Sejarah Perpaduan Persatuan Orang Melayu Sebelum UMNO


Sejarah Perpaduan Persatuan  Orang Melayu Sebelum UMNO

Sebelum wujud UMNO (PEKEMBAR) pada 11 Mei 1946, sebenarnya sudah ada banyak pertubuhan dan persatuan Melayu dengan pelbagai nama. Di Johor misalnya sudah ada pelbagai persatuan yang dikenali sebagai Kesatuan, Kumpulan, Kelab, Persatuan, Pergerakan, Angkatan, Gerup dan lain-lain.  Semuanya pernah lahir di era sebelum dan di zaman Pendudukan Jepun (1941-1945) atau Perang Dunia Kedua. Ada yang berdaftar secara rasmi dan ada yang tidak berdaftar tetapi sangat popular dalam masyarakat  Melayu. Asas aktiviti, objektif dan perjuangan adalah untuk menjaga kepentingan dan kebajikan ahli dan masyarakat orang Melayu. Perkataan parti menjadi popular apabila persatuan ini mula berani memperjuangan nasib ahli atau masyarakat dengan cita-cita berbau pemerintahan atau berkehendakan kerajaan sendiri.

 Di luar Johor pula sudah ada antaranya seperti Saberkas, Kesatuan Melayu Muda, Angkatan Pemuda Insaf, Angkatan Wanita Sadar, Kesatuan Perniagaan Melayu , Parti Kebangsaan Melayu Malaya, Putera, Gerakan Angkatan Muda,  Barisan Tani Se Malaya dan lain-lain. Antara Yang dilihat berciri intelektual sebelum kedatangan Jepun di Johor  seperti Kelab Debat Muar sebuah unit dari Kelab Muar, Persatuan Melayu Muar dan Persatuan Melayu Johor. Kelab Muar ditubuhkan oleh kerajaan Johor pada tahun 1896 setelah berlaku rusuhan kongsi kelab Campiang Bendera Putih dengan Campiang Bendara Merah di Bandar Maharani Muar. Banyak bangunan kedai dibakar hangus dalam pergaduhan kongsi gelap itu yang berlaku pada awal tahun 1890. Rusuhan ini berhubung kait dengan kegiatan kongsi gelap yang terlibat dalam perang saudara di Perak, Selangor dan Negeri Sembilan iaitu antara Kongsi Gelap Hai San dan Ghee Hin.

Di Johor,  kumpulan Ghee Hin lebih dikenali sebagai Nee Heng (Bendera Putih) dan diterima secara rasmi dan diberi kuasa monopoli membekal candu, bekalan barangan keperluan harian dan penjualan babi kepada masyarakat Cina di kangkar-kangkar dalam system kancu. Pergaduhan dan rusuhan oleh dua kumpulan campiang (kongsi gelap) di Bandar Maharani telah berjaya disekat dan didamaikan dengan campur tangan Orang Kaya Joned dengan angkatan tentera rakyatnya yang diketuai oleh Abdullah Taiko (Hj Mohd Salleh) bekas panglima di istana Seri Mananti yang kemudiannya telah menubuhkan kumpulan kongsi gelap Melayu (Kumpulan Harimau Muar 1891-1948) yang dinaungi secara tidak rasmi oleh kerajaan Johor.

Sejarah mencatatkan bahawa pedagang dan saudagar,  mahu pun  ahli perniagaan Cina kesemuanya terikat dengan budaya kesukuan dan kongsi gelap bagi menjaga kepentingan perdagangan dan kehidupan mereka. Budaya ini telah dibawa ke mana sahaja dan di Tanah Melayu, Inggeris dan raja-raja Melayu terpaksa menerima budaya yang dibawa oleh pekerja-pekerja dan saudagar-saudagar Cina. Kesepakatan dan persefahaman telah menjadi norma dalam kehidupan seharian dan sehinggalah ke hari ini falsafah dan kegiatan kongsi gelap masih seperti dahulu.

Sebelum ada persatuan, orang Melayu bergiat mempertahankan kepentingan mengikut pengaruh orang atau ketua yang diangkat. Bermula dari ketua dalam kumpulan pertanian misalnya, menjadi ketua kampong, penghulu, orang kaya, pembesar istana dan raja atau sultan.
Mengikut buku Sejarah Melayu, orang Melayu memang payah bersatu padu kerana fanatik kepada kumpulan atau kesukuan sendiri. Kesepaduan hanya berkesan setelah ditawan atau ditundukkan. Kesetiaan dan perpaduan bermula mengikut marga keluarga, asal-usul dan keturunan. Perpaduan dan kesetiaan yang wujud dengan cepat adalah dengan ikatan perkahwinan dan dengan pertauliahan pembesar atau sultan. Kenalan atau sahabat handai, teman sepermainan juga menentukan faktor kesepaduan. Seterusnya asal kampong dan daerah. Kesepaduan yang dianggap tersusun ialah terhadap ketua kampong atau penghulu dan seterusnya kepada raja atau sultan. Kesepaduan dalam peperangan dibawah titah sultan juga masih terikat dengan pengaruh penghulu atau pembesar. Jika penghulu mereka enggan menjunjung titah maka anak buah semuanya patuh kepada ketua bukan kepada raja atau sultan.

Sejarah kerajaan Aceh, mencatat perasaan marah dan kesal kerana orang Melayu Johor tidak bersatu padu dibawah Aceh yang mengguna dan mengutamakan agama Islam ketika menentang Belanda di Melaka pada abad 17. Orang Melayu dianggap mempunyai toleransi yang tinggi dan boleh tinggal berjiran dengan segala bangsa dan agama tanpa rasa prejudis jika adat resam mereka  tidak diganggu atau dihina. Orang Melayu digambarkan oleh saudagar asing sebagai bangsa yang lemah lembut, bijak dan beradab sopan tetapi kurang rajin atau bekerja keras. Ini adalah kerana pengaruh adat dan budaya sebagai tuan di Tanah Melayu. Terdapat juga catatan orang asing mengatakan orang Melayu kelihatan menonjol ketuanan mereka  meskipun ikatan perpaduan pada keseluruhannya masih longgar dan samar.

Satu fakta menarik terhadap perpaduan orang Melayu ialah segera bekerja sama menyebelahi orang yang teraniaya lebih-lebih lagi jika mangsa dizalimi oleh orang luar atau orang asing. Orang Melayu kelihatan bersefahaman dan berpadu dengan mantap dalam keadaan darurat dan tertekan. Dalam keadaan biasa mereka tidak bersatu padu secara kolektif. Hal ini terbukti ketika berlaku peristiwa Perang Selendang Merah di Batu Pahat, Johor pada tahun 1945. Orang Melayu dari pelbagai suku telah bersatu padu membalas serangan Cina Komunis yang mezalimi mereka. Ketika raja-raja Melayu dihina dengan perlakuan Harold Mc Michael, Dato’ Onn Jaafar berjaya menyatupadukan orang Melayu melalui penyatuan kesatuan-kesatuan yang dianggotai mereka. Kesatuan mereka disatukan dan dikenali sebagai PEKEMBAR atau UMNO pada 11 Mei 1946. Perjuangan UMNO pada mulanya bukan memperjuangkan kemerdekaan kecuali menuntut pembubaran Malayan Union, mengembalikan martabat raja dan sultan serta hak-hak kebajikan kaum Melayu selaku pemilik Tanah Melayu. Tuntutan dan perjuangan kemerdekaan lebih awal dipelupori oleh Kesatuan Melayu Muda, Parti Kesatuan Melayu Malaya dan Hisbul Muslimin sebelum penubuhan UMNO.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
PWTC KL 6.8.2012

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Sejarah
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere