Gengsi Bugis Dan Raja Melayu Dari Sudut Sejarah Lisan Dan Budaya Melayu-Satu Pengajaran

2 comments
Gengsi Bugis Dan Raja Melayu Dari Sudut Sejarah Lisan Dan Budaya Melayu-Satu Pengajaran

Di kalangan Orang Bugis asli perkataan Bugis disebut ‘Ogik’ dan mengaku berasal dari tanah atau kepulauan Sulawesi yang terletak di Timur Laut Indonesia. Sejarah lisan mereka mencatatkan tamaddun dan kebudayaan mereka telah begitu tua sehingga ada yang berani mengatakan bahawa tamaddun dan sejarah budaya mereka adalah lebih tua dari suku kaum lain dari sebelah barat gugusan Nusantara atau Kepulauan Melayu. Mereka mengatakan bahawa catatan sejarah barat atau eropah yang mencatatkan rempah ratus dari sebelah timur yang diperdagangkan sejak kurun pertama masehi sebenarnya dimaksudkan sebagai berasal dari Kepulauan Sulawesi. Ini merujuk kepada budaya suku Toraja Sulawesi yang telah menggunakan rempah ratus mengawet mayat lebih tua atau sezaman dengan kebudayaan Mesir tua membungkus dan mengawet mayat raja-raja mereka.

Perdagangan rempah ini dipercayai adalah lebih awal lagi kerana terdapat rekod mengatakan budaya membungkus dan mengawet mayat raja-raja Firaun Mesir telah digunakan sejak kurun ke 5 SM lagi. Rempah-ratus yang digunakan direkod perolehannya oleh tamaddun Mesir tua berasal dari kepulauan timur jauh atau kepulauan yang terlalu jauh di sebelah timur di hujung dunia. Oleh kerana penggunaannya adalah khusus untuk upacara agama dan di kalangan raja-raja sahaja, maka nama dan tempat asal usul rempah itu dirahsiakan.

Pakar sejarah budaya tempatan atau nusantara sehingga kini secara sainstifik masih tidak berani mengesah dan mempertanggungjawabkan hubungkait perhubungan tamaddun purba barat dengan Sulawesi. Mereka hanya berani membuat jangkaan atau andaian sahaja kerana hubungkait ini belum terbukti dengan penemuan aktifak atau hasil budaya yang teruji sebagaimana ketetapan sains.

Sejak tahun 2010 andaian atau hipotesis ini melangkau lebih jauh lagi apabila pakar akeologi tempatan menemukan bekas lombong batu permata yang menjadi kegairahan dalam budaya tamaddun purba barat dan timur tengah seperti tamaddun purba Rom dan Athens di Laut Mideterinian, tamaddun purba Mesir yang sangat terkenal dengan raja-raja firaunnya, tamaddun Farsi dengan kota Babilon atau Mesopotamia dan juga tamaddun purba India. Ini adalah kerana batu permata yang menjadi barang kemas dan perhiasan ini terkenal dalam istana kerajaan tersebut dan ia sangat mahal dan bermutu tinggi. Usia budaya batu permata ini pula adalah lebih tua atau lebih awal dari budaya penggunaan rempah ratus.

Setakat ini, mengikut pengkaji akeologi, lombong asal usul batu itu secara geografis hanya terdapat di Sulawesi. Adalah amat menarik apabila batu permata yang dikaji secara karbonis itu mencatatkan telah berusia kurang lebih 10 hingga 20 ribu tahun ketika dibentuk dan bahan asalnya pula telah berusia lebih 50 ribu tahun. Usia batu-batu permata dalam tamaddun purba itu pula selari dengan usia batu permata di lombong purba yang dijumpai di Sulawasi. Terdapat juga peralatan purba yang sama dan pernah digunakan dalam kerajaan tamaddun purba barat tersebut dijumpai di lombong itu. Jumpaan ini masih dalam kajian pakar sama ada hasil budaya itu berasal dari barat atau sebaliknya budaya timur dibawa atau ditiru oleh barat.

Mengikut sejarah lisan orang Bugis pula, kemuncak tamaddun purba Bugis ialah ketika Nabi Sulaiman AS berkahwin dengan Puteri Balqis dan menempatkan keluarga dan keturunannya di timur jauh di tempat longgokan batu permata yang menjadi sumber kakayaan kerajaan baginda. Mereka percaya dari nama Balqis inilah keturunan dan anak cucu baginda dikenali sebagai Bugis pada hari ini. Apa yang agak menarik ialah mengenai perkahwinan nabi Sulaiman dengan Puteri Balqis yang memerintah kerajaan timur (Saba’ dalam catatan sejarah Islam) ada tercatat dalam kitab Zabur dan Taurat dan perincian serta tokok tambah cerita mengenai hal ini terdapat dalam cerita-cerita dogeng mereka dan juga dalam cerita-cerita kaum Israeliat.
Sejarah dogeng atau sejarah lisan dalam budaya Bugis bertambah menarik apabila ada pesanan opu-opu Tanderiang (leluhur/nenek moyang keturunan Bugis Sulawesi sebelum menganut Islam) mengingatkan kepada anak cucu dan keturunannya yang belum lahir akan kedatangan suatu budaya (sebenarnya agama) baru secara baik yang akan menguasai seluruh dunia dari keturunan nenek moyang mereka Nabi Sulaiman yang datang dari tempat matahari tenggelam (barat) dan mereka dianjur bersatu.
Misi-misi Kristian pada peringkat awal kedatangan mereka telah menggunakan maklumat dan fakta sejarah budaya ini dalam dakwah mereka mempengaruhi anak bumi menganut Kristian. Mereka mengaku mereka adalah keturunan Nabi Sulaiman dari dunia Barat. Sebelum itu kira-kira pada tahun 1400 Islam telah disebarkan oleh daei-daei dari Melaka dan menapak di kota-kota dan ibu negeri di pulau Sulawesi. Apabila kota-kota seperti Goa dan Makassar dibakar hangus pada abad 17 oleh pedatang Barat beragama Kristian, keturunan raja-raja Bugis dan pengikutnya bersumpah akan berjihad berhabis-habisan menghancurkan sikafir di Bumi Nusantara sehinggalah mereka sampai ke Selat Melaka dan berkesempatan menjadi raja di alam Melayu Islam.

Dalam budaya Melayu warisan Melaka pula, perkahwinan untuk mendapatkan zuriat nabi melalu daei-daei Arab, mahupun Farsi atau India adalah sangat digalakkan di kalangan istana dan di kalangan pembesar. Tanpa kita sadari kebanyakan orang Melayu lebih-lebih lagi yang mempunyai titisan darah kerabat memang bertaut dengan darah baginda Rasulullah SAW. Cuma budaya Melayu yang tidak mengiktiraf nasab melalui perempuan dan terlalu taksub kepada warna kulit dan bangsa telah menghilangkan getaran rasa dan jiwa Melayu yang sebenarnya bernasab baginda Nabi SAW.

Dunia Melayu dari dahulu hingga sekarang hanya mementingkan darah raja terdekat dan harta benda sahaja. Tanpa sadar orang Melayu telah melupakan keistimewaan keturunan mereka kecuali terlalu sedikit yang mengetahui dan menjaganya.
Di zaman moden ini atau lebih tepat dikata sebagai akhir zaman, orang Bugis keturunan Nabi Sulaiman telah berbaur meluas dengan orang Melayu berdarah ahlul bait. Dan inilah yang dijanjikan oleh Tuhan bahawa selama-lamanya keturunan nabi Ibrahim, Aku makbulkan sebagai pemengang Amanah Dunia. Apakah Amanah Dunia itu? Itulah agama tauhid yang mengEsakan Allah. Lebih menarik lagi apabila ada hadis Nabi SAW mengatakan ‘pada akhir zaman nanti keturunanku dan ayahanda (Nabi Ibrahim AS) dari timur akan mengangkat bendera menjadi tentera Allah membantu Imam Mahadi dan Nabi Isa memerangi Dajjal.”

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Hulu Langat Selangor
Tabal Agong 11.4.2012
 
Copyright 2009 Sejarah
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere