DATO' ONN JAAFAR SEBELUM MALAYAN UNION

DATO' ONN JAAFAR SEBELUM MENGETUAI PENENTANGAN MALAYAN UNION


Untuk menonjolkan tokoh Dato’ Onn sebagai pejuang kemerdekaan bangsa adalah suatu yang dianggap tidak relevan oleh pemimpin kontemporari terutamanya daripada UMNO. Dato’ Onn hanya diiktiraf sebagai tokoh yang berjasa kepada negara kerana mengasas penubuhan UMNO dan menjadi Yang di Pertua pertama dari 1946 hingga 1951. Dato’ Onn berjasa menentang dan menguburkan Malayan Union.

Sumbangan Dato’ Onn dalam perjuangan ke arah kemerdekaan negara pada hakikatnya tidak boleh dinafikan. Meskipun ada suara-suara yang melabelkan beliau sebagai pemecahbelah perpaduan UMNO dan pembunuh semangat kemerdekaan yang amat gairah diperjuangkan oleh orang-orang Melayu, beliau tetap merupakan seorang tokoh Melayu terulung yang mempunyai wawasan yang begitu jauh. Kemerderkaan hari ini yang tercapai pada 31 Ogos 1957 meskipun tidak dianggap sebagai buah tangan darinya, tetapi sebenarnya adalah merupakan hasil asas yang dibinanya. Asas dan rangka kemerdekaan yang dilakar oleh Dato’Onn tetap menjadi ikon perintis jalan kepada bangsa Melayu walau pun beliau tidak dianggap sebagai pemimpin Melayu yang memperjuangkan kemerdekaan.

Kemerdekaan hari ini adalah hasil buah tangan Y.M. Tunku Abd Rahman. Tetapi ironinya apabila sejarah mencatatkan bahawa Y.M. Tunku juga keluar dari UMNO di penghujung usianya seolah-olah menjejaki langkah Dato’ Onn kerana berlaku masalah dalaman UMNO. UMNO berjaya mengekalkan maruah dan martabat politik Melayu. Kuasa politik Melayu adalah lambang kejayaan dan kedaulatan Melayu pada hari ini. Meskipun tokoh ulung kepimpinannya datang dan pergi dengan pelbagai haluan, UMNO berjaya meneruskan perjuangan.

Di era Tun Abdullah (Pak Lah), bekas Prisiden UMNO yang terlama memegang rekod kepimpinan iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamed juga bersara dalam dilema apabila UMNO mengucil dan memperkecil sumbangan beliau selama 22 tahun mengetuai negara dan lebih separuh usianya berkhidmat kepada UMNO. Beliau telah keluar dari menjadi ahli UMNO dan apabila Pak Lah melepaskan jawatan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir telah menyertai semula UMNO Baru yang ditubuhkannya. UMNO Baru dianggap kesinambungan dari UMNO lama yang telah dibatalkan pertubuhannya secara perundangan.

Apa yang telah menjadi sejarah adalah kenyataan dan realiti yang telah dilalui dan diharungi oleh orang Melayu. Sehubungan itu, sejarah politik Melayu semakin kental dan matang jika dibanding dengan politik kaum lain di negara ini yang tidak banyak berhadapan dengan dugaan dan tekanan sosial. Disebalik kematangan dan pengalaman yang luas, politik Melayu melalui UMNO juga dikhuatiri menjadi begitu complicated yang memperlihatkan kerapuhan kerana teras perjuangan yang diilhamkan oleh pemimpin unggul berterusan berganti-ganti. Terlalu banyak pertukaran dasar dan teras yang berdasarkan percubaan. Walau pun pembaharuan dasar-dasar memperlihatkan kekuatan dan kehebatan, kekerapan pertukaran dasar juga membayangkan kelemahan tunggak falsafah dan hala tuju politik Melayu itu sendiri.

Catatan sejarah adalah sumber yang tidak bias kepada mana-mana pihak. Persepsi dan pandangan adalah mengikut tahap pemikiran dan keadaan semasa. Sehubungan itu adalah baik sekali jika rakyat diperkenalkan kepada Dato’ Onn mengikut ringkasan biografi beliau supaya rakyat mendapat input dan menilai sendiri ketokohan Dato’ Onn.

Dato’ Onn dilahirkan di rumah bapanya di Bukit Gambir, Johor Bahru pada tahun 1895. Sebelum pembangunan Johor Bahru, Bukit Gambir ialah ladang pekebunan gambir yang sangat luas dan dari situlah nama bukit ini diperolehi.Bapanya, Dato’ Jaafar Muhamad ialah Menteri Besar Johor ketika itu. Rumahnya terletak dibelakang Kebun Istana di Jalan Gertak Merah ialah rumah kediaman rasmi yang disediakan oleh sultan untuknya. Ketika usia Dato’ Onn 8 tahun, ibunya Cik Rogayah Hanim meninggal dunia. Ibunya adalah dari keturunan bangsawan Turki yang terpelihara di Istana Harem. YM Cik Khadijah dan Cik Rogayah Hanim adalah keluarga bangsawan Turki yang dinikahkan atas perkenan dan restu Sultan Turki sebagai tanda persaudaraan dengan Maharaja Abu Bakar ketika baginda melawat Turki pada tahun 1887. YM Cik Rugaya telah dinikahkan dengan adinda Maharaja Abu Bakar, Tengku Majid. Apabila Tengku Majid meninggal, YM Cik Rugayah bernikah dengan seorang saudagar Arab dari Bogor, Jawa Barat. Apabila meninggal suaminya Syed Abdullah Al-Attas, Sultan Johor telah menitahkan Dato’ Jaafar memperisteri Cik Rugayah bagi menjaga kebajikan dan kebangsawanan serta perhubungan dengan kerajaan Turki.

Disamping itu, Sultan Ibrahim sendiri telah menikahi Cik Dara, kakak Dato’ Onn berlainan ibu yang kemudiannya berputerakan Temenggong Ahmad. Daripada hubungan perkahwinan itu, menjelaskan bahawa Dato’ Jaafar bukan saya berperanan sebagai perdana menteri dan penasihat kepada kerajaan tetapi juga sebagai bapa mertua kepada sultan Johor. Hubungan ini adalah seperti amalan tradisional dimana peranan bendahara disamping sebagai perdana menteri adalah mertua kepada sultan. Dengan kedudukan itu memperlihatkan keistimewaan kedudukan Dato’ Onn di kalangan kerabat di raja Johor.

Sejak kecil Dato’ Onn bebas di Istana malah rumahnya sendiri di Bukit Gambir seperti rumah kedua. Ini adalah kerana beliau dianggap sebagai anak angkat oleh Sultan Ibrahim. Dato’ Onn sangat rapat dengan Tengku Mahkota Johor, Tengku Ismail yang sebaya dengan beliau. Dato’ Onn sejak kecil merupakan seorang anak yang sangat cerdas dan aktif. Beliau menunjukkan sikap yang pendiam ketika ibunya meninggal dunia. Beliau sering merajuk dengan membawa diri ke kebun istana. Beliau bebas melakukan aktiviti bersendiri atau bersama putera-putera raja di situ. Di kalangan sebaya, beliau menjadi ketua. Sejak kecil ketokohan beliau telah terserlah.

Sebelum beliau dihantar ke England, Dato’ Jaafar sendiri mengajar akhlak dan agama serta adab budaya Melayu kepadanya. Tetapi pelajaran formalnya semenjak berusia 4 tahun adalah mempelajari Bahasa Inggeris bersama-sama putera-putera sultan yang lain dengan dua orang guru perempuan bangsa Inggeris yang didatangkan khas untuk tujuan itu. Guru berbangsa Inggeris itu juga bertindak sebagai pengasuh kepada anak-anak raja mengenai adab dan budaya Inggeris. Daripada pemerhatian guru itu, Dato’ Onn dilaporkan sebagai seorang kanak-kanak yang pintar dan terlalu berani bertanya dan menkritik. Beliau mengesyorkan putera-putera dan anak bangsawan yang diasuhnya dihantar ke England.

Pada tahun 1904, ketika Dato’ Onn berusia 9 tahun beliau dengan putera-putera Sultan telah dihantar ke England. Beliau amat rapat dengan Tengku Mahkota dan dianggap guardian atau pasangan dan teman penjaga kepada baginda. Di England, mereka bersekolah di sekolah khas untuk anak bangsawan Inggeris di Sulfork. Semua pembiayaan persekolahan ditanggung oleh Sultan Johor. Di sekolah, Dato’ Onn sangat petah berbahasa Inggeris dan sering menang dalam ppertandingan debat. Beliau cekap berhujah dan mematahkan pihak lawan hingga pegawai Inggeris yang bertanggongjawab mengawasi perjalanan sekolah tidak menyangka beliau adalah seorang Melayu atau pelajar yang bukan berbangsa Inggeris.

Beliau juga merupakan seorang pelajar yang hebat dalam sukan terutamanya dalam permainan bola sepak. Beliau adalah seorang yang aktif disamping bertindak seolah-olah orang yang bertanggungjawab terhadap Tengku Mahkota. Ini adalah berikutan dari nasihat dan pesanan bapa dan juga pembesar Johor. Mereka jarang berpisah. Dimana Tengku Mahkota, disitulah Dato’ Onn dan ini tidak disenangi oleh pihak Inggeris kerana mereka mempunyai agenda memberi keistimewaan kepada Tengku Mahkota tetapi tidak kepada Dato’ Onn. Daripada pemerhatian mereka Dato’ Onn adalah seorang kanak-kanak pintar yang perlu dipisahkan daripada Tengku Mahkota kerana Dato’ Onn berupaya mempengaruhi Tengku Mahkota dalam segala bidang.

Sehubungan itu Dato’Onn dilaporkan tidak layak diberi kemudahan pelajaran dan tidak dibenarkan melanjutkan pelajaran yang dikhususkan kepada anak bangsawan kerana akan menyulitkan pihak Inggeris mendidik Tengku Mahkota yang seperti isi dengan kuku dengan Dato’ Onn. Demi masa depan Tengku Mahkota dan negeri Johor dan kepentingan Inggeris, Dato’ Onn perlu dipisahkan. Pada tahun 1909 Dato’ Onn telah dihantar pulang. Beliau sangat kesal dan berdukacita dengan tindakan pegawai Inggeris yang bertanggongjawab menjaga kebajikan putera-putera sultan Johor di England. Ketika baru pulang di Johor beliau telah dimarahi oleh bapanya Dato’ Jaafar kerana dianggap sebagai remaja nakal yang tidak menghormati guru Inggerisnya dan kebudayaan di sana. Dato’ Onn kelihatan amat keInggerisan daripada anak-anak remaja Inggeris sendiri.

Beliau telah dihantar oleh bapanya melanjutkan pelajaran di Malay College Kuala Kangsar (MCKK). Di sana, Dato’ Onn mendapati kurikulum kolej itu telah ketinggalan berbanding apa yang telah dipelajari di England. Oleh kerana beliau telah diletakkan dibawah pengawasan seorang guru khas mengajar jawi dan adat kebudayaan Melayu beliau telah memberi tumpuan kepada matlamatnya nya itu. Beliau sangat disenangi ramai. Malah beliau sendiri telah mengajar bahasa Ianggeris kepada anak-anak bangsawan Melayu dan kepada guru Jawi beliau.

Di MCKK, Dato’ Onn tidak berseorangan. Beliau diikuti oleh Tengku Mahkota Johor yang enggan melanjutkan pelajaran di England dengan ketiadaan Dato’ Onn. Baginda sangat kasih kepada Dato’ Onn lebih dari seorang teman atau kawan. Dato’ Onn beranggapan pendidikan di MCKK bukanlah pendidikan yang berteras ilmu tetapi lebih kepada pendidikan untuk menjadikan anak-anak bangsawan Melayu sebagai real gentlemen untuk pentadbiran Inggeris. Di MCKK, beliau dianggap seorang remaja Melayu yang kurang beretika kebangsawanan oleh teman-teman yang berdarah raja kerana keberanian beliau bercampurgaul dengan anak-anak pembesar dari kelas bawahan. Hal ini tidak disenangi oleh Inggeris. Mereka telah melaporkan kepada kerajaan negeri Johor, bahawa Dato’ Onn telah bersedia berkhidmat supaya Dato’ Onn tidak lama di MCKK. Mereka juga mengetahui dan berasa bimbang jika Dato’ Onn berupaya mempengaruhi anak-anak bangsawan lain di situ.

Dato’ Onn telah pulang ke Johor pada tahun 1912 dan sebaik saja sampai, beliau telah dilantik menjadi kerani rendah sementara di Pejabat Perkhidmatan Pos. Beberapa bulan kemudian beliau telah dinikahkan dengan keluarga angkat beliau Cik Rafaeh bt Abdullah. Ketika berusia 18 tahun beliau diwajibkan menyertai Askar Timbalan Setia. Jiwanya terasa tertekan kerana terasa dikongkongi oleh peraturan dan disiplin tentera. Banyak peraturan sengaja beliau langgar dan sering membuat hal hingga tidak menyenangkan pihak atasan. Akibat daripada itu, Sultan telah menguatkuasakan Ordinan Ketenteraan pada tahun 1916 yang berkuatkuasa kepada semua anggota tentera tidak kira mereka dari golongan bangsawan atau rakyat biasa. Dato’ Onn masih tidak berubah dan beliau beranggap beliau juga mempunyai imuniti berikutan kerabat di raja sering diberi pengecualian.

Beliau beranggapan beliau juga adalah kerabat kerana bapanya sendiri adalah Menteri Besar dan mertua kepada Sultan Johor. Tambah pula, perangai beliau yang dianggap telah melakukan kesalahan bukannlah mengenai tatatertib kententeraan tetapi lebih kepada ketidakpuasan hati beliau terhadap Sultan yang terlalu bias kepada pegawai orang putih dan kerabat terdekat. Pada tahun 1919 ayahanda beliau, Dato’ Jaafar meninggal dunia dan ini memberi kesan psikologi yang amat sangat kepada Dato’ Onn. Meskipun beliau tidak dimanjai oleh bapanya tetapi beliau sangat sadar bahawa bapanya ialah seorang bangsawan Melayu berjiwa rakyat yang sangat mengambil berat tentang rakyat. Bapanya sangat menitikberatkan kebajikan orang Melayu. Bapanya memang seorang tokoh pemimpin Melayu yang amat terkenal.

Dato’ Jaafar adalah seorang pemimpin Melayu yang bijak dan terkenal memodenkan pemikiran orang Melayu Johor sejak pemerintahan Sulatan Abu Bakar. Apbala Sultan Ibrahim merampas kediaman bapanya dan keluarganya diarah pindah kerana sultan memilik negarakan semua harta Dato’ Jaafar, Dato’ Onn telah mengkritik terang-terangan bapa angkat beliau iaitu sultan Johor. Berikutan itu, beliau telah dipecat dari pangkatnya dan diberhentikan dari menjadi Askar Timbalan Setia. Setelah menganggur beberapa bulan pada tahun 1921 dengan rekomen Tengku Mahkota beliau diterima menyambung kerja di Pejabat Tanah Muar sebagai penolong pegawai rendah pemungut hasil.

Di Muar beliau aktif dalam permainan bola sepak. Ketika menyambut Hari Keputeraan Sultan di Muar, beliau telah menganjurkan pakaian beragam dan beliau telah memakai kostum raja dalam wayang Cina. Secara simbolik ketika mengaya dan memperagakan kostumnya, beliau berlagak sebagai raja diktaktor kerana menyindir Sultan Johor. Sekitar tahun 1926 beliau dipindahkan ke Pejabat Pemungut Hasil di Batu Pahat dengan jawatan dan tugas yang sama. Ketika di situ, sekali lagi beliau memberi kritikan terbuka kepada ayahanda angkatnya, baginda sultan kerana mengutamakan pegawai Inggeris daripada anak tempatan sendiri. Ini adalah berikutan tuntutan alaun sara hidup beliau yang tidak dilayan oleh Sultan berbanding sara hidup pegawai Inggeris yanag cepat dinaikkan.

Akibat dari itu beliau telah dipecat pada tahun 1928 dan dibuang negeri ke Singapura. Pada waktu yang sama abangnya Dato Aabdullah Jaafar yang sedang menjadi Menteri Besar Johor juga diberhentikan daripada jawatannya. Mereka telah tinggal bersama di Singapura. Oleh kerana ketika itu zaman kemelesetan sedang berlaku begitu teruk, mereka gagal mendapat pekerjaan. Untuk menyara hidup Dato’ Onn telah menyewa sebuah rumah setinggan dan bekerja sebagai nelayan. Apabila tidak memungkinkan beliau ke laut, beliau telah meluangkan masanya menonton wayang Cina dan opera bangsawan Melayu. Beliau juga sering menumpang baca berita-berita yang di jual dan di cetak oleh syarikat cetak milik saudagar Arab berdekan tempat beliau menghabiskan waktu. Kerana minat dan kebolehan beliau , Dato’Onn diberi kepercayaan menyumbangkan rencana dan akhirnya diterima menjadi penulis di Syarikat Percetakan Akhbar Singapura.

Kesempatan itu telah digunakan sepenuhnya oleh Dato’ Onn untuk mencurahkan isi hati dan ketidakpuasan dirinya terhadap Sultan Johor. Beliau menganggap Sultan Johor suka membazir dan tidak mempedulikan nasib rakyat jelata. Beliau juga pernah mengritik Sultan Johor memaksa Askar Timbalan Setia membuat kerja-kerja buruh seperti buruh paksa untuk kepentingan perladangan milik peribadi Sultan. Kelancangan dan keberanian beliau mendapat liputan meluas dari akhabar-akbar lain. Dato’ Onn mula dikenali dan popular dengan cepat. Latar belakang beliau juga diketahui dan banyak penulis dan masyarakat pembaca Melayu menyukai tulisan yang berani seperti tulisan Dato’ Onn.

Penulisan Dato’ Onn sering berkisar dalam Istana Sultan Johor. Beliau juga berjaya memperlihatkan gambaran hidup dan pemikiran yang serupa di kalangan istana raja-raja Melayu lain. Kepincangan gaya hidup dan keborosan putera-putera raja menjadi isu besar manakala pada waktu yang sama kesadaran terhadap keadilan dalam layanan terhadap pegawai dan kakitangan awam yang tidak selaras dan adil apabila dibandingkan dengan pegawwai Inggeris dan bangsa asing. Orang Inggeris dan bukan Melayu dilayan baik dan ini sangat tidak menyenangkan orang-orang Melayu. Dato’ Onn kerap menulis mengenai persoalan layanan, perbedaan gaji dan alaun hingga menular kepada perbicaraan dan perbincangan mengenai keadaaan kesihatan, pelajaran dan ekonomi dan adat- resam dan kebudayaan.

Di awal tahun 1930-an kesedaran kepada pelajaran dan minat pembacaan mula berkembang subur. Di zaman meleset tidak banyak bahan bacaan yang dapat dirujuk. Akhbar-akhbar Melayu tempatan mendapat tempat dan pesanan yang amat menggalakkan. Pertumbuhan dan pengeluaran akhbar melayu seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Berita-berita dunia pula mulai masuk dengan mudah dan berita sensasi peperangan di Eropah mula mendapat perhatian. Kegiatan dan peranan Angkatan Muda yang gagal mempengaruhi masyarakat Melayu melalui dakwah telah menggunakan flatfom akhbar dan berita semaksima mungkin.

Fahaman Angkatan muda telah meuar-uarkan perjuangan kebebasan mentadbir dan memerintah sendiri. Ini dilakukan kerana terhasil daripada kesedaran dari keadaan negara Turki yang telah dikongkongki oleh kuasa barat apabila Empayar Othmaniah ditamatkan di awal 1920-an. Pejuang-pejuang kebebesan Islam telah ditangkap dan disekat kebebasan bersuara. Mereka melihat agama telah dikongkongi dan negara Turki telah dijajah. Pengaruh dan dasar kerajaan baru Turki yang memperkenal sistem skular dan moden telah mematikan kebudayaan Islam. Dengan perjuangan dan mesej yang dibawa oleh mereka ke sebelah Timur mereka telah meuar-uarkan semangat perjuangan dan kemerdekaan melalui pendidikan moden.

Dato’ Onn yang mempunyai latar belakang pendidikan Inggeris dan berpengalaman dengan sikap bias, prijudis dan hipokrit Inggeris berasa bertanggungjawab untuk berbuat sesuatu. Ini didorong pula oleh asal-usul dirinya yang mempunyai darah Turki. Beliau telah mengambil peluang ini dengan sepenuh tenaga dengan menulis di dada akhbar. Beliau tidak memperlihatkan dirinya terpengaruh dengan arus perdana yang dibawa oleh Angkatan Muda. Sebaliknya beliau menilik diri sendiri dan keadaan bangsanya sendiri. Beliau berasakan isu-isu yang ditulisnya sangat relevan. Beliau telah menulis dengan penuh minat dan bertanggongjawab tanpa memikirkan penat lelah dan upah. Usaha beliau telah menjadikan akhbar yang dipertanggongjawabkan kepadanya iaitu akhbar Warta dan Warta Negara menjadi begitu laris dan terkenal.

Jualan akbarnya mendapat sambutan sehingga beliau mampu mengurus dan menerbitkan akhbarnya sendiri. Beliau telah menulis banyak kepincangan dan kelemahan orang Melayu dan cara-cara mengatasinya. Beliau juga mendedahkan kelalaian intitusi raja dan cendikiawan Melayu yang berpendidikan Inggeris. Mereka dianggap telah lupa kepada tanggongjawab untuk menjaga maruah diri dan maruah bangsa. Dato’ Onn sering menkritrik sikap pegawai-pegawai Melayu yang telah di brain wash oleh Inggeris hingga kadang kala menjadi lebih Inggeris daripada orang Inggeris sendiri. Liputannya mendapat perhatian bukan sahaja di kalangan rakyat biasa tetapi juga di kalangan istana, para bangsawan serta orang-orang Melayu berpendidikan Inggeris.

Dato’ Onn telah berjaya memberi kesedaran kepada mereka kerana Dato’Onn sendiri adalah daripada kalangan bangsawan di istana. Beliau gigih memperjuangkan hak bangsa Melayu yang dianggapnya sebagai perjuangan sejagat. Beliau berjuang melalui penulisan dan beliau menyindir pedas orang Melayu berpendidikan Inggeris yang tidak sadar diri. Dato’ Onn berjaya meluahkan perasaannya selari dengan kenyataan keadaan sosial ketika itu. Beliau berjaya mencuit hati para pembaca kerana beliau menilik diri beliau sendiri dengan semangat Melayu yang tulin.

Sejak dari kecil beliau terasa beliau dihalang untuk berdamping dengan putera-putera raja oleh pegawai Inggeris. Beliau tidak dibenarkan melanjutkan pelajaran di England bukan kerana beliau lemah tetapi dikuatiri beliau akan mempengaruhi anak raja dan orang Melayu. Dulu, beliau tidak begitu menyedari hal itu tetapi apabila beliau berpengalaman menjadi marhein, ketika itulah apa yang tersirat menjadi nyata di mata dan fikiran beliau. Jjika beliau diberi pendidikan tinggi dan berpengetahuan, tentunya membahayakan Inggeris. Inggeris melihat beliau memang berpotensi menjadi peminpim Melayu Moden. Keadan itu mesti dielakkan demi kepengtingan Inggeris.

Ramalan Inggeris memang menjadi kenyataan apabila Dato’ Onn mengetuai orang-orang Melayu menentang Malayan Union. Dato’ Onn juga sedar kekurangan pada dirinya yang tidak berpelajaran tinggi. Kekurangan itu tidak dibiarkan. Alam kewartawan banyak mengajar dan memberi input kepada beliau. Beliau sendiri mempunyai latar belakang keluarga yang baik. Ini telah memberi keyakinan diri yang tinggi kepada jiwa dan semangat beliau. Beliau dapat menghayati dan mengalisa keadaan semasa dan agenda Inggeris daripada pengalamannya. Beliau Berjaya membaca strateji Inggeris yang bersifat penjajah.

Pengalaman ketika berkhidmat sebagai pegawai awam negeri Johor, ketika menjadi Askar Timbalan Setia dan ketika beliau menghadapi kesukaran hidup menjadi golongan marhein sebagai nelayan dan menyewa di rumah setingan di Singapaura telah menjadi modal tidak ternilai dalam penulisannya. Pengalaman dan penghayatan beliau telah membuka bukan saja mata tetapi juga minda dan fikiran beliau dan beliau berjaya meluahkannya dan mempengaruhi masyarakat sekeliling . Beliau sungguh sensitif dengan kedaifan bangsa beliau. Bangsa Melayu, di negara Melayu yang dianggap sebagai negara milik dan warisan datuk nenek moyang. Di satu pihak lain, beliau melihat golongan bangsawan dan pembesar negeri terus leka dibuai oleh pengaruh kecerdikan Inggeris. Inggeris terus mengaut hasil yang tidak terhitung banyaknya dari bumi Melayu.

Pada tahun 1935 Dato’ Onn telah menerbitkan Selamat Johor sempena Hari Kemahkotaan Sultan Johor ke 40. Beliau telah memuatkan berita-berita istana yang positif. Beliau berharap kematangan Sultan memerintah ke arah pembaikan. Beliau yakin bahawa nilai yang baik perlu dicontohi dan diketengahkan. Begitu juga yang tidak elok perlu diberi perhatian agar tidak diteladani oleh anak bangsa. Terbitan Selamat Johor yang diterbitkan oleh beliau sangat popular dan mendapat pesanan diluar jangkaan.Beliau menjadi bertambah popular.Tengku Mahkota Ismail telah menyarankan ayahanda baginda memberi pengampunan kepada Dato’ Onn kerana jasanya mengangkat kebajikan yang dilakukan oleh Sultan Ibrahim. Sultan Johor berasa sukacita dan menganggap Dato’ Onn telah berjasa kepada baginda dan negeri Johor. Sehubungan itu baginda Sultan Johor berkenan memberi keampunan kepada beliau. Baginda telah mengundang beliau dan keluarga balik dan berkhidmat di Johor.

Pada tahun 1938 Dato’ Onn telah dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Negeri. Persetujuan beliau untuk berkhidmat dengan Sultan Johor dengan bersyarat supaya pandangan beliau tidak disekat kecuali pandangan yang merugikan rakyat. Beliau telah diberi jaminan kerana beliau dianggap oleh para cendekiawan Johor sebagai seorang yang berani dan sangat berguna kepada negeri Johor. Sultan dinasihati supaya menganugerahkan jawatan yang penting dan tinggi kepada Dato’ Onn sebelum beliau dilamar oleh Singapura, negeri Melayu lain atau Inggeris. Sultan Johor telah memperkenan lebih-lebih lagi Tengku Mahkota yang sering memangku sultan juga berkeras menginginkan teman setia dan karibnya berkhidmat di Johor.

Ketika Dato’ Onn menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Johor, cadangan beliau telah diterima untuk mewujudkan biasaiswa pelajaran kepada pelajar-pelajar Melayu yang bekelayakan. Biasiswa tersebut merupakan biasiswa yang pertama telah diujudkan di negeri Johor dan Semenanjung Tanah Melayu. Pelajaran dilihat sangat penting bagi menjamin dan membantu orang Melayu. Mereka nanti akan berupaya mencapai dan memajukan bangsa apabila tamat belajar. Dato’ Onn juga menggesa agar pendidikan kepada kaum wanita juga ditingkatkan. Di samping itu pelajaran agama juga tidak diabaikan.

Ketika zaman Jepun, Dato’ Onn telah diberi kepercayann oleh Pentadbiran Tentera Jepun menjadi pegawai bekalan dan mengagih makanan. Beliau telah mengagihkan beras mengikut arahan dan kuasa yang telah diberikan. Beliau tidak menggunakan kuasa dan pangkat beliau secara bias. Tetapi, di dalam senyap dan rahsia beliau juga membantu memberi bekalan makanan kepada pergerakan kiri yang anti Jepun. Beliau mengetahui strateji yang dibuat oleh Ibrahim Yakob dan Ahmad Boestaman . Beliau mempunyai hubungan baik dengan mereka dan juga dengan MPAJA.

Kepimpinan Dato’ Onn terserlah apabila dilantik khas menjadi pegawai daerah Batu Pahat bagi menghentikan persengketaan kaum antara orang Melayu dengan orang Cina. Majoriti orang Cina Batu Pahat telah menyertai MPAJA ketika zaman Jepun kerana penindasan tentera Jepun terhadap orang Cina. Setelah tentera Jepun menyerah, mereka menjadi komunis dan telah menzalimi dan menganiaya orang Melayu. Orang Melayu telah bersatu dan menubuhkan tentera Selimpang Merah yang diketuai oleh Kiai Salleh dan membalas serangan-serangan orang Cina. Dalam masa yang singkat beribu orang Cina terbunuh. Apabila sultan menerima laporan dan bantuan perlindungan dari saudagar Cina dari Batu Pahat, Dato’ Onn telah dititah menyelesaikan persengketaan itu.

Dato’ Onn telah berjaya memujuk angkatan kumpulan Selimpang Merah yang diketui oleh Kiai Salleh agar menghentikan serangan dan berdamai. Ketika Inggeris kembali ke Tanah Melayu dengan idea pemerintahan Malayan Union yang melenyapkan keistimewaan dan hak-hak orang Melayu, Dato’ Onn segera menubuhkan Kesatuan Melayu Semenanjung Johor yang akhirnya berjaya menyatupadukan persatuan dan kesatuan Melayu seluruh Tanah Melayu bagi menghalang pencabulan Inggeris dan menentang Malayan Union. Beberapa persidangan dan kongres telah diadakan dan di Kongres Melayu di Johor Bahru pada 11 Mei 1946, UMNO dengan rasminya telah ditubuhkan. Dato’ Onn telah dilantik menjadi Yang DiPertua. Melalui UMNO, beliau menyusun strateji dan aktiviti menentang Malayan Union sehinggga Inggeris terpaksa membubarkannya pada 1 Februari 1948 dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Sejarah
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere