SEJARAH BAKRI MUAR ASALNYA KAMPUNG JAWA

POLITIK MELAYU-BUGIS TERHADAP MELAYU-JAWA

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Tidak dapat banyak rekod dan dokumen yang dapat dikaji oleh seorang sejarawan mengenai hal kedatangan dan penempatan orang Jawa di Johor jika ingin mencari bahan atau dokumen bertulis yang terperinci mengenainya. Ini adalah kerana pada ketika itu politik istana Johor sedang terumbang-ambing memperkasa jati diri dan mengawal ketat aktiviti orang asing. Kedatangan dan kemasukan orang India dan Cina dicatat begitu rapi tetapi kemasukan orang Melayu Nusantara dari pelbagai suku seolah-olah bebas kerana dianggap serumpun atau masih warga di bawah kedaulatan empayar Melayu Johor Riau yang mewarisi kerajaan Melayu Melaka. Walaupun seolah-olah bebas tetapi sebenarnya amat ketat di kawal oleh penghulu-penghulu tempatan diatas titah pembesar Johor terutamanya terhadap penghijrah suku Jawa.

Pada abad ke 19 iaitu 1800-1900 telah berlaku peristiwa bersejarah Nusantara Melayu yang penting di mana pengaruh Barat iaitu Belanda dan Inggeris telah membuat perjanjian 1824 yang telah menetapkan sempadan kuasa masing-masing tanpa menghiraukan kedaulatan peribumi. Empayar Melayu Johor menerima tekanan yang kuat sehingga terpisah dan berpecah-pecah. Pahang di bawah kuasa Bendahara telah mengumumkan terpisah dari daulat Kesultanan Johor di Riau yang dipengaruhi oleh pembesar keturunan Bugis. Negeri-negeri Melayu Sumatera juga berkerajaan sendiri dan Johor pegangan Temenggong , yang pada mulanya mendaulatkan Sultan Husein di Singapura akhirnya mengangkat diri dengan bantuan Inggeris sebagai sultan pada tahun 1885.

Inggeris telah berjanji untuk mengiktiraf Temenggong Ibrahim dan kemudian anaknya Temenggong Abu Bakar sebagai pemerintah Johor jika berjaya memajukan Johor secara moden. Inggeris bukan sahaja berjanji untuk mengangkat Temenggong sebagai Sultan Johor tetapi juga menggula-gulakan baginda sebagai sultan Melayu yang berhak mewarisi semua jajahan takluk milik empayar Melaka yang dikuasai Inggeris seperti Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Pahang.

Dalam usaha membuktikan baginda berwibawa, baginda telah coba campur tangan di Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang tetapi tidak diendah oleh pemerintah tempatan di atas nasihat Residen dan penasihat Inggeris yang bermuka-muka. Sehubungan itu Temenggong Johor telah mengambil nasihat pembesar-pembesar baginda dan juga Inggeris supaya menumpukan ekonomi negeri Johor dan menguatkan pengaruhnya di daerah-daerah di bawah penguasaan pemerintah feudal dan tradisional seperti Kesang, Muar dan Batu Pahat.

Temenggong Abu Bakar yang telah mengangkat dirinya sebagai Maharaja Johor pada tahun 1868 telah menitahkan pembukaan daerah-daerah baru. Pada tahun 1885 baginda bergelar Sultan Johor dengan pengiktirafan Inggeris. Ini merupakan hadiah dan menunai janji oleh Inggeris kerana Temenggong Abu Bakar berjaya memodenkan Negeri Johor sebagaimana dikehendaki Inggeris. Dalam memodenkan Johor Temenggong Abu Bakar telah meniru cara pentadbiran dan mengikut nasihat sahabat-sahabat Inggeris baginda yang berada di Singapura.
Baginda telah mengadakan beberapa dasar galakan pembukaan perkebunan, perlombongan, membuka penempatan, bandar dan daerah, mewujudkan peraturan khusus seperti undang-undang kangcu, peraturan membuka kebun dan peraturan kongsi disamping menubuhkan angkatan tentera moden (Johore Military Force), pasukan mata-mata preman (freeman), menubuhkan kongsi gelap Melayu elit bagi memantau kongsi gelap Cina dan lain-lain termasuk menjaga dan mengutamakan pemimimpin tradisional Melayu-Bugis bagi memastikan perkembangan dan dasar pemodenan yang dijalankan oleh baginda berjaya dan keselamatan serta keamanan terkawal.

Bandar Maharani telah dibuka pada tahun 1884, Bandar Penggaram Batu Pahat 1893 dan Endau Mersing pada tahun 1895. Sebelum baginda menitah membuka ibu negeri atau bandar sebagai pusat pentadbiran daerah tersebut sebenarnya telah ada penghulu yang bertauliah dan tidak bertauliah memerintah kampung-kampung tradisional. Mereka telah terlebih dahulu dititah supaya tunduk dibawah kuasa Temenggong dan tidak lagi di bawah Sultan di Riau atau Sultan di Singapura. Kebanyakan penghulu dan orang kaya yang diberi tauliah dan kuasa mentadbir ialah penghulu-penghulu berketurunan Melayu-Bugis kerana Temenggong Johor sendiri berdarah Melayu-Bugis.

Di Muar, kawasan yang amat maju dan terkenal ketika zaman itu ialah kawasan Padang iaitu kawasan pesisir pantai di sebelah kanan Sungai Muar membawa ke Sungai Pulai lebih kurang 30 km dari Pekan Muar menghala ke Batu Pahat iaitu di sebelah selatan. Pekan atau Bandar Muar Lama sebelum pembukaan Bandar Maharani adalah merujuk penempatan yang padat penduduk di antara Muara Bentayan dan Muara Tiram. Kini Muara atau Sungai Tiram hanya dikenali sebagai Parit Tiram sahaja. Pekan kecil yang terkenal di Padang ialah Parit Bakar dan Parit Jawa. Pekan Muar dan Padang dikuasai dan diperintah secara turun temurun oleh suku Melayu Bugis sejak zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka. Dari Pekan Muar dan kawasan tebing sebelah kanan Sungai Muar hingga ke pedalaman di Segamat adalah di bawah kuasa pemerintahan pembesar tradisional Temenggong Muar. Manakala di sebelah kiri tebing Sungai Muar ke Sungai Rambai di kenali sebagai Negeri Kesang Muar milik Sultan Ali secara turun-temurun tetapi telah diletakkan oleh Maharaja Abu Bakar sebagai wilayah jajahan Johor selepas Perang Jementah 1879.

Sebelum berlakunya Perang Jementah 1879 atau lebih tepat lagi sebelum Maharaja Abu Bakar bergelar sultan pada tahun 1885, terdapat banyak maklumat lisan mengatakan bahawa banyak perkampungan telah dibuka oleh orang-orang Jawa di Johor tetapi tidak diuar-uarkan oleh orangkaya-orangkaya dan penghulu bertauliah kerana mengikut arahan birokrasi atau para pembesar pentadbir negeri Johor di Johor Bahru. Perkampungan dan desa-desa ini dikawal rapi oleh orangkaya dan penghulu yang ditauliah oleh Maharaja Abu Bakar. Hal ini adalah sebagai usaha pengawalan orang asing dan strateji mengawal keamanan dan keselamatan negeri kerana orang Jawa dianggap mempunyai negeri dan kerajaan sendiri di Pulau Jawa.

Kepada pendatang Melayu dari suku selain Jawa dibenar membuka desa dan perkampungan dan diberi tauliah sebagai penghulu di atas sokongan orangkaya yang memerintah. Contoh penghulu Melayu yang diberi tauliah dengan mudah ialah penghulu Kampung Serkam Muar yang berasal dari Melaka dan Penghulu Pinang Seribu yang berasal dari Melayu Sumatera. Manakala ketua orang Jawa iaitu Penghulu Haji Jabar di Parit Bakar Darat pada tahun 1865 dan Haji Md Noh di Kampung Jawa (Bakri) pada tahun 1868 tidak diberikan tauliah.

Haji Jabar telah sampai ke Muar mengikut kumpulan 65 perahu dari Cerebon atau Pualau Jawa. Kumpulan ini diketuai oleh Juragan Lebai Muhamad seorang saudagar raja kepada raja Cerebon. Lebai Muhamad ialah bapa kepada Haji Md Noh yang telah datang ke Muar pada tahun 1865 mencari penempatan dan tanah baru untuk bercucuk tanam. Haji Jabar telah berlabuh di Muar dan tertarik kepada daerah Padang. Kemudian beliau ke Parit Bakar dan di benarkan oleh Orang Kaya Joned untuk membuka kebun di Parit Bakar Darat. Haji Jabar telah berjaya membuka penempatan di Parit Bakar Darat dan berkembang ke arah laut tetapi di sekat kerana kepentingan politik. Haji Jabar memberi alasan bahawa beliau memerlukan kawasan yang boleh dibuat pelabuhan kerana beliau sendiri adalah seorang nakhoda atau juragan dan saudagar yang mempunyai beberapa perahu besar. Perdebatan itu akhirnya diselesaikan dengan beliau dibenarkan membuka Parit Jawa pada 1868 setelah bersumpah akan setia kepada raja Melayu iaitu Maharaja Abu Bakar. Kampung yang dibuka diberi nama Melayu sebagai Kampung Baru.

Beliau ditauliah sebagai penghulu Parit Jawa Padang pada tahun 1870. Pada tahun 1871 Haji Jabar memindahkan Pekan Kampung Baru, 3 km ke darat bagi mengelak banjir yang selalu melanda. Mulai 1871 kampung beliau dikenali sebagai Kampung Parit Jawa kerana di popularkan oleh Ibrahim Munshi yang melihat orang-orang Jawa sedang bergotong royong menggali sebatang parit yang amat besar seperti taliair bagi mengeringkan kebun-kebun mereka dari banjir ketika datang melawat Padang. Parit besar ini merentas dari pantai ke kaki Bukit Mor dikenali sebagai Parit Jawa.

Haji Md Noh pula sampai ke Muar mengikut kumpulan perahu Jawa berikutnya, yang juga diketuai oleh bapanya pada tahun 1868. Beliau, adiknya Haji Sulaiman dan adik perempuannya Hajah Fatimah telah ditinggalkan oleh bapa mereka untuk menetap di Muar. Oleh kerana Lebai Muhamad biasa datang ke Muar dengan jongnya dan mempunyai perniagaan, keluarganya dibenarkan tinggal di dalam pekan Muar. Haji Md Noh telah diarah membuka kebun dan penempatan di hulu Bentayan dan Ulu Tiram. Kawasan itu didapatinya berpaya dan hanya didiami oleh beberapa keluarga sakai laut. Manakala jauh ke darat didiami oleh orang asli yang dikenali sebagai Jakun.

Haji Md Noh berjaya membuka penempatan dengan menebas paya dan menggali serta meluruskan aliran Sungai Bentayan pada tahun 1871. Beliau telah dibantu oleh orang-orang Jawa yang dibekalkan oleh bapa angkatnya Penghulu Jabar dari Parit Jawa dan Penghulu Kesang. Penghulu Kesang ialah saudagar Jawa dari Melaka yang diangkat menjadi penghulu oleh Sultan Ali ibni Sultan Hussein. Penghulu Kesang juga mempunyai pertalian darah dengan bapa Haji Md Noh. Disebabkan hubungan yang rapat ini, Haji Md Noh walaupun telah berjasa membuka Kampung Jawa dari Pekan Muar hingga lima batu ke hulu Sungai Bentayan dan Parit Tiram tetapi hanya dilantik sebagai naib-penghulu yang tidak bertauliah kepada Orangkaya Haji Joned.

Maklumat lisan dari saudara mara Haji Md Noh iaitu orang-orang tua Jawa di Parit Jawa, Bukit Bakri, Bukit Gambir dan di Pagoh bercerita bahawa hal itu berlaku kerana Haji Md Noh menolak saranan jodoh dengan keluarga Orangkaya Joned. Beliau telah mengikut saranan bapa angkatnya, Penghulu Kesang supaya berkahwin dengan Tun Zainab, adik kepada Tun Hassan Penghulu Diraja Pagoh iaitu anak kepada Engku Muda Tun Mansor bin Bendahara tun Ali Pahang. Dengan perkahwinan itu beliau telah dikurnia Kampung Sungai Raya di Bukit Pasir Muar dan di situ beliau juga telah membuka penempatan Jawa dan mengusahakan ladang sagu rumbia.

Selain itu, keluarga Haji Md Noh juga disyaki penyokong kepada Tengku Alam, putera Sultan Ali yang terlibat dalam Perang Jementah dengan Maharaja Abu Bakar. Hj Md Noh juga disyaki membantu dan menyokong keluarga isterinya dalam perbalahan saudara diantara kerabat diraja Pahang. Pada ketika itu Sultan Abu Bakar sedang berbaik-baik semula dengan Sultan Ahmad Pahang yang sedang diancam oleh Engku Muda Tun Mansur dengan pemberontakan.

Ketika ketiadaan beliau kerana menjadi naib penghulu dan tinggal di Sungai Raya, nama Kampung Jawa telah ditukar kepada Bakri apabila Dato' Bentara Luar Johor, Mohd Salleh bin Perang meluruskan jalan dari Bandar Maharani ke kaki bukit di darat. Jalan Bakri adalah sempena nama Sultan Abu Bakar dan sebagai penghormatan kepada Sultan di hari keputeraan baginda pada tahun 1893. Apabila Sekolah Melayu dibuka pada tahun 1901 di Batu 2 dan dikenali sebagai Sekolah Melayu Jalan Bakri, nama Kampung Jawa pun terus bertukar kepada Kampung Bakri dan kekal hingga hari ini.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

3 comments:

stub-area said...

Oranga Jawa yg tinggal di Jalan Solok Muar itu berasal dari mana ?

Unknown said...

jalan parit buaya dan parit setongkat bagaimana sejarah ceritanya.. mohon kongsi maklumat.. tk

Unknown said...

Orang jawa memang hebat slm dr jawatimur

Post a Comment

 
Copyright 2009 Sejarah
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere