, British juga telah menjangkakan akan kehilangan beberapa buah negeri tanah jajahannya akibat Peperangan Dunia Kedua. Daripada pengalaman pentadbiran pula, Tanah Melayu dianggap mudah diperintah kerana orang Melayu dianggap mempunyai budi bahasa yang tinggi, bersikap lemah lembut dan mudah mengikut telunjuk.

Berita rancangan Inggeris menubuhkan Malayan Union telah tersebar luas dalam akhbar-akhbar di India dan London. Berita ini juga segera mendapat liputan akhbar di Singapura dan Pulau Pinang kerana terdapat beberapa kumpulan elit dan ahli parlimen Inggeris yang tidak menyetujuinya. Ini adalah kerana kemenangan tentera Inggeris adalah dengan kerjasama Tentera Berikat dan Tanah Melayu bukanlah Tanah Jajahan Inggeris. Sebelum perang meletus, British telah berjanji untuk memulangkan kuasa Raja-raja Melayu dibawah Dasar Decentralisasi. Malayan Union dikhuatiri akan mengakibatkan huru-hara dan akan merugikan kerajaan British. Untuk mengatasi masalah itu kerajaan British telah menghantar sebuah jawatan kuasa meminta persetujuan Raja-raja Melayu yang diketuai oleh Sir Harold Mac Michael sebaik saja Jepun menyerah kalah.

Sir Harold Mac Michael telah tiba di Tanah Melayu pada bulan Oktober 1945. Beliau telah berjaya memperdaya dan memujuk raja-raja negeri Melayu dengan pelbagai muslihat dan ancaman. Beliau juga telah mempergunakan nama dan pengaruh Sultan Ibrahim Johor bagi mendapatkan tandatangan raja-raja Melayu dan kembali ke London pada 26 Disember 1945. Beliau telah berjaya menyakinkan pihak kerajaan British mengenai tandatangan yang diperoleh adalah secara sukarela daripada raja-raja Melayu.

Di dalam perlembagaan Malayan Union, kesemua 9 buah negeri Melayu, Melaka dan Pulau Pinang disatukan sebagai sebuah tanah jajahan Inggeris yang diketuai oleh seorang Gabenor British. Singapura tidak dimasukkan kerana British menganggap Singapura telah menjadi milik mutlak Inggeris yang diperoleh melalui perjanjian dengan Sultan Hussin. Semua bidang kuasa raja-raja Melayu dalam kerajaan Malayan Union termasuk hak menentukan dasar luar negeri diambil alih oleh Gabenor . Raja-raja Melayu walaupun diberi hak terhadap agama dan adat resam Melayu tetapi tidak mempunyai kuasa ke atasnya kerana baginda hanya bertaraf ahli biasa dalam Majlis Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Gabenor Malayan Union. Perlembagaan Malayan Union juga mengiktiraf taraf kerakyatan pendatang asing melalui lunas ‘Jus Soli’ mengikut kelahiran dan juga kelonggaran diberi kepada kaum pendatang yang memohon menjadi rakyat Malayan Union.

Sebelum perang meletus, orang Melayu telah terdedah dengan pelbagai pandangan agar pihak Inggeris tidak memperkecil keupayaan dan hak-hak orang Melayu dalam pelbagai bidang kehidupan. Masalah pendidikan, ekonomi dan pengambilan pegawai dan kakitangan kerajaan dianggap tidak seimbang kerana British mengenepikan orang Melayu. Kerajaan British juga terus membawa masuk sebegitu banyak buruh asing dan hal ini tidak disenangi oleh cendekiawan Melayu kerana mewujudkan keadaan yang tidak seimbang dalam pola masyarakat.

Apabila Sir Harold Mac Michael datang dan berjaya mendapat tandatangan raja-raja Melayu, orang-orang Melayu berasa yakin bahawa segala yang dijanjikan oleh British sebelum perang untuk memulangkan kuasa raja-raja adalah pembohongan belaka. Penjelasan British yang menyatakan Malayan Union adalah ke arah persediaan untuk bekerajaan sendiri tidak dapat diterima oleh orang-orang Melayu kerana perlembagaan Malayan Union itu sendiri akan melenyapkan maruah dan ketuanan Melayu.

Dalam suasana kebimbangan dan bercampur marah itu Dato Onn telah diminta mengetuai orang Melayu kerana beliau pernah menyeru supaya orang Melayu bersatu padu untuk membaiki nasib di tanah air sendiri. Gagasan fikiran dan pandangannya di akhbar-akhbar sebelum perang dan cita-citanya untuk menyatupadukan orang Melayu pernah diucapkan ketika menghadiri Kongres Melayu di Singapura pada tahun 1940. Beliau dilihat sebagai seorang tokoh yang amat sesuai untuk semua golongan masyarakat dari rakyat biasa hingga kerabat diraja termasuk berhadapan dengan pegawai-pegawai tertinggi Inggeris kerana latar belakangnya.

Sehubungan dengan itu, Dato’ Onn yang baru saja berjaya mengamankan pergaduhan kaum di Batu Pahat segera menyeru perpaduan Melayu melalui akhbar-akhbar untuk menentang Malayan Union. Beliau telah menubuhkan Pergerakan Melayu Semenanjung pada 3 Januari 1946. Beliau telah menyeru agar orang Melayu segera berkumpul dan bersatu padu dan telah mendapat sokongan serta kerjasama yang tidak berbelah bagi hingga terlangsunglah perjumpaan pemimpin-pemimpin pertubuhan dan persatuan Melayu dari seluruh negara dalam Kongres Melayu Pertama di Kelab Sultan Sulaiman pada 1 hingga 4 Mac 1946.

Sebelum itu, seruan Dato’ Onn telah membangkitkan semangat perpaduan Melayu di beberapa negeri dan berjaya mengadakan rapat-rapat umum membantah penubuhan Malayan Union. Di Kuala Kangsar, lebih 25,000 orang telah mengadakan perarakan raksasa membantah Malayan Union pada 15 Januari 1946. Tetapi pada 22 Januari 1946 pihak British tetap meneruskan agendanya mengumumkan penubuhan Malayan Union yang akan berkuatkuasa mulai 1 April 1946. Dua hari selepas itu, sekali lagi Dato’ Onn menyeru melalui akhbar Majlis mencadangkan pertemuan dan perpaduan Melayu dalm satu kongres disegerakan.

Di merata negara, perarakan-perarakan kecil telah diadakan. Pada 2 Februari 1946 satu perarakan seramai lebih 36,000 orang telah berjaya diadakan di Kota Bharu Kelantan. Di Batu Pahat sendiri telah diadakan perarakan besar-besaran dan seramai 18,000 orang Melayu telah keluar berjalan kaki ke Bandar Batu Pahat mengikut serta menunjuk perasaan membantah Malayan Union pada 10 Februari 1946. Ikrar membantah penubuhan Malayan dibaca oleh Kiai Salleh. Sepanjang perarakan, slogan ‘Hidup Melayu’ terus dilaungkan dan bergema di sana sini. Perarakan yang bermula di Jalan Sultanah berkhir di Padang Pejabat Kerajaan Batu Pahat. Di sini, Dato’ Onn telah berapi-api memberi ucapan menentang Malayan Union dan mengecam kerajaan British sebagai tidak berprikemanusiaan merampas hak orang Melayu..

Di dalam Kongres Melayu Pertama pada 1 hingga 4 Mac 1946, PEKEMBAR atau UMNO ditubuhkan tetapi kerajaan British tetap berhasrat mengadakan majlis pengistiharan Malayan Union dan perlantikan Gabenor Malayan Union, Sir Edward Gents pada 1 April 1946. Sehari sebelum pengistiharan, Dato’Onn telah mengadakan Mesyuarat Tergempar PERKEMBAR di Kuala Lumpur untuk bertindak mengadakan perarakan dan memujuk raja-raja Melayu memulaukan majlis. Orang-orang Melayu juga diseru supaya berkabung dengan memakai songkok berlilit putih dan berbaju putih selama seminggu. Hal ini telah berjaya dilakukan dan pihak British amat terkejut apabila raja-raja dan pembesar Melayu memulaukannya manakala beribu-ribu orang Melayu berkumpul di hadapan Station Hotel, Stesen Kereta api Kuala Lumpur membantah penubuhan Malayan Union.

Walau pun begitu, British tetap meneruskan rancangannya kerana berasa yakin raja-raja dan pembesar Melayu masih menyokong dan menyebelahi kerajaan British. Jentera kerajaan juga tidak lumpuh kerana majoriti kaum yang berkhidmat dengan British adalah terdiri daripada kaum pendatang. Gabenor yang dipulaukan terus menjalankan tugas tetapi akhirnya berhadapan dengan pelbagai kesulitan apabila raja-raja dan pembesar Melayu serta pegawai-pegawai tinggi Melayu bersikap berkecuali dan pasif. Beliau mengambil iniasiatif dengan memujuk agar Malayan Union diterima tetapi beliau sendiri berasa simpati kerana kerajaan British dianggap telah bertindak begitu jauh tanpa mempedulikan maruah bangsa Melayu.

Pada 11 Mei 1946, sekali lagi pemimpin-pemimpin pertubuhan dan persatuan orang-orang Melayu berkumpul menghadiri persidangan di Istana Besar Johor Bahru dan penubuhan PERKEMBAR telah diisytiharkan dengan rasminya sebagai satu persatuan mewakili seluruh orang Melayu. PERKEMBAR atau UMNO selepas itu telah menyusun secara teratur pelbagai aktiviti membantah Malayan Union hingga akhirnya Britis terpaksa tunduk mengikut kehendak UMNO merangka perlembagaan baru mewujudkan Persekutuan Tanah Melayu. Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu telah ditandatangani oleh raja-raja Melayu dengan pihak Inggeris pada 21 Januari 1948 dan dikuatkuasakan pada 1 Februari 1948. Mulai dari tarikh itu Malayan Union dibubarkan..

Sumber Rujukan
1. Abu Bakar Hamid ..et al, UMNO Johor 50 Tahun Memartabatkan Bangsa Melayu, , Yayasan Warisan Johor, J. Bahru, 1996.
2. Abu Bakar Hamid & Md Ismail Zamzam (Edt.), Pejuang Terbilang Johor, Yayasan Warisan Johor, J. Bahru, 2002.
3. Abu Bakar Hamid & Md Ismail Zamzam (Edt.), Tokoh Ternama Johor, Yayasan Warisan Johor, J. Bahru, 2003.
4. Buyong Adil, Sejarah Johor, DBP, K. Lumpur, 1980.
5. Ghazali bin Mayudin, Johor Semasa Pendudukan Jepun 1942-1945, K.Lumpur 1978.
6. Hari Ini Dalam Sejarah Jilid I, Arkib Negara Malaysia, K. Lumpur, 1981.
7. Hari Ini Dalam Sejarah Jilid II, Arkib Negara Malaysia, K. Lumpur, 1982.
8. Ramlah Adam, Dato’ Onn Jaafar Pengasas Kemerdekaan, DBP, K.Lumpur, 1992.
9. Tan Sri Datuk Abdul Samad Idris, 25 Tahun Merdeka, Pustaka Budiman, K. Lumpur, 1982.
10. UMNO Bahagian Batu Pahat, Sejarah UMNO Suku Abad, UMNO Batu Pahat, 1971.
11. Barbara Watson Andaya and Leonard Y.Andaya, A History of Malaysia, Palgrave, Hampshire, 2001.

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Sejarah
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere