TREND MENULIS SEJARAH & MENERBIT BUKU

TREND MENULIS DAN MENERBITKAN BUKU

FAKTA SEJARAH DIJANGKA AKAN BERUBAH


Ketika era pentadbiran Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, beliau telah memberi galakan supaya tokoh-tokoh penyumbang perkhidmatan professional yang berjasa kepada Negara menulis biografi sendiri . Beliau juga bersetuju mata pelajaran sejarah menjadi mata pelajaran yang wajib diambil di peringkat SPM. Tujuan utamanya ialah untuk memberi dan menanam kesadaran bahawa fakta sejarah sangat penting dan perlu diketahui oleh semua lapisan rakyat Malaysia memandangkan ketipisan semangat kebangsaan dan semangat mencintai Negara sendiri di kalangan remaja.

Pada waktu yang sama kerajaan juga melihat betapa ruginya bangsa jika budaya bangsa yang pernah cemerlang tidak terdapat dalam catatan sejarah kebudayaan kontemporari. Kebudayaan kontemporari yang dimaksudkan adalah budaya pentadbiran awam yang terhasil dari para profesional Melayu sejak merdeka hingga ke hari ini. Mereka tidak berminat menulis atau menerbitkan buku berkenaan diri mereka yang boleh dibuat rujukan dan panduan oleh generasi akan datang.

Sebenarnya, Malaysia sehingga ke hari ini masih menduduki di kumpulan tangga teratas kerana cekap dan telus dalam perkhidmatan awam. Perkhidmatan awam Malaysia dianggap standing dengan Negara maju. Sejarah pula membuktikan bahawa hal ini adalah hasil warisan dari pentadbiran awam kerajaan British yang memang terkenal dengan mutu standard yang tinggi demi kepentingan rakyat awamnya. Pentadbiran yang diwarisi dari sistem British ini pula diteruskan dan dipraktiskan oleh pegawai tempatan Negara ini yang terdiri dari kaum Melayu.

Setelah Tun Dr Mahathir bersara, inisiatif memberi galakan menulis ini juga terkubur. Peruntukan kewangan dan pengecualian cukai kertas dan berkaitan penerbitan dan percetakan juga tidak berbangkit lagi. Keadaan ini tidak menjadi fokus apabila BN menang besar pada Pihanraya XI 2004. Tetapi setelah Piliharaya Umum XII 2008, trend menulis berkenaan sejarah dan jasa seseorang tokoh telah aktif semula. Tetapi trend menulis dan menerbitkan penerbitan berkenaan tokoh dan sejarah bukan dilakukan oleh para tokoh atau bekas professional Melayu sebaliknya ialah kaum Cina. Mereka sangat aktif menerbitkan buku tanpa bantuan kewangan atau peruntukan kerajaan tetapi membiayainya dengan wang sendiri.

Dalam penerbitan mereka terutamanya yang bercorak sejarah, mereka memfokus sumbangan orang Cina dalam pelbagai bidang di negara ini sejak zaman sebelum kewujudan Kesultanan Melaka. Semua penulis yang berjaya menulis seolah-olah telah diberi kefahaman dan taklimat objektif dan motif penulisan. Bahasa yang mereka gunakan dalam buku hasil penerbitan mereka ialah bahasa Inggeris dan Mandarin. Orang Cina digambarkan begitu berjasa dan penuh komitmen memaju dan membangunkan sebuah Negara bangsa hingga terkenal sebagai Malaysia yang maju pada hari ini.

Apabila dibuat perbandingan fakta secara rambang, amat kelihatan watak dan tokoh wira Melayu digambarkan tidak sehebat tokoh atau wira orang Cina. Meskipun fakta sejarah agak seiring tetapi kehebatan tokoh mereka adalah lebih menonjol dari tokoh pribumi sendiri. Sebelum 1800 M Tokoh atau watak idola mereka dalam segala bidang pula terarah kepada tokoh dan watak wira yang hebat di Tanah Besar Cina . Manakala setelah 1800, Singapura dan Inggeris adalah watak yang boleh dianggap atau sengaja diangkat sebagai mentor pemikiran kaum Cina ketika itu. Watak wira pribumi yang dianggap idola hanyalah watak pemimpin Melayu yang dianggap tidak rasis seperti Dato’ Onn dan Tunku Abd. Rahman. Selain itu mereka tidak meletakkan ketokohan wira pribumi sebagai seorang tokoh berjasa yang hebat dan selayaknya kecuali standing dengan tokoh-tokoh dari kaum Cina yang sezaman dengan tokoh Melayu itu.

Ketika ini sangat banyak penerbitan yang mukadimahnya menyambut baik saranan kerajaan supaya memperbanyakkan penerbitan bercorak sejarah dan isu kesatuan dan perpaduan sebagai sebuah bangsa Malaysia. Jika dulu isu cita-cita atau cadangan satu bangsa Malaysia hanya dipopularkan oleh parti pembangkang yang dikuasai atau dipengaruhi kaum Cina tetapi kebanyakan penerbitan yang bercorak sejarah dan tokoh wira Negara mahupun biografi profesional dan peranan kaum Cina adalah ditulis atau dibiayai oleh BN atau NGO kaum Cina. Banyak penerbitan di pasaran memerihalkan tentang peristiwa 13 Mei 1969, Zaman Darurat, Zaman Komunis, Zaman Pembentukan Malaysia, Zaman Kegemilangan Sabah dan Sarawak (kaum Cina menganggap merekalah yang telah memodenkan Sabah dan Sarawak kerana menolak atau meninggalkan perjuangan komunis), Isu bahasa kebangsaan dan sejarah perjuangan bahasa ibunda Cina dan sejarah pendidikan Cina juga dengan mudah didapati sehingga mudah dicari untuk dijadikan bahan rujukan penyelidikan.

Terdapat juga banyak buku-buku biografi tokoh profesional perkhidmatan awam yang telah bersara. Dalam buku atau penerbitan berkenaan, tokoh-tokoh kaum Cina dan peranan yang dimainkan kaum Cina digambarkan begitu hebat dan menonjol. Mereka juga menulis penglibatan dan peranan mereka dalam pasukan seragam seperti polis, tentera, bomba, kastam dan sebagainya. Bekas tokoh professional kerajaan ini kelihatan standing dan sehebat dengan tokoh-tokoh perniagaan kaum Cina yang mereka bukukan tetapi jika dibandingkan dengan tokoh-tokoh wira pribumi walaupun sangat popular dan terkenal, seolah-olah tokoh pribumi yang hebat itu tidaklah lebih dari tokoh suku kaum Cina.

Berikutan dengan perkembangan ini dan kealpaan bangsa Melayu yang masih kelihatan ego dan sombong kerana berkuasa ketika ini tetapi tidak terfikir kuasanya itu, lambat laun akan menjadi pasaran bebas dan hilang pengguna atau kalah dalam pasaran maka tidak hairanlah jika pada suatu hari nanti fakta dan catatan sejarah juga akan berubah seperti yang berlaku di Singapura….

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Sejarah
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere