Sejarah Pembukaan Kampung Sungai Abong

4 comments


Sejarah Pembukaan Kampung Sungai Abong

Sungai Abong telah diteroka oleh Hj Abdullah Taiko pada tahun 1885. Nama sebenar beliau ialah Panglima Haji Muhamad Salleh yang telah membawa diri dari Istana Sri Menanti Negeri Sembilan kerana berkecil hati terhadap perlakuan keluarga Tuanku Yam Tuan Antah yang meragui kesetiaan dan pengabdiannya sebagai panglima daripada keturunan Jawa. Beliau telah merantau ke Hulu Muar untuk mencari sanak saudaranya. Panglima Muhamad Salleh kemudian ke Muar dengan para pengikutnya apabila mendengar sebuah kampung Jawa yang begitu makmur telah dibuka oleh seorang saudagar Jawa. Saudagar Jawa itu ialah kerabat diRaja  Cerebon. Mereka terkenal sebagai saudagar raja Cerebon yang mendapat kebenaran khas dan bebas berdagang di seluruh Nusantara  dari Belanda . Mereka telah membuka Kampung Jawa dari muara Sungai Bentayan ke hulunya atas perintah Orang Kaya Muar pada tahun 1869.

Panglima Muhamad Salleh telah diberitahu oleh pengikutnya bahawa Naib Penghulu Kampung Jawa mempunyai pertalian darah keturunan Jawa dengan Penghulu Kesang, seorang saudagar kaya berketurunan Jawa di Bandar Melaka yang telah diangkat menjadi penghulu Kesang oleh Sultan Ali ibni Sultan Hussin Singapura. Ketika itu Naib Penghulu Kampung Jawa sedang giat menggalakkan orang Jawa dan membawa ramai sanak saudara dari Pulau Jawa tinggal di Kampung Jawa Muar dan membuka kebun di pedalaman seperti di Bukit Gambir, Panchor, Gersik di tebing kiri sungai Muar yang dikuasai oleh Penghulu Kesang dan di Sungai Raya dan Pagoh . Kampung Sungai Raya di Bukit Pasir Muar juga telah dibuka oleh Haji Muhamad Noh. Kampung Sungai Raya adalah sebuah kampung di sebelah tebing kanan yang telah dianugerahkan oleh kerabat diraja Pahang kepada Haji Muhamad Noh setelah bernikah dengan adik Penghulu Pagoh iaitu anak Engku Muda Mansor bin Bendara Tun Ali Pahang.

 Panglima Muhamad Salleh dan pengikut-pengikutnya telah diundang oleh Haji Muhamad Noh untuk tinggal di Kampung Jawa dan membuka kebun. Ketika itu Haji Muhamad Noh juga sedang sibuk mengumpul orang-orang Jawa untuk membantu bapa mertua beliau, Engku Muda Mansor, adinda Sultan Ahmad Pahang untuk memberontak dalam perbalahan kerabat istana. Haji Muhamad Noh telah membekal belanja, senjata dan orang-orang Jawa tetapi pemberontakan yang dirancang oleh bapa mertuanya telah dihalang oleh Inggeris.

 Di Muar, Panglima Muhamad Salleh tinggal bersama isterinya,  Tuanku Khadijah binti Tuanku Muda Chik yang telah mengikutnya membawa diri. Mereka telah dibawa bertemu Penghulu Muar, Orang kaya Joned dan digalakkan membuka penempatan atau kebun di Kampung Jawa yang berdekatan dengan Bandar Maharani kerana khidmat beliau yang berpengalaman sebagai panglima penting bagi  keselamatan bandar yang baru dibuka dan sedang pesat membangun. Beliau telah diterima baik oleh Orang Kaya  dan  orang Melayu Muar. 

Naib Penghulu  Kg Jawa, Hj Muhamad Noh telah menyuruh Panglima Salleh tinggal dekat dengan beliau dan  membuka penempatan dari Batu 2 ke utara bersempadan dengan sebuah anak sungai Muar. Anak sungai ini telah diberi nama Sungai Abong bersempena nama hasil dan kemahiran anak-anak buah dan pengikut Panglima Mohd Salleh yang mahir membuat gula abong dari pohon-pohon nipah yang banyak terdapat di situ.  Sungai Abong juga dipercayai mendapat namanya kerana banyak pokok nibong yang terdapat di situ. Batang-batang pokok nibong telah diperdagangkan oleh anak buah Haji Muhamad Salleh kepada pembeli untuk dibuat  rumah,  jeti atau jambatan dan perangkap ikan.

 Gula abong dan batang nibong yang dihasilkan oleh anak-anak buah Panglima Mohamad Salleh dijual kepada Hj Mohamad Noh selaku orang tengah yang terkenal sebagai seorang peniaga Jawa. Disamping sebagai Naib Penghulu, beliau juga adalah saudagar sagu, hasil kebun dan hutan dan pedagang barangan kemas jawa di Pekan Muar.  Daripada penjualan batang nibong dan gula abong, nama kampong yang diterokai oleh Haji Mohamad Salleh dikenali sebagai Kampung Sungai Abong.

 Pada tahun 1889, Hj Mohd Salleh telah menubuhkan pasukan askar rakyat yang terdiri dari pengikutnya dan penduduk Kg Jawa menghalang dan mematahkan pemberontakan kongsi gelap Cina yang telah datang dari kangkar-kangkar Cina yg berdekatan ke Bandar Maharani. Mereka memberontak dan membakar Bandar Maharani kerana tidak berpuas hati terhadap keistimewaan yang diberikan oleh kerajaan Johor kepada kongsi atau kumpulan Nee Heng (Kumpulan Gee Hin). Cetusan ketidakpuasan hati ini dimulakan oleh Puak Hai San yang berpengaruh di Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Pulau Pinang tetapi tidak mendapat tempat dalam pemerintahan kerajaan Johor. 

Setelah kejayaan itu, Panglima Muhamad Salleh yang menggunakan nama sebagai Haji Abdullah sejak datang dari Negeri Sembilan menjadi terkenal dan popular sebagai Abdullah Taiko. Perkataan Taiko yang terkenal dikalangan masyarakat dan kongsi Cina bermaksud sangat hebat dan handal dalam seni mempertahan diri. Haji Abdullah Taiko sangat dihormati dan ditakuti oleh masyarakat Cina Muar. Beliau telah diarah melatih dan mengekalkan angkatan beliau sebagai tulang belakang kerajaan Muar bagi  mengatasi dan mengimbangi pengaruh dan aktiviti kongsi-kongsi gelap di Bandar Maharani secara berahsia dan sulit. Kumpulan beliau terkenal sebagai Kumpulan Harimau Muar dan telah dibubarkan oleh cucunya, Md Yasin JMF pada tahun 1948 kerana tidak bersetuju Kumpulan Harimau dipergunakan oleh pemimpin Melayu dalam arus politik moden.

 Apabila jalan Kg Jawa diluruskan oleh Dato' Bentara Luar Mohd Salleh Perang dan diberi nama baru sebagai Bakri sempena tanda kesetiaan penduduk Jawa kepada Maharaja Abu Bakar dan apabila sekolah Melayu Jalan Bakri ditubuhkan di Batu 2 pada 1900, seluruh kampung Jawa terkenal sebagai Bakri sehingga ke hari ini. Lorong Hj Abdullah Taiko yang diberi nama sempena jasa Hj Abdullah atau Panglima Muhamad Salleh pada asalnya hanyalah sebuah lorong dari Jalan Bakri Batu 2 hingga ke Sg Abong dimana terletaknya rumah kediaman Hj Abdullah Taiko dan Sekolah Kebangsaan Bakri Batu 2, Muar. Lorong ini telah dinaik taraf pada tahun 1974 dan kawasan sekitar jalan ini dan Sg Abong dikenali sebagai Kawasan, Kampung atau  Mukim Sungai Abong sehinggalah sekarang.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Sg Abong Muar 11.11.2012
 
Copyright 2009 Sejarah
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere