TUN MUHAMMAD GHAZALI SHAFIE

TUN MUHAMMAD GHAZALI CALON TPM YANG STIGMA

Muhammad Ghazali Shafie dilahirkan di Kuala Lipis, Pahang pada 22 Mac 1922. Beliau adalah anak jati Pahang kerana lahir di situ meskipun bapanya adalah dianggap anak jati Negeri Sembilan. Beliau dibesarkan dengan penuh kasih sayang oleh ibu-bapanya dan sangat dimanjai oleh datuk di sebelah ibunya. Pada zaman kanak-kanak, beliau tergolong dalam kumpulan kanak-kanak cerdik dan juga kanak-kanak kampung yang nakal. Beliau pada peringkat awalnya bersekolah di sekolah Melayu Kampung Penjum Bentong dan kemudian berpindah ke sekolah Melayu Raub. Beliau berjaya di dalam pelajaran dengan cemerlang dan melanjutkan pelajarannya ke Sekolah Inggeris di Kuala Lipis.

Kenakalan Muhammad Ghazali berubah menjadi remaja yang bertanggongjawab dan digemari ramai apabila beliau mendapati ibu yang dikasihinya bersedih kerana beliau tidak diterima masuk melanjutkan pelajaran ke Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) yang sangat terkenal ketika itu. Beliau tidak dapat diterima masuk melanjutkan pelajaran ke MCKK kerana datang daripada orang kebanyakan. Walaupun ibunya merayu kepada Residen Pahang ketika itu dengan memberi alasan Muhammad Ghazali memiliki kuputusan yang cemerlang dan bapanya adalah kakitangan kerajaan malah datuknya adalah jurutulis tulisan jawi kepada Residen, rayuannya tidak dipertimbangkan. Muhammad Ghazali turut bersedih apabila ibunya kecewa setelah rayuannya tidak dipertimbangkan.

Hal ini telah menyemarakkan semangat Muhammad Ghazali untuk belajar bersungguh-sungguh dan membuktikan kepada ibunya untuk menjadi pemuda yang terpelajar dan lebih baik dari bekas-bekas pelajar MCKK yang hanya menerima anak para bangsawan dan pembesar negeri melanjutkan pelajaran di situ. Bagi beliau, MCKK sebenarnya bukanlah pusat pembelajaran yang harus dibanggakan kerana di situ anak-anak Melayu dididik berfikiran Inggeris sehingga lebih keinggerisannya dari orang Inggeris sendiri. Dan matlamat Inggeris menubuhkan MCKK memang jelas iaitu untuk melatih anak-anak bangsawan dan anak pembesar Melayu bekerja di bawah peraturan dan telunjuk Inggeris.

Kebenciannya ini tidak diluahkan kepada umum tetapi telah mempengaruhi sikapnya yang tidak menggemari pegawai-pegawai Melayu keluaran MCCK yang tidak sadar dan tidak bersemangat Melayu sehinggalah beliau menjadi menteri.Beliau kerap dianggap sebagai seorang yang sombong tetapi tidak pula di kalangan pegawai bukan Melayu. Namun kepada mereka yang menurut nasihatnya supaya mengutamakan bangsa sendiri dan memberi peluang kepada anak-anak Melayu dari orang kebanyakan dilayan dengan baik oleh Muhammad Ghazali Shafie.

Setelah berjaya dengan cemerlang di Sekolah Inggeris Kuala Lipis beliau telah mendapat biasiswa khas melanjutkan pelajaran ke Kolej Rafles Singapura. Ketika di Singapura, perang meletus dan Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura jatuh ke tangan Jepun. Beliau telah kembali ke kampung dan membantu keluarganya bercucuk tanam sayuran dan padi bukit tetapi telah dipanggil Jepun dan diarah melanjutkan pelajaran di Maktab Bahasa Jepun di Melaka yang dikenali 'Kurensho'.

Setelah tamat kursus bahasa Jepun beliau telah dilantik oleh pemerintah tentera Jepun menjadi guru di sekolah Jepun pada tahun 1943. Tetapi beliau tidak begitu berminat menjadi guru dan permohonannya untuk menjadi pegawai propaganda Jepun setelah menjadi guru Jepun beberapa bulan diterima. Sejak itu beliau kelihatan sangat bertenaga dan ceria sehingga tentera Jepun memberi kepercayaan penuh kepadanya. Muhammad Ghazali Shafie dimata tentera Jepun adalah seorang pemuda Melayu yang sangat setia, pintar dan berkelakuan seperti seorang Jepun. Beliau diberi kebebasan bergerak di seluruh Pahang sebagai pegawai propaganda pemerintah Jepun.

Pada masa yang sama, Muhammad Ghazali Shafie turut menyertai Askar Wataniah yang ditubuhkan oleh Sultan Pahang untuk membantu tentera Jepun. Pada masa yang sama Askar Wataniah Pahang juga bekerjasama dengan agen bawah tanah Inggeris yang dikenali sebagai Force 136 tanpa diketahui tentera Jepun. Force 136 ketika itu sedang bersedia untuk menyerang kembali Jepun di Tanah Melayu dan membuat persiapan secara gerila di hutan-hutan pinggir bandar.

Setelah perang tamat, Muhammad Ghazali telah bekerja sebagai pegawai percubaan Melayu. Kemudian beliau telah diarahkan melanjutkan pelajaran dalam bidang perundangan di Wales pada tahun 1948. Beliau telah berjaya memperoleh ijazah undang-undang dengan cemerlang dan kembali ke Tanah Melayu pada tahun 1951. Beliau telah dilantik sebagai suruhanjaya perkeranian tetapi telah tidak disenangi oleh ibunya kerana menyangka telah sia-sia membuang masa belajar tinggi-tinggi dan jauh dari keluarga tetapi hanya bekerja sebagai kerani.

Pada tahun 1952, Muhammad Ghazali sekali lagi berangkat ke London melanjutkan pelajaran di bidang perkhidmatan awam dan ekonomi. Beliau juga menjadi pegawai pelatih di Kedutaan British di India dan kemudian menjadi Setiausaha Tetap di Kementerian Luar Negeri. Beliau terus meningkat dan telah menyumbang jasa yang begitu besar dalam arena diplomatik di era kemerdekaan. Beliau terlibat dalam penubuhan dan pembentkan Malaysia dari tahun 1958 hingga 1963. Kemudian beliau telah memainkan peranan penting dalam isu perdamaian dengan Indonesia dan Darurat serta terlibat secara langsung dalam Mageran dan menghasilkan Rukunegara serta penubuhan jabatan dan kementerian Penerangan.

Muhammad Ghazali Shafie telah dikurniakan beberapa bintng penghargaan termasuk Tan Sri kerana jasa-jasanya itu dan juga sumbangan beliau dalam membentuk Dasar Ekonomi Baru. Ura-ura melantik beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri dihalang oleh orang 3 naib UMNO tetapi diterimanya dengan fikiran yang terbuka tanpa berdendam. Beliau telah menjadi Menteri Dalam Negeri dari 1973 sehingga 1981. Kemudian menjadi menteri Luar Negeri pada tahun 1981 sehingga beliau menarik diri pada tahun 1984.

Setelah itu beliau banyak menyumbang bakti dalam pengembangan ilmu dan sektor koperat sehinggalah beliau meninggal dunia pada 24 Januari 2010 di rumahnya di Damansara Kuala Lumpur. Beliau telah dikebumikan secara perkebumian rasmi oleh kerajaan sebagai seorang tokoh wira negara dan disemadikan di Makam Pahlawan Masjid Negara Kuala Lumpur. Al Fatihah....

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Sejarah
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere