Sejarah Melayu Derhaka dan Musnah Berulang

0 comments

Sejarah Melayu Derhaka dan Musnah Berulang

Jika anda meminati sejarah, maka anda akan bersetuju Tun Sheikh mengatakan seolah-olah anda dapat melihat masa depan kerana perlakuan seseorang atau sesebuah masyarakat yang mempunyai ciri-ciri yang sama seperti dalam catatan sejarah silam akan megakibatkan hasil atau peristiwa yang sama. Sehubungan itu kepada sejarawan, mereka amat yakin dan bersetuju dengan ungkapan bahawa sejarah akan berulang kerana dalam kajian dan catatan rekod mereka, tokoh, masa dan tempat itu tidak menjadi persoalan utama tetapi ciri-ciri perbuatan, tindakan dan kelakuan itu sebenarnya bernilai sejagat atau dengan perkataan lain boleh dikatakan sebagai fitrah atau telah ditetapkan Tuhan. Kepentingan sejarah adalah untuk dijadikan pelajaran dan teladan supaya mengelak dari melakukan perkara yang buruk dan merugikan. Sejarah mendorong kita meniru teladan tokoh-tokoh yang telah berjasa dengan perbuatan baik mereka memperbaiki keadaan hidup atau sosial diri sendiri, sesebuah masyarakat atau negara bangsa.

Menilik fenomena sekarang, kepada sesiapa yang mengetahui sejarah Melayu, maka mereka akan bersetuju dan tidak menafikan bahawa kejatuhan Empayar Kesultanan Melaka adalah disebabkan kerakusan para pembesar dan sifat keperibadian sultan yang jelek. Pada waktu yang sama tokoh-tokoh usahawan juga sangat tamak dan berlumba-lumba memperkayakan diri dengan mengamal rasuah, kroni dan berkonspirasi. Fitnah ditabur sehingga Bendahara dan sultan berasa kedudukan dirinya tercabar dan tidak stabil. Mereka semua termasuk sultan berlumba-lumba memuaskan keinginan diri sendiri dan mereka begitu yakin bahawa kemakmuran Melaka seolah-olah akan kekal dan mereka berkuasa ke atasnya.

Sifat sombong dan angkuh ini telah mengelabui akal dan pemikiran waras mereka sehingga tidak dapat memikirkan kekuatan dan niat penjajahan dari kuasa asing yang bercita-cita menguasai kekayaan Melaka. Akhirnya kegemilangan Melaka hancur ditawan. Perkara yang dianggap mustahil menjadi reality dan kebudayaan tinggi Melayu menjadi terhina apabila orang Melayu menjadi manusia pelarian di bumi sendiri.

Sejarah mencatatkan perihal kerajaan agong Melayu sebelum itu seperti kerajaan Melayu Campa, Kerajaan Srivijaya, Kerajaan Langkasuka, Kerajaan Melayu Palembang malah Majapahit dan sebagainya yang pernah mengecapi dan menikmati zaman keemasan semuanya musnah angkara kesombongan dan kelalaian hasil dari kemewahan itu sendiri. Sejarah telah berulang dan akan terus berulang dengan watak, tempat dan masa yang berlaianan tetapi buah natijahnya sama kerana itu adalah fitrah yang ditetapkan kepada manusia oleh Tuhan.

Jika manusia itu bijak, tentu sekali ilmu yang didapati dari garapan sejarah itu diutamakan. Manakala manusia yang mendapat pentunjuk pula tidak sesekali menyisihkan kitab petunjuk dari Tuhan yang menjanjikan keselamatan dan keharmonian jika dibuat panduan dan pegangan dalam mengaharungi kehidupan ini. Dalam pakej usia hidup di dunia ini kitalah yang diberi kuasa memilih untuk menempatkan diri dikelompok mana. Setelah itu kita dipertanggongjawabkan dan akan menerima balasannya bukan sahaja di dunia tetapi juga selepas kematian. Kepada sesiapa yang percaya dan beriman, segala petunjuk untuk diikuti telah disediakan dan kepada manusia yang tidak beriman maka dunia ini akan menjadi syurga ciptaan mereka dan ketetapan neraka buat mereka telah pun diberitahukan.

Maka kita haruslah peka terhadap persekitaran kita bagi memastikan kelompok mana yang kita pilih bagi memainkan peranan menjadi alat perakam sejarah tamadun manusia di dunia ini. Adakah kita memilih dan mengikuti petunjuk Tuhan seluruh alam atau kita memilih gaya dan peraturan mengikut akal fikiran dan kesedapan nafsu dan keinginan sendiri yang menyekutukan Tuhan dan dilarang Pencipta Alam.

Berbalik kepada fakta sejarah dan scenario peristiwa semasa yang berlaku dipersekitaran kita ketika ini, maka amat jelas tamaddun kegemilangan kita sedang menuju kemusnahan dan kehancuran. Terserah kepada diri masing-masing untuk memilih dan memainkan peranan dalam kelompok yang mana.  Rakyat terbanyak sedang menyokong kumpulan pemimpin yang telah memecah amanah dan sering menjalankan dan melakukan dasar-dasar yang sumbang serta tidak bernilai sejagat. Masa depan yang gelap dan huru-hara sudah tergambar dan dapat dibayangkan dengan fakta dan catatan sejarah jika ini berterusan. Para pemimpin terus mendabik dada enggan mengkaji kesilapan dan enggan berbalik memperbetulkan jalan dan gaya pemerintahan sewajarnya. Kroni, nepotisma, pelbagai konsipirasi begitu subur dan ini adalah ciri dan tanda-tanda keangkuhan yang membawa kepada huru-hara, porak peranda dan kemusnahan. Melayu selalu derhaka bukan hanya kepada raja yang sudah dianggap tidak relevan tetapi menderhaka kepada Tuhan.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
UTM JB 10.6.2012
 
Copyright 2009 Sejarah
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere