BIOGRAFI MD YASIN JMF

MD YASIN JMF KORBAN PEMBINAAN JOHOR MODEN

Apabila Pertubuhan Persilatan Melayu Malaysia aktif mengumpul maklumat sejarah persilatan Melayu, nama Md Yasin JMF tiba-tiba timbul kerana dijangka sebagai orang yang mengasaskan Silat Sendeng di Johor. Dalam kajian Tun Sheikh memang ada kaitan tetapi mendapati kurang tepat jika pensejarahan silat itu hanya bermula di antara tahun 1885 hingga 1940-an. Ini adalah kerana ilmu persilatan Melayu itu telah wujud lebih awal lagi.

Mengenai Md Yasin JMF pula, beliau bukanlah Long Md Yassin Ketua atau Persusuruhjaya Polis Muar Johor pada 1880-an kerana Md Yasin JMF lahir pada tahun 1900 dan meninggal dunia pada tahun 1979. Walaupun Md Yasin JMF juga dikenali sebagai Long Yasin tetapi mereka bukanlah orang yang sama. Long Yasin Persuruhjaya Polis Bandar Maharani memang seorang anggota polis dan rapat dengan Sultan Abu Bakar Johor. Long Md Yasin JMF rapat dengan Dato’ Onn dan Sultan Ibrahim Johor.

Md Yasin JMF memang tidak dinafikan memang Mahaguru Silat. Beliau bersama bapa saudaranya Wak Mian bin Panglima Hj Salleh @Abdullah Teoko mengajar silat sendeng, silat harimau dan lintau kepada ahli Kumpulan Gelap Rimau dan pemuda-pemuda Kampung Bakri di gelanggangnya di Lorong(Jalan) Sakih dan Lorong Abdullah Teoko (Jalan Hj Abdullah) di Jalan Bakri sekitar 1930-an hingga 1941. Beliau juga membuka semula gelanggangnya di Lorong Sakih selepas tamat Perang Jepun pada tahun 1947 hingga 1957. Pada tahun 1965 hingga 1970, Md Yasin telah berpindah ke Bakri Batu 2 dan telah zuhud tetapi masih menunjuk ajar secara ringan mengenai buah persilatan sendeng, harimau dan lintau atau kuntau yang disatupadukan kepada pemuda terpilih di halaman rumahnya.

Md Yasin JMF lahir pada 5 Januari 1900 di Bakri (bandar) Muar Johor. Nama lain yang pernah digunakan beliau ialah Long, Mat Baran, Mat Sakai, Pak Unggal, Mat Iblis, Kang Jati, Yasin Askar Tuanku, Yasin Tengku Tijah dan Wan atau Engku Long Bakri, Md Yasin Billiad dan Raja Wau Muar. Semua gelaran ini sinonim dengan diri dan perwatakan mahu pun pekerjaannya.
Md Yasin dinamakan oleh datuknya Hj Md Noh bin Lebai Hj Muhamad sempena bondanya Cik Zamiah yang sering membaca surah Yasin kerana bersedih dan merindui bondanya Tuanku Khadijah bte Tuanku Muda Cik yang telah kembali meninggalkannya balik ke istana Sri Menanti Negeri Sembilan. Selepas Cik Zamiah melahirkan Md Yasin pada tahun 1900, beliau juga menjejaki bondanya balik ke istana meninggalkan anaknya Md Yasin yang baru pandai tiarap. Cik Zamiah kemudian dikahwinkan oleh pihak istana dengan Tengku Zakaria dari Mabang.

Ketika berusia 13 tahun, Md Yasin telah ditangkap oleh Askar Tuanku dan kerana bapanya dikenali sebagai Hj Long, Md Yasin digelar Sultan Ibrahim sebagai Mat Sakai sempena nama Long yang terkenal dalam masyarakat sakai laut atau orang laut yang juga dikenali sebagai Orang Seletar. Orang asli Seletar adalah orang suku asli kesayangan kerabat Temenggong Johor. Mereka amat berjasa kepada Temenggong dalam peperangan di laut mahupun memerangi lanun perompak laut. Di kalangan istana Johor mereka dikenali sebagai Orang Kita.

Dalam JMF (Johore Military Force) Mat Sakai kemudian digelar Sultan Ibrahim sebagai Mat Baran kerana perangai berani dan panas baran. Beliau bergaul rapat dengan Dato’ Onn, Wan Idris bin Wan Ibrahim, Wan Tahir bin Wan Abd Rahman, Engku Aziz dan lain-lain terutama orang besar Muar dan orang besar berasal Pahang. Beliau dibawa mempelajari silat lintau dan sendeng di Kampung Pahang Johor Bahru oleh bapa saudaranya Wan Tahir.

Sekitar tahun 1924-1928 beliau menganggotai kumpulan kongsi gelap Melayu, Kumpulan Rimau Muar yang diasaskan oleh datuk sebelah ibunya, Panglima Salleh @ Abdullah Teoko. Ketika itu, Kumpulan Rimau diketuai oleh Haji Kadir bin Hj Yusof, anak Orang Kaya Bandar Maharani Muar. Kumpulan Rimau sebelum bernama diketuai oleh Abdullah Teoko (1886-1905), kemudian anaknya Wak Mian bin Hj Salleh @ Abdullah Teoko, dikenali sebagai Kongsi Gelap Rimau Muar(1905-1925), Hj Kadir Yusuf (1925-1928) dan Md Yasin JMF (1928-1948).
Nama rimau adalah sempena silat harimau yang diajar dan diwarisi oleh Wak Mian dari bapanya Panglima Salleh dari suku Jawa Istana Negeri Sembilan. Sumber lain adalah gelaran yang diberi oleh penduduk Cina kerana lambang rimau di lengan ahli (JMF terukir seperti gambar kepala harimau), berlawan bunyi dan melompat seperti harimau dan mencakar mangsa seperti cakaran harimau.

Semasa Md Yasin mengetui Kumpulan Rimau, namanya dikenali sebagai Mat Iblis tetapi kebanyakan orang tidak tahu siapa sebenarnya Mat Iblis. Orang hanya mengetahui Mat Iblis adalah ketua kumpulan samseng Rimau Melayu, ketua gangster Rimau Melayu atau kongsi gelap Melayu Rimau Muar yang di hormati dan juga digeruni. Puncak populariti kumpulan ini ialah semasa diketuai oleh Md Yasin JMF.

Mengikut sejarah, panggilan kongsi gelap, gangster atau samseng ini tidak pernah digunakan sebelum itu kecuali selepas British kembali memerintah pada tahun 1946. Tetapi nama kongsi gelap telah popular pada tahun 1918 dan menjadi rasmi apabila kerajaan Johor sendiri menubuhkan Pasukan Gelap Kastam dan Pasukan Gelap Polis atau Mata-mata yang berpakaian preman (free man) atau berpakaian awam di awal tahun 1920-an bagi memudahkan penyamaran dan penyiasatan. Secara tradisional kumpulan ini lebih dikenali sebagai orang Sultan, orang suruhan raja atau anak mas raja. Mereka berbuat sesuka hati samada atas titah raja atau mereka mengambil kesempatan di bawah perlindungan payung raja.

Di kalangan saudara mara Jawa, Md Yasin dikenali atau dipanggil Kang Jati, mengingat mereka dari keturunan Sultan Gunung Jati, Cerebon. Pak Unggal dan Long Yasin dikenali dari kalangan kaum kerabat Melayu sebelah bandar Muar. Long kerana beliau adalah anak sulong kepada Hj Long bin Hj Md Noh, peneroka Bakri Muar. Pak Unggal kerana beliau anak tunggal dari ibunya Cik Zamiah bte Hj Salleh @ Hj Abdullah Teoko. Yasin Askar Tuanku pula dikenali di kalangan saudara mara Melayu yang telah jauh iaitu dua atau tiga pupu dengannya. Dan Wan atau Engku Long Bakri dikenali di kalangan kerabatnya disebelah Pagoh dan Kampung Sungai Raya Bukit Pasir Muar. Md Yasin Askar Tuanku sebenarnya lebih popular dikenali ramai di zaman hayat beliau tetapi di kalangan pembesar atau orang kenamaan mahupun berpelajaran Johor, beliau lebih dikenali secara lisan dan tulisan sebagai Md Yasin JMF.

Ketika beliau berkhidmat di hospital Muar pada tahun 1947 hingga 1959, Md Yasin JMF dikenali sebagai Raja Wau Muar kerana minatnya membuat wau atau layang-layang besar sehingga boleh terbang berminggu-minggu. Wau beliau pernah melarikan anak gadisnya yang berumur 8 tahun di padang Kelab Hospital Muar dan menjadi berita dalam akhbar dengan sindiran sinis. Ini adalah kerana bermain wau ketika sebelum Merdeka adalah membuang waktu, lalai dan perbuatan yang sia-sia. Md Yasin JMF juga dikenali sebagai Md Yasin Biliard kerana beliau menjadi pegawai keselamatan Kelab Hospital Muar dan jaguh bermain biliard.

Beliau mahir bermain biliard sejak berusia muda ketika menjadi Askar Tuanku lagi. Mengikut cerita cucu sulungnya, bahawa sebahagian daerah Wood Land Singapura sebenarnya dikurniakan oleh Sultan Ibrahim kepada datuknya. Ini adalah kerana pada asalnya daerah tersebut telah tergadai dan berpindah tangan dalam taruhan Sultan Ibrahim dengan pegawai Inggeris dalam permainan billiard. Md Yasin JMF telah disyorkan oleh pegawai JMF supaya bermain dan Sultan mencabar semula pegawai Inggeris untuk mendapatkan daerah Wood Land kerana pembesar dan sahabat-sahabat Inggeris Sultan, mengganggap daerah itu amat stratejik untuk pertahanan dan khuatir akan dijual oleh pegawai Inggeris berkenaan secara peribadi.

Sultan Johor telah mempertaruhkan seluruh estetnya di Kota Tinggi kepada orang Inggeris jika menang dan jika kalah sultan akan dapat semula daerah Wood Land yang telah terlepas tangan. Sultan berjanji mengurniakan sebahagian Wood Land kepada Md Yasin JMF jika menang tetapi jika kalah nyawanya akan melayang. Ini juga merupakan satu sebab mengapa rekod Md Yasin hilang dari perkhidmatan dengan Askar Tuanku di akhir-akhir tahun perkhidmatannya tetapi tiba-tiba muncul di Muar menganggotai dan kemudian mengetuai kumpulan gelap keluarganya yang memainkan peranan untuk kepentingan sultan juga.

Dalam pertaruhan itu Md Yasin JMF yang masih terlalu muda rasa amat tertekan dan tidak yakin tetapi telah menang. Sultan dapat kembali daerah Wood Land Singapura tetapi titah dan janji mengurniakan sebahagiannya kepada Md Yasin JMF tidak dilaksanakan oleh pembesar dan pegawai tadbir negeri Johor. Md Yasin hanya dinaikkan pangkat menjadi ADC kepada Sultanah dan kemudian rekod perkhidmatannya gaib dan dicatat tidak dapat dikesan. Woodland kemudiannya dibangun menjadi pengkalan tentera laut British dari hasil wang hadiah daripada Sultan Johor kepada Raja England.

Misteri ketokohan Md Yasin JMF ini menjadi begitu menarik jika dikaji kerana boleh dikatakan satu-satunya sejarah kewujudan kumpulan kongsi gelap Melayu dan peranan yang dimainkan oleh kumpulan ini berupaya membongkar fungsinya dalam pentadbiran feudal Melayu terutamanya kepada negeri Johor. Kongsi gelap biasanya sinonim dengan budaya negatif kumpulan kongsi gelap yang dibawa masuk oleh penghijrah-penghijrah dari negeri Cina. Kini lebih dikenali sebagai gangster, kongsi gelap atau kumpulan mafia jika di Eropah. Tetapi sebenarnya ikon keburukan, keganasan atau kejahatan pada Kongsi Gelap Rimau berlainan sekali seperti kongsi gelap Cina.

Sebenarnya kerabat dan keluarga Md Yasin JMF adalah korban dasar pemodenan atau kebaratan kerajaan negeri Johor. Ini merupakan salah satu keistimewaan yang tercungkil dari tokoh Md Yasin JMF. Sebagai korban kebijaksanaan kerajaan negeri Johor, Md Yasin JMF dari keluarga terhormat dan ternama berjaya ditekan dan dihimpit sehingga menjadi orang biasa yang tiada apa-apa sehingga hampir saja boleh dituduh sebagai penjahat dan pengkhianat kerana menggerakkan kumpulan kongsi gelap atau samseng Melayu. Dalam erti kata lain keluarga Md Yasin JMF sejak datuknya sehingga dirinya sebenarnya mendapat perhatian kerabat diraja Johor dan kerana dikhuatiri berupaya mendatangkan masalah dalam usaha untuk memiliki kekuasaan Johor, maka mereka ditekan secara halus.

Mereka senasib dengan kerabat Raja Temenggong Muar yang berdaulat, kerabat Sultan Ali yang memerintah Kesang-Muar dan ternyata, terkena juga kepada keluarga Dato’ Jaafar bin Muhamad, bapa Dato’ Onn dan terakhir ialah keluarga Dato’ Bentara Luar, Dato’ Mohd Salleh bin Perang. Mengikut catatan sejarah, pengaruh keluarga ini semuanya dikawal dan dilemahkan secara halus, psikologi dan juga dengan cara melantik wakil mereka dengan dikurniakan pangkat tinggi tetapi terikat dan tunduk kepada Sultan.

Perbedaan nasib antara keluarga Dato’ Onn atau Dato’ Jaafar ialah mereka sempat bangun dan mempunyai pengikut dan penyokong. Mereka bangun dalam sistem permodenan dan pembaratan itu sendiri. Tetapi bagi keluarga Md Yasin JMF yang tidak banyak waris dan juga keluarga Dato’ Mohd Salleh bin Perang dan keluarga Raja Temenggong Muar kelihatan berjaya dinetral atau menjadi rakyat biasa dan hilang pengaruh dan kebesaran. Sebenarnya keluarga Dato’ Mohd Salleh, keluarga Dato’ Jaafar dan Temenggong Muar adalah dari keturunan pembesar Melayu Pahang yang lebih tinggi daulat mereka dari Temenggong Johor. Begitu juga dengan keturunan Md Yasin JMF dari Bendahara Pahang, darah keturunan Sultan Ceribon dan juga memiliki darah diraja Negeri Sembilan.

Pada tahun 1945 selepas Jepun menyerah kalah, rampasan kuasa oleh Pasukan Bintang Tiga (komunis) tidak berlaku di bandar Maharani. Ini adalah kerana pengaruh Kumpulan Rimau yang memberi pelindungan kepada ahli-ahli kongsi gelap Cina. Ketika zaman Jepun, orang-orang Cina dibawa masuk dan tinggal sementara di kampung-kampung Melayu yang tidak dimasuki Jepun. Banyak juga yang menyertai MPAJA tetapi tidak mengganggu orang kampong dan orang-orang Melayu bandar Maharani yang sama-sama masuk kampong bersembunyi. Ketua-ketua kongsi gelap Cina bekerjasama dengan Md Yasin JMF menjalankan kilang sagu milik datuknya di Sungai Raya. Hasil sagu diedarkan kepada orang-orang kampong tidak kira bangsa Cina atau Melayu.

Pada tahun 1947 dan 1948, Md Yasin JMF telah mengarahkan ahli-ahlinya supaya memberi perlindungan kepada Dato’ Onn yang berkempen ke serata Muar dan Tangkak memperjuangkan pembubaran Malayan Union. Sebelum itu beliau menerima arahan Kumpulan Tujuh yang diketuai oleh Dr Awang Hassan supaya menghalang dan mensabotaj Dato’ Onn yang dituduh petualang bangsa kerana memihak kepada Sultan Ibrahim Johor yang telah menyerahkan kedaulatan raja-raja Melayu kepada Inggeris. Arahan ini telah diabaikannya kerana Dato’ Onn adalah kenalan rapatnya dan begitu juga taat setia yang diberikan kepada Sultan Ibrahim.

Setelah Dato’ Onn selesai dengan selamatnya berkempen ke seluruh Muar dan Tangkak pada tahun 1948, beliau pun membubarkan Kumpulan Rimau Muar kerana tidak suka dipergunakan oleh kepentingan politik Melayu yang telah berubah mengikut trend ketika itu. Pada tahun 1960 Md Yasin JMF telah berpindah ke Bakri Batu 2 dan beliau terus zuhud sehingga meninggal dunia pada 22 Februari 1979. Beliau telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Batu 1 ½ Jalan Bakri Muar.

Keluarga beliau adalah korban dasar pembaratan Johor. Ini adalah kerana datuknya Hj Md Noh telah membantu mentuanya Tun Mansor untuk memberontak dan menentang Sultan Ahmad Pahang. Ketika itu Sultan Johor yang pada mulanya bermusuh dengan Sultan Ahmad dalam Perang Saudara Pahang sedang mula berbaik-baik dengan pihak Pahang setelah Sultan Ahmad berjaya dalam Perang Saudara Pahang. Datuknya juga dituduh telah menyebelahi angkatan Tengku Alam dalam Perang Jementah 1879. Secara kebetulan datuknya Hj Md Noh adalah anak angkat kepada Penghulu Kesang iaitu seorang saudagar kaya Jawa di Melaka yang telah dilantik oleh Sultan Ali menjadi Penghulu Kesang. Penghulu Kesang dengan moyangnya Lebai Haji Muhamad mempunyai pertalian darah berasal dari Jawa.

Bonda Md Yasin JMF yang kembali ke istana Negeri Sembilan dipercayai dihasut oleh Orang Kaya Muar. Begitu juga terhadap nendanya Tuanku Khadijah yang telah kembali ke Negeri Sembilan atas pujukan Orang Kaya Muar yang menyebelahi Sultan Abu Bakar dan Sultan Ibrahim. Md Yasin JMF sendiri telah ditangkap oleh Askar Tuanku dan akhirnya ternyata wawasan pemikirannya menyebelahi Sultan Johor dan tidak seperti bapa dan datuknya. Segala jasa datuknya yang telah membuka Bakri dan Sungai Raya tiada dalam rekod rasmi kerajaan Johor dan Md Yasin JMF juga tidak dapat mewarisi apa-apa harta peninggalan datuk dan bapanya yang telah dijadikan milik kerajaan.

Md Yasin JMF telah lama pergi dan peranan keluarga beliau mula menarik pengkaji apabila sebuah salinan syair dikesan berada dalam tangan ibu saudara kepada Timbalan Perdana Menteri di rumah pusakanya di Bakri. Terdapat fakta yang merungkai penerokaan Bakri sebenarnya bukan pada tahun 1920-an oleh keluarga TPM Tan Sri Mahyuddin Md Yasin tetapi oleh datuk Md Yasin JMF yang juga bernama Hj Md Noh bin Lebai Haji Muhamad telah membukanya atas arahan Orang Kaya Joned pada tahun 1868.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Sejarah
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere