HASIL KEBUDAYAAN PURBA MELAYU YANG TERABAI

1 comments

HASIL KEBUDAYAAN PURBA MELAYU YANG TERABAI

Jika dinilai dari segi budaya kehidupan diantara bangsa Cina dan Melayu,  adalah tidak dapat dinafikan bahawa bangsa Cina lebih tua dari bangsa Melayu. Kebudayaan mereka dari segi budaya berkerajaan dan menghasilkan hasil seni budaya memang amat tinggi dan telah terlalu lama. Hal ini telah terbukti dengan pelbagai penemuan hasil kebudayaan berbentuk artifak peninggalan dan juga dokumen-dokumen dan rekod yang menjadi bahan bukti. Hanya baru-baru ini (2010) satu hipotesis telah diterima ke arah menjadi teori sains bahawa bangsa Melayu adalah patriarch kedua penyebaran bangsa manusia di muka bumi ini dengan terjumpanya hasil kebudayaan manusia purba di daerah Gerik dan Lenggong, Perak.

Peralatan purba itu membuktikan telah wujud tamadun di situ dan apa yang sangat membanggakan ialah bukti sains menunjukkan ia berusia 1.8 juta tahun iaitu tempat kedua selepas Orang Hitam Afrika di benua Afrika yang berusia 1.9 juta tahun. Pakar-pakar pengkaji fosil purba bersetuju meletakkan Malaysia sebagai pusat kedua penyebaran manusia awal di dunia setelah Afrika setakat ini. Mereka berasa yakin bahawa bahan bukti masih banyak lagi boleh dicari di tapak yang masih terbenam dan berkemungkinan penemuan artifak-artifak baru berupaya merungkai teori binatang purba di Thailand, manusia purba Cina, malah daratan purba yang dikatakan bercantum pada asalnya di zaman dahulu.

Pakar-pakar sejarah purba, antropologi dan arkeologi dari dalam dan luar negeri bertambah ramai menunjukkan minat untuk meneruskan pengkajian dan penyelidikan sains mereka tetapi dipandang sepi oleh kerajaan Malaysia yang begitu sibuk mengumpul dan membahagi-bahagikan kekayaan negara kepada kroni atas tiket pembangunan demi kepentingan diri sendiri sehingga mengabaikan betapa pentingnya  projek-projek ilmuan bertaraf dunia ini diutamakan demi maruah bangsa dan tamadun dunia.

Jika pemimpin UMNO peka dan peduli untuk memartabatkan budaya bangsa Melayu purba ini, tentu sekali bangsa Melayu secara otomatis akan terangkat dan menjadi bangsa yang dihormati di dunia. Malang sekali pemimpin UMNO yang menerajui kerajaan Malaysia meskipun telah diiktiraf oleh negara-negara luar sebagai bangsa yang begitu tolerans dan mudah menyesuaikan diri mengikut perubahan zaman dan keperluan keadaan sehingga berjaya mengekalkan kesinambungan hidup dan kebudayaan Melayu ke hari ini kelihatan tidak sampai pemikiran dan wacana pemahaman terhadap kepentingan jumpaan hasil budaya purba yang berupa peralatan batu manusia purba itu.

Mereka kelihatan tidak nampak bahawa hasil budaya yang telah terbukti mengikut kajian sains itu menunjukkan pemilik atau penggunanya adalah manusia yang telah bertamadun dan usianya hampir-hampir menduduki tempat pertama tertua di dunia jika dibanding dengan beberapa hipotesis yang membuktikan usia pengguna peralatan purba tersebut mungkin adalah lebih tua lagi. Ini hanya dapat dibayangkan jika teori era pengetahuan penggunaan peralatan batu digunapakai kerana manusia pertama dikatakan tidak menggunakan peralatan dalam mengharungi hidup mereka pada era pertama sebelum berevolusi atau berpengetahuan untuk menggunakan peralatan bantuan bagi memudahkan survival hidup seharian.

 Secara teorinya manusia pertama mengambil masa beratus ribu tahun untuk masuk ke era pengguna peralatan purba berasaskan batu. Sehubungan itu jika dibandingkan peralatan yang dijumpai di Malaysia dengan di benua Afrika yang berbentuk fosil kerangka manusia pertama yang tidak lengkap dapat membayangkan bahawa peralatan purba di Malaysia berkemungkinan berupaya meletakkan bangsa manusia pertama berasal di sini jika berpandukan teori itu tadi. Malang sungguh pemimpin negara ini tidak berminat atau sebenarnya tidak mempunyai kecerdikan walau hanya illusi atau berimejinasi dalam hal yang penting ini.

Pemimpin Melayu UMNO juga  tidak berasa gairah dengan penemuan sains yang mengatakan kawasan Asia Tenggara menepati 27 daripada 50 ciri-ciri tamadun termaju dan tertua yang pernah wujud dan hilang dikenali sebagai benua atau negeri Atlantis. Penemuan ini dijumpai sekitar 2008. Pengkajinya seorang professor pengkaji purba percaya hipotesis-hipotesis lain yang mendakawa sebagai tamadun Atlantis seperti tamadun Mayan dan Inca di Peru, tamadun Indian Amerika Syarikat, tamadun purba Mexico mahupun tamadun Gurun Gobi di benua Asia adalah tidak menepati atau ciri-cirinya tidak lebih dari 10 sahaja berbanding Atlantis Asia Tenggara sebanyak 27 ciri-ciri persamaannya.

Kerajaan Malaysia juga tidak peka dan tidak berminat terhadap jumpaan pengkaji pakar DNA (2006) dimana ciri-ciri DNA dalam tubuh bangsa Melayu mempunyai paling banyak persemendaan atau percampuran dengan DNA bangsa-bangsa besar tamadun manusia dalam dunia. DNA atau darah Melayu memiliki DNA yang berkaitan atau mempunyai asal serupa dengan bangsa Arab, Mesir, Yahudi, India, Farsi, Monggol dan lain-lain yang dianggap sebagai patriarch bangsa manusia dalam sejarah tamadun dan sejarah kebudayaan purba. Adalah sangat menarik apabila penyelidikan sains DNA mendapati ciri-ciri keserupaan DNA yang terdapat dalam bangsa Melayu moden pada hari ini bukanlah hasil persemendaan sekunder tetapi sebagai primer kepada pengembangan DNA lain yang lebih muda atau terkemudian. Dalam perkataan lain, ciri-ciri DNA bangsa Melayu adalah punca segala bangsa jika pegertian itu boleh digunapakai.

Kesimpulannya, ke manakah arah tuju pemimpin UMNO mahu membawa budaya hidup Melayu yang unggul ini? Mereka mendakwa merekalah pejuang dan pembela bangsa Melayu tetapi mengapa tiada kepekaan dalam memartabatkan maruah bangsa melalui jumpaan-jumpan sains ini? Apa yang sedang mereka praktiskan atau amal mahupun membudayakannya adalah tidak lain dan tidak bukan hanyalah ketidakwajaran selaku bangsa yang bertamadun tinggi. Ini adalah kerana mereka tidak dapat melihat martabat dan kebudayaan tinggi Melayu yang tersembunyi. Mereka asyik dan leka memuaskan nafsu dan bermaruah rendah. Budaya fitnah dan nafsu seks dan keserakahan terhadap wang ringgit dan harta dunia telah menutup kebijaksanaan bangsa mereka yang unggul. Ciri-ciri budaya yang sedang mereka amalkan, jika dirujuk kepada rekod sejarah tamadun manusia, adalah ciri-ciri ke arah memupuskan diri dan menjadi pupus.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Muzium Kota Lama
Jakarta 30.9.2012
 
Copyright 2009 Sejarah
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere