Dato’ Onn Jaafar: Mulut Saya Dijahit

4 comments

Dato’ Onn Jaafar: Mulut Saya Dijahit

Satu ungkapan yang menarik daripada Dato’ Onn setelah berjaya menumbangkan Malayan Union pada tahun 1948 ialah ‘Mulut Saya Dijahit”. Berbagai interpretasi pengkaji sejarah politik cuba menghurai ungkapan ini dan mengapa diungkapkan oleh Dato’ Onn, seorang tokoh yang amat berjasa yang telah menubuhkan UMNO dengan rasminya di Johor Baru pada 11 Mei 1946. Terdapat banyak sebab mengapa ungkapan ini sering disebutkan oleh Dato’ Onn pada tahun 1948. Ada diantara pengkaji sejarah dan penulis politik menjelaskan ungkapan ini adalah ketika Dato’ Onn berhasrat meninggalkan UMNO kerana merajuk dengan karenah orang Melayu yang menuntut kemerdekaan dan menuduh Dato’ Onn tidak mencita-citakannya kerana telah terpengaruh dengan pemerintahan British dan dituduh sebagai anak didikan dan anak emas British. Malah Dato’ Onn juga pernah dituduh oleh orang UMNO sendiri sebagai pengkhianat bangsa.

Ada pelbagai tokmahan dan juga fitnah daripada pihak yang tidak menyukai Dato’ Onn, daripada kalangan pemimpin Melayu menguar-uarkan bahawa Dato’ Onn sudah tidak boleh diharapkan lagi untuk dijadikan wakil atau ketua orang Melayu atau UMNO itu sendiri kerana Dato’ Onn sudah termakan budi Inggeris, diberi kesenangan, pangkat dan dengan sebab itu beliau terpaksa mengikut telunjuk Inggeris. Terdapat juga beberapa tulisan daripada wartawan akhbar Melayu yang mengatakan bahawa Dato’ Onn tidak banyak memperjelaskan isu tuntutan kemerdekaan kerana dilarang dan diugut oleh Sultan Ibrahim dan kerajaan Inggeris. Sultan Ibrahim Johor tidak bersetuju orang Melayu menuntut kemerdekaan kerana baginda menganggap orang Melayu masih belum sedia dari segi pelajaran dan teknologi kerana bidang itu jauh ketinggalan sehingga ungkapan Sultan Ibrahim Johor menyindir orang Melayu “Untuk membuat sebatang jarum pun masih tidak tahu, sudah ingin merdeka pula”.

Terdapat beberapa catatan kewartawanan dalam akhbar-akhbar Melayu semasa itu mengatakan bahawa ungkapan itu memang ada hubungan kaitnya dengan teguran Sultan Johor dan juga ugutan kerajaan British. Beliau pernah diugut untuk didakwa kerana sering mewujudkan keadaan yang tidak tenteram melalui penulisan beliau di dada akhbar pada tahun-tahun 1930-an yang banyak mengkritik suasana istana Johor dan gaya hidup anak-anak raja yang mengenepikan adat resam Melayu dan juga sifat hipokrit pegawai-pegawai Inggeris. Beliau juga dianggap pencetus huru-hara oleh Inggeris kerana berjaya menyatukan orang Melayu menentang gagasan Inggeris ketika menubuhkan Malayan Unioun. Dato’ Onn sejak zaman kanak-kanak hingga dewasa dianggap telah menyusahkan Inggeris.

Beliau juga telah dituduh menghasut rakyat menuntut kemerdekaan. Ada juga yang mengatakan Dato’ Onn sering menjawab seolan-soalan wartawan dengan ungkapan itu kerana tidak mahu persoalan mengenai perhubungannya dengan kerajaan British dan Sultan Johor diperbesar-besarkan. Ramai pemimpin Melayu dari pertubuhan Melayu yang bergabung dengan UMNO telah termakan dengan propaganda British terhadap Dato’ Onn tanpa mengetahui pada hakikatnya Dato’ Onn bukanlah anak emas British mahupun Sultan Ibrahim Johor tetapi sejak dari kecil beliau sebenarnya membenci Inggeris yang dianggapnya kaki pengampu raja-raja dan memerintah secara menipu. Inggeris memang mengakui bahawa Dato’ Onn adalah seorang tokoh yang merbahaya dan akan menghalang perancangan dan kepentingan British di Tanah Melayu.

Dari maklumat sejarah lisan yang disampaikan oleh Encik Yon bin Mian (1913-1996) bekas pemain tenis Melayu terkenal dan salah seorang ahli jawatankuasa dan penyokong kuat Parti Negara yang aktif di Batu Pahat pada awal penubuhan parti itu, pernah menjelaskan apa yang diketahuinya daripada Dato’ Onn sendiri berkenaan ungkapan: ‘ Mulut saya dijahit’. Dato’ Onn memberitahu beliau dan semua ahli jawatankuasa Parti Negara Batu Pahat dalam pertemuan membincangkan strateji pilihanraya di mana beliau akan menjadi calon di Batu Pahat bahawa ungkapan itu adalah berikutan dilemma beliau yang berasa tertekan dan serba salah pada tahun 1946 hingga 1948 apabila ramai orang Melayu mempertikaikan matlamat perjuangannya setelah Malayan Union berjaya ditumbangkan.

Dato’ Onn seolah-olah terpaksa bungkam kerana amaran dan ugutan dari pelbagai pihak termasuk Inggeris dan Sultan Johor. Tetapi beliau dengan bijaksana telah berjaya menekan Inggeris dan juga raja-raja Melayu agar menerima cadangannya terhadap kepentingan orang Melayu dengan merealisasikan idea beliau secara bertulis dalam perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu untuk masa depan bangsa Melayu, tanahair Persekutuan Tanah Melayu dan agama Islam.

Setelah Malayan Union dibubarkan pada 31 Januari 1948 tiba-tiba beliau didesak menuntut kemerdekaan. Untuk merdeka memang ada difikirannya dan menjadi tujuan utama beliau tetapi beliau mengunjurkan supaya merdeka pada tahun 1958. Beliau mengirakan selama 10 tahun diperlukan untuk memajukan system pelajaran dan perekonomian Melayu dengan bebas, kuat dan mantap sesuai dengan persediaan merdeka atau berkerajaan sendiri Beliau berpendapat adalah baik dan selamat jika strateji mengemaskini bidang ekonomi dan pendidikan diutamakan dulu dan menggunakan hubungan baik dengan Inggeris untuk memajukan bidang tersebut dengan mudah. Tetapi ini tidak dapat diterima oleh majoriti ahli UMNO kerana luapan semangat kebangsaan dan kebencian kepada Inggeris.

Dato’ Onn yakin jika merdeka secara tergesa-gesa tanpa sebarang persediaan, beliau percaya kemerdekaan itu sendiri tiada ertinya jika negara lemah dari segi ekonomi dan rakyat kurang berpendidikan. Negara yang lemah akan mudah dijajah oleh kuasa asing yang kuat dan besar. Lebih-lebih lagi pada ketika itu perekonomian dan perusahaan utama seperti perlombongan dan perladangan dimiliki secara persendirian oleh orang barat. Merdeka tanpa menguasai perekonomian negara akan merugikan orang Melayu sendiri.

Ketika berhujah untuk mengutakmakan pelajaran, beliau telah disindir dan diperkecilkan serta dianggap tidak layak lagi memimpin UMNO kerana beliau tidak berpendidikan tinggi. Dato’ Onn mengakui bahawa beliau pernah menggenang airmata apabila bangsanya sendiri memperlekeh beliau kerana tidak berpelajaran tinggi atau memiliki sebarang ijazah dan beliau sangat kecewa apabila dituduh sebagai pengkhianat bangsa kerana tidak bersetuju untuk menuntut kemerdekaan segera secara paksa, rundingan mahupun pertumpahan darah atau pengorbanan nyawa.

Dato’ Onn juga berasa kesal apabila dituduh sebagai pembelot dan sebagai anak emas British. Sebenarnya beliau juga sedia maklum usaha kerajaan British untuk menyingkirkan dirinya kerana dianggap terlalu bahaya dan merupakan seorang pemimpin Melayu yang berjaya membuka mata orang Melayu dan menyusahkan Inggeris. Inggeris juga sentiasa berusaha secara halus supaya Dato’ Onn dibenci oleh orang Melayu sendiri. Inggeris pernah meminta Dato’ Onn berundur dan digantikan dengan orang yang dianggap diterima baik oleh Inggeris dan raja-raja Melayu iaitu YM Tunku Abdul Rahman. Dato’ Onn segera menulis surat peribadi kepada YM Tunku Abdul Rahman secara sulit dangan kata-kata permintaan yang agak keras iaitu ‘..soal orang Melayu, saya memohon Tunku janganlah menyibuk..” Surat ini amat memberi kesan yang mendalam kepada YM Tunku yang telah bersetuju untuk mengambilalih kepimpinan Dato’ Onn setelah dipujuk oleh British. Berikutan itu YM Tunku terus membuat keputusan untuk ke London menyambung pelajarannya. Beliau hanya mengambilalih kepimpinan Dato’ Onn dalam UMNO pada tahun 1951 apabila Dato’ Onn keluar dari UMNO dan menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP).

Dato’ Onn menganggap sentiment emosi dan kemaruk semangat kebangsaan yang membara telah membuat orang Melayu tidak dapat berfikir jauh dengan wajar. Dato’ Onn dapat membaca tipu helah Inggeris yang tidak dapat difahami oleh orang Melayu. Ini adalah kerana beliau membesar dalam lingkungan dan persekitaran yang sama seperti mereka sama ada di Johor mahupun di Britain sejak kecil hinggalah dewasa.

Oleh sebab itulah beliau telah menerima tawaran Sultan Johor untuk menjadi Menteri Besar Johor agar dapat mempergunakan kedudukan itu bagi menyusun rancangan kearah kemerdekaan. Ketika menjadi menteri besar, beliau telah ditegur beberapa kali oleh sultan yang dipercayai termakan hasutan Inggeris supaya memecat Dato’ Onn kerana enggan mendengar nasihat dan enggan mengikut telunjuk mereka yang mendakwa rapat dengan sultan Johor. Dato’ Onn dituduh telah salah menggunakan kuasa dan kedudukan sebagai menteri besar kerana banyak menumpukan perjuangan Melayu daripada memajukan Johor. Apabila Sultan Ibrahim mencabar beliau agar meletak jawatan dan menumpukan politik, Dato’ Onn telah menyahut cabaran itu dan meletak jawatan Menteri Besar. Beliau telah memberitahu orang ramai betapa jahatnya perancangan British untuk menjajah Tanah Melayu semula melalui kedudukan sultan Johor tetapi ramai tidak mempercayainya.

Diwaktu yang sama, beliau terus menuntut kerajaan Inggeris melaksanakan butiran perlembagaan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu yang telah diterima oleh Ingggeris bagi menggantikan Malayan Union. Desakan Dato’ Onn ini tidak menyenangkan British dan mereka telah menuduh Dato’ Onn mempunyai rancangan pribadi dan berkepentingan diri sendiri. Inggeris memaksa orang Melayu mesti menerima semua pendatang asing sebagai warganegara dan mempunyai keistimewaan sama seperti orang Melayu. Inggeris juga mencadangkan supaya Dato’ Onn membuka keahlian UMNO kepada bangsa lain jika benar-benar ingin merdeka. Hal ini telah menjadi kemarahan orang Melayu dan mereka telah menuduh Dato’ Onn sebagai pengkhianat sehingga Dato’ Onn terasa begitu tertekan dan tidak berpeluang memperjelaskan keadaan sebenar.

Paksaan dan ugutan Inggeris agar UMNO menerima pendatang asing sangat memeritkan dan menyakitkan hati Dato’ Onn. Inggeris yakin strateji mereka untuk menyingkirkan Dato’ Onn akan berjaya. Mereka khuatir jika mereka membiarkan Dato’ Onn terus menerajui UMNO dan merdeka, besar kemungkinan Dato’ Onn akan membelakangkan nasihat dan tiada hubungan baik antara Tanah Melayu dan British. Manakala pada waktu yang sama British mempunyai dasar penjajahan langsung kepada Tanah Melayu bagi memastikan bahan mentah dan segala keperluaan dagangan yang menguntungkan British selama ini berterusan.

Dalam suasana getir dan tegang berhadapan dengan orang Melayu, Sultan Johor dan raja-raja Melayu serta Inggeris inilah, Dato’ Onn berada dalam dilemma dan mengeluarkan ungkapan ‘ mulut saya sudah dijahit….”. Ini adalah kerana beliau tahu bahawa orang Melayu tidak akan menerima cadangannya yang sebenarnya disyaratkan oleh Inggeris jika orang Melayu hendak merdeka. Beliau juga tahu bahawa beliau akan dibenci dan ditolak oleh orang Melayu sendiri kerana jarum halus yang dicucuk Inggeris mengatakan Dato’ Onn ingin memimpin seluruh Tanah Melayu dan berkepentingan peribadi. Beliau juga yakin bahawa beliau akan disingkirkan jika tidak bersetuju memperjuang kemerdekaan segera. Beliau juga tahu bahawa ini adalah salah satu strateji Inggeris untuk menyingkirkan dirinya dari pesada politik Tanah Melayu.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Kelab Sultan Sulaiman KL 1.3.2012

 
Copyright 2009 Sejarah
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere