TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN YASIN KINI TPM MALAYSIA

TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN BIN HJ MOHD YASSIN

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Tan Sri Dato’ Hj Muhyiddin bin Hj Mohd Yassin adalah salah seorang tokoh politik yang masih bertahan di dalam kabinet Perdana Menteri Dato’ Hj Abdullah Ahmad Badawi pada hari ini. Penglibatan beliau dalam politik negara adalah lebih muda sedikit daripada Dato’ Seri Utama Hj Rais Yatim. Mengikut pemerhatian rakyat biasa, beliau adalah seorang pemimpin berwatak hambar atau netral dan sangat sederhana. Beliau tidak suka mencipta gimik dan menunjuk-menunjuk atau suka menjadi glamour. Kepada golongan pemimpin, lain pula pandangan mereka terhadap Muhyiddin. Begitu juga dari sudut pergaulan yang dinyatakan oleh ahli keluarga terdekat beliau. Manakala mengikut pandangan orang tua-tua yang mengenali beliau secara dekat seperti bapa saudara dan ibu tirinya adalah berlainan juga, tetapi bolehlah disimpulkan bahawa beliau mempunyai identiti diri tersendiri.

Beliau ialah seorang yang agak pendiam tetapi beliau merupakan seorang pendengar yang sangat baik dan pemikir yang tajam. Mengikut Allahyarham Tun Sulaiman Ninam Shah, Pengerusi Tetap UMNO yang paling lama memegang jawatan sebagai Pengerusi Tetap iaitu lebih kurang 29 tahun, Muhyiddin adalah seorang tokoh yang lurus, berwawasan dan mempunyai masa depan yang cerah. Beliau amat baik diambil jadi menantu. Pandangan ini adalah pandangan peribadi Tun Sulaiman Ninam Shah ketika Muhyiddin masih bujang. Beliau mengenali ramai anak muda Muar terutamanya yang berasal dan tinggal di Bandar Maharani. Kata-kata ini ditujukan kepada bapa mertua Muhyiddin yang merupakan kawan rapat dan kawan baik Tun Sulaiman Ninam Shah sejak mereka kecil. Mereka juga amat mengenali bapa kepada Muhyiddin iaitu seorang ulamak tetapi lebih suka dipanggil Cikgu Md Yassin saja.

Muhyiddin banyak mewarisi bapanya tetapi tidak dalam soal syarahan atau berpidato kerana bapa beliau adalah seorang ulamak yang sangat petah dan cekap berpidato dan sangat disukai ramai . Beliau banyak mewarisi sifat merendah diri tetapi tajam pemikiran seperti bapanya yang sangat bernas dan berisi apabila berucap dengan hujah-hujah yang tepat. Bapanya dianggap sebagai seorang pendakwah yang hebat kerana berjaya menarik perhatian pendengar ketika berceramah dan berdakwah agama.

Sahabat baik bapanya pula ialah orang-orang ternama dahulu seperti Tan Sri Osman Saat, Tan Sri Hassan Yunus, Tan Sri Mohd Noah Omar, Dato’ Hj Kosai, Dato’ Syed Abdul Kadir dan lain-lain yang amat terkenal dalam sejarah politik orang Melayu khususnya di Johor dan juga di Malaysia. Sebelum mereka menjadi tokoh penting dan terkenal, mereka berkawan baik. Mereka sangat suka membantu orang ramai dan menggunakan platform politik. Sebaliknya, bidang politik tidak pula diminati oleh bapa Muhyiddin kerana beliau lebih cenderung kepada dakwah dan pendidikan Islam. Begitulah sedikit kelainan antara Muhyiddin dan bapanya. Beliau telah menceburkan diri dalam politik yang tidak diminati oleh bapa beliau.

Terdapat maklumat daripada kenalan-kenalan rapat bapanya yang mengatakan bahwa Cikgu Hj Md Yassin boleh sampai ke tahap menteri seperti sahabat-sahabat baiknya jika beliau tidak bertegas menolak politik. Bapanya tidak mahu melibatkan diri dalam aktiviti politik ketika itu kerana tidak mahu timbul fitnah. Terdengar banyak kata bahawa Cikgu Hj Md Yassin boleh menjadi menteri, kerana beliau telah popular dan berpengaruh lebih dahulu daripada kawan-kawannya. Beliau terkenal sejak beliau mula mengajar dan berdakwah pada awal tahun 1920-an hinggalah perang meletus dan bertambah popular selepas perang dan pada era kemerdekaan. Populariti Cikgu Md Yassin malah sampai di tahun 1950-an, 1960-an hingga penghujung hayatnya pada tahun 1975.

Cikgu Md Yasin terus berkhidmat kepada masyarakat dalam bidang dakwah dan pendidikan sebagai penceramah bebas dan terkenal di seluruh Muar, Batu Pahat dan Melaka.Guru beliau yang terkenal ialah Kadi Abu Bakar Alim dan Kiai Fadhil Banten. Satu perkara yang menjauhkan bapa Muhyiddin dari terlibat dalam politik adalah kerana amalan tasauf beliau yang halus dan tinggi. Beliau melihat bidang politik terpaksa menyenangkan hati pengharap walau dengan berbohong sekalipun. Hal ini adalah pantang dan kebencian beliau.

Sifat lurus dan amanah ini juga diwarisi oleh Muhyiddin kerana beliau tidak suka menabur janji dan mendabik dada. Beliau hanya mamasang iltizam dan memikirkan jalan keluar sesuatu masalah dengan mendalam dan terus cepat melaksanakannya. Inilah sebenarnya kelebihan dan keistimewaan beliau. Sikap sebegini tidak berapa kelihatan pada era sebelum tahun 1990-an, tetapi pada ketika ini, sikap dan adab sopan yang halus juga boleh dikesan dan dinilai oleh orang. Kini, telah banyak berkembangnya ilmu dan alat yang dapat mengklasifikasikan adab yang berkualiti, halus dan unik itu.

Pakar-pakar pelbagai ilmu juga telah banyak. Pandangan serta kenyataaan seseorang terhadap sesuatu dapat dianalisis dan diberi nilai. Mengikut ilmu dan alat terkini yang telah begitu canggih dan pendapat ahli profesional, Mahyuddin mempunyai kualiti peradaban sejagat yang tinggi. Dia adalah pemikir dan pelaksana yang pintar. Sifat pendiamnya saja yang sering disalah-ertikan oleh kebanyakan orang. Sifat merendah diri pula meletakkan beliau sebagai seorang tokoh yang biasa. Sifat ini juga menutup keupayaan dan keistimewaan beliau sebagai seorang pemikir berkualiti.

Pada era Tun Musa Hitam, beliau ada mengatakan bahawa Muhyiddin ada memiliki sifat juang yang tinggi. Beliau adalah seorang yang lurus dan setia. Keberanian tidak ditunjukkannya, tetapi kejayaan yang dicapai adalah bukti hasil keberaniannya. Tun Ghafar Baba pula pernah berkata bahawa beliau suka pemimpin ramai seperti Muhyiddin yang kelihatan low profile tetapi berilmu dan berpengetahuan tanpa mendada seperti orang lain. Pandangan Tun Ghafar Baba ini kelihatan amat serius dan sungguh-sungguh kerana beliau juga merasakan beliau bersifat dan bersikap seperti Muhyiddin atau Muhyiddin bersikap seperti beliau. Yang bezanya, beliau tidak dianggap berpelajaran tinggi kerana tidak memiliki apa-apa ijazah sarjana muda mahupun master.

Muhyiddin di kaca mata Tun Mahathir pula, adalah sebagaimana kata-kata sindiran beliau yang mengatakan bahawa beliau tidak memerlukan orang yang terlalu banyak berfikir. Apa yang beliau sangat perlukan dan sangat hargai ialah orang yang memikirkan pelaksanaan secara serius dan profesional. Hal ini kerana beliau telah memiliki banyak pemimpin yang boleh mencetuskan idea bernas tetapi tidak tahu menyelesaikan atau melaksanakannya. Ketika itu beliau rapat dan kelihatan berbangga dengan prestasi Muhyiddin yang sentiasa berjaya melaksanakan idea-idea besar tanpa banyak masalah dan persoalan.

Pada masa yang sama malah sehingga ke hari ini, Muhyiddin memang tidak begitu menonjol dari segi memberi pandangan atau membuat apa-apa kenyataan yang boleh dianggap menarik perhatian ramai, tetapi rekod kejayaan beliau adalah mengatasi harapan yang diletakkan ke atas bahu beliau. Apabila ditanya rahsia beliau berjaya melaksanakan dan menyelesaikan masalah yang besar-besar, secara bersahaja tetapi kelihatan agak serius, beliau berkata bahawa, mempunyai idea dan dapat melihat proses dan hasil serta menganalisis sesuatu fakta untuk memilih yang terbaik adalah menjadi keutamaan beliau. Selain itu, beliau berpesan agar janganlah berfikir sesuatu yang menambah masalah tetapi hendaklah berfikir cara untuk menyelesaikan masalah. Hal ini sudah tentu hanya terupaya dilakukan oleh orang yang mempunyai banyak ilham atau kreatif dan beliau tidak menafikannya.

Dari segi kepimpinan, beliau seolah-olah mengamal dan berpegang kepada satu motto dengan penuh kesedaran dan pemahaman iaitu pemimpin hanya berkata satu kali. Motto ini telah membongkar dan memperlihatkan watak beliau yang selama ini seperti orang yang pendiam tetapi sebenarnya beliau sentiasa berfikir dan tidak banyak berkata selagi satu keputusan belum dan tidak sesuai diputuskan dalam minda beliau. Dalam membuat keputusan, biasanya keputusan beliau adalah yang terbaik dan mempunyai dokongan fakta yang telah dianalisis secara terperinci.

Seorang pakar ekonomi dunia yang sedang berkhidmat dengan kerajaan Malaysia iaitu Tan Sri Dr Jusfallen yang berasal dari Norway, telah mengatakan bahawa Muhyiddin adalah seorang pemikir dan pelaksana yang mempunyai kejituan atau ketepatan berfikir yang sangat bermutu. Keistimewaan ini amat susah dicari kecuali hanya satu dalam seribu. Penasihat ekonomi negara ini, bukanlah menilai Mahyuddin dari sudut sosial atau moral tetapi adalah dari sudut tindakan dan fikirannya dan dianalisis secara profesional . Muhyiddin dianggap sebagai seorang insan pemikir dan pelaksana yang mempunyai kualiti yang tinggi. Beliau dapat merungkai sesuatu proses atau masalah dengan terperinci dan dapat meringkaskannya dengan begitu mudah untuk dilaksanakannya sendiri, orang lain atau orang-orang yang berkaitan dengan persoalan berkenaan.

Muhyuddin tidak suka menunjuk-nunjuk tetapi apabila khidmat beliau diperlukan, beliau akan melaksanakannya dengan penuh perhatian, terbaik dan memberi output yang mudah diterima, mudah dilakukan dan cepat. Dalam perkataan lain, Muhyiddin mempunyai keupayaan dan keistimewaan sebagai seorang pemikir besar terhadap penyelesaian dan pelaksanaan sehingga menjadi mudah, berkesan dan menghasilkan output atau produk yang berkualiti.

Tan Sri Muhyuddin kini memegang potfolio Menteri Perdagangan Antara Bangsa. Beliau baru menyandangnya beberapa bulan saja sejak penyusunan semula kabinet baru setelah Barisan Nasional berjaya pada piliharaya Mac 2008. Namun, telah kelihatan, beliau telah dapat mengesan punca masalah dan hal-hal yang menyebabkan pengimbangan perdagangan dunia tidak stabil. Sehingga ke hari ini, negara masih dapat bertahan meskipun dijangka akan jatuh merudum berikutan keadaan ekonomi dunia yang jatuh dan tidak menentu.

Daripada rekod graf dagangan, keadaan ekonomi negara bertambah baik hasil daripada tindakan beliau yang telah mencatat pelonjakan meskipun tidak tinggi. Keadaan ini memberi gambaran bahawa andaian kejatuhan dan kegagalan pembangunan dan perdagangan pada masa akan datang tidak seperti dibimbangkan walaupun keadaan dunia global sedang menghadapi masalah ekonomi. Keadaan pembangunan atau unjuran kemajuannya dijangka baik dan berupaya untuk bertahan, malah ada tanda-tanda tidak akan jatuh merudum. Adalah sangat diharap, Tan Sri Hj Muhyiddin akan terus berjaya membawa kemajuan kerana rakyat begitu yakin terhadap beliau yang memiliki Ijazah Ekonomi dan Pengajian Melayu dari Universiti Malaya.

Tan Sri Hj Muhyiddin bin Hj Mohd Yassin pernah menjadi Menteri Besar Johor. Beliau adalah Menteri Besar Johor ke-13. Beliau mengambil alih jawatan Menteri Besar selepas dijawat oleh Dato’ Abdul Ajib bin Ahmad. Beliau telah menjawat jawatan Menteri Johor pada 12 Ogos 1986 hingga 3 Mei 1995.Johor mencatat rekod kemajuan yang sangat dibanggakan ketika beliau menjadi Menteri Besar. Johor telah menjadi salah sebuah negeri termaju dan mempunyai ekonomi yang kukuh pada masa itu meskipun dalam zaman ekonomi meleset secara global.

Tan Sri Hj Muhyiddin ialah anak jati Muar Johor. Beliau telah dilahirkan di Muar pada 15 Mei 1947. Beliau mendapat pendidikan rendah di Sekolah Melayu Bandar Maharani dan kemudian berpindah ke sekolah Inggeris iaitu Sekolah Ismail Muar. Pelajaran menengahnya dilanjutkan ke Sekolah Tinggi Muar hingga ke Tingkatan Enam. Seterusnya, beliau telah berjaya memasuki dan menuntut di Universiti Malaya. Beliau berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian di bidang Ekonomi dan Pengajian Melayu pada tahun 1971. Semasa di alam pembelajaran di peringkat rendah hingga ke universiti, beliau tidak terkelompok dalam kumpulan pintar atau genius. Beliau adalah seorang pelajar biasa tetapi amat tekun dan kuat berusaha.

Beliau sangat berminat membaca dan sering meluangkan waktu dan menghabiskan waktu dengan membaca. Beliau seolah-olah ketagih membaca atau seperti ulat buku meskipun bukan mengenai bidang kursus yang diikutinya. Beliau mempunyai pengetahuan luas tetapi beliau tidak memperlihatkannya dalam tutur kata atau ketika berhujah. Beliau adalah seorang yang pendiam tetapi amat suka mendengar dan memberi tumpuan dalam sesuatu perbincangan. Beliau sentiasa berjaya menyelesaikan sesuatu persoalan dan masalah para sahabat dengan tindakan yang cepat dan kelihatan begitu mudah.

Pada tahun 1972, Tan Sri Hj Muhyuddin bin Hj Mohd Yassin telah bernikah dengan Puan Sri Noranee bte. Abdul Rahman. Terdapat maklumat daripada beberapa orang responden mengatakan bahawa, pertemuan jodoh ini adalah atas rekomen Tun Sulaiman Ninam Shah kerana Tan Sri Hj Muhyiddin adalah seorang pemuda yang sopan, pendiam dan pemalu. Hasil dari pertemuan jodoh ini, beliau telah dikurniakan seramai empat orang anak iaitu Muhammad, Fakri Yassin, Nabila dan Najwa

Tan Sri Hj Muhyiddin berasal dari keluarga ternama di Muar. Bapanya adalah seorang ulamak dan seorang penceramah atau pendakwah bebas yang sangat dihormati. Muhyiddin datang dari keluarga yang besar. Beliau mempunyai sebanyak 47 orang adik-beradik sebapa dan berlainan ibu. Ibu kandung Muhyiddin ialah Puan Hjh Khadijah bte. Hj Kassim. Adik beradik seibu sebapa beliau ialah Hjh Noraini, Hj Abd Aziz, Hj Ismail, Datin Rohana, Shahid dan Fatimah. Dalam kalangan keluarga, beliau dipanggil dengan nama timang-timangan Muyid. Semua adik-beradik Muhyiddin tinggal di rumah sendiri mengikut ibu masing-masing. Rumah isteri-isteri bapanya berdekatan dan sebelah-menyebelah atau berjiran. Rumah mereka terletak dalam sebuah kawasan tanah seluas satu ekar di Jalan Bakri Batu 1 ½ Muar, Johor. Di kawasan ini juga terdapat rumah-rumah bapa dan ibu saudara beliau seperti Hj Sulaiman dan Hj Md Nor adik Cikgu Hj Mohd Yassin.

Ibu-ibu tiri Tan Sri Muhyiddin ialah Hjh Maznah bte. Hj Daud, Hjh. Sapiah bte. Hj Abdullah dan Hjh Kintan bte. Hj. Ibrahim. Ibu kandung beliau ialah isteri kedua kepada bapanya Cikgu Hj Md Yassin. Kesemua mereka telah meninggal dunia. Keluarga besar Cikgu Hj Md Yassin tinggal bersama dengan akrab dan mesra. Kebanyakan anak isteri pertama mengikuti jejak bapa beliau menjadi ulamak, guru, ustaz dan ustazah. Daripada ibu Muhyiddin pula banyak antara mereka menjadi golongan professional dan begitu juga anak-anak daripada isteri ketiga dan keempat.

Di kawasan kediaman Muhyuddin juga dibangunkan Sekolah Menengah Persendirian Md Yassin oleh bapanya. Sekolah ini sangat terkenal terutamanya dalam kalangan orang Melayu yang berpendapatan rendah kerana di sinilah mereka menghantar anak-anak mereka melanjutkan pelajaran dengan perbelanjaan yang rendah dan adakalanya diberikan secara percuma atas ehsan Cikgu Hj Md Yassin. Tujuan sekolah ini dibina juga adalah untuk membantu orang-orang Melayu yang miskin dan tidak berkemampuan menghantar anak-anak ke sekolah kerajaan atau ke sekolah Inggeris dan sekolah persendirian untuk melanjutkan pelajaran mereka. Sekolah ini menyediakan kemudahan memasuki peperiksaan aliran Inggeris iaitu LCE, MCE dan HSC. Aliran Melayu yang ditawarkan pula ialah SRP, SPM dan STP.

Kakak Muhyiddin, Hjh Noraini adalah bekas Polis Wanita berpangkat sarjan di zaman darurat. Beliau tinggal di Kampung Kenangan Tun Dr Ismail dan telah meninggal dunia. Hj Abd Aziz, abang beliau adalah bekas pesara pegawai tinggi kerajaan. Beliau juga adalah bekas Wakil Rakyat Parlimen Muar dan kini menjadi President MUBARAK Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.Hj Ismail pula ialah seorang ustaz dan telah meninggal dunia. Datin Rohana adalah bekas ustazah dan menjadi suri rumah sepenuh masa. Shahid dan Fatimah adalah ahli perniagaan yang berjaya.


Perkara yang mengejutkan hasil daripada temubual dengan keluarga besar ini ialah pencapaian setiap individu yang telah berdikari, tidak dibantu oleh keluarga atau abang dan kakak mereka lagi. Ini adalah kerana asas pengajaran dan didikan yang begitu kuat diberikan oleh bapa mereka hingga hampir diterima sebagai wasiat.. Mereka dilarang mengambil kesempatan dan meminta bantuan keluarga setelah dewasa dan boleh berdikari. Mereka dididik tidak mementingkan diri, bersatu dan bekerjasama tetapi mereka dilarang keras menyalahgunakan kedudukan, rasuah, tamak haloba dan menganiaya orang. Nilai-nilai murni ini ternyata menjadi sikap yang diamalkan oleh Muhyiddin. Meskipun beliau berjawatan dan berkedudukan tinggi tetapi beliau tidak bersikap bias dan memilih kroni terutamanya kepada ahli keluarganya sendiri. Masing-masing telah mengetahui pesanan arwah bapa mereka dan masing-masing juga berasa malu untuk meminta bantuan saudara-mara dan adik-beradik yang telah berjaya. Hal ini dianggap sangat sensitif jika mereka bercadang untuk mengumpul kekayaan atau mengumpul harta dalam keadaan bukan dalam kefakiran. Mereka sangat sedar bahwa bapa mereka suka mereka menjadi orang yang sederhana walaupun dalam keadaan menjadi Perdana Menteri atau seorang jutawan.

Setelah Tan Sri Muhyiddin berjaya memperoleh ijazah, beliau telah berkhidmat dengan kerajaan Johor. Beliau telah dilantik menjawat jawatan Penolong Setiausaha di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri. Pada tahun 1974, beliau menjadi Penolong Pegawai Daerah di tempat kelahiran beliau. Keadaan seperti ini sangat diidam-idamkan oleh teman-teman seusia dan seangkatan beliau, tetapi Muhyiddin berasa tidak selesa menjadi pegawai kerajaan Johor. Beliau juga seperti bapanya, tidak suka bertugas secara terikat seperti menjadi pegawai atau kakitangan kerajaan. Beliau telah melepaskan jawatan dan memasuki bidang perniagaan.

Pada tahun 1974 hingga 1978 beliau telah berjaya menjawat beberapa jawatan penting dalam sektor perniagaan. Beliau menjadi pengurus di SGS Ates Sdn Bhd, menjadi pengurus perjawatan dan pengarah di Syarikat Urusan Sri Saujana Bhd, dan pengarah Syarikat Granite Malaysia Sdn Bhd, Pengarah Urusan Syarikat Sergam Bhd. dan lain-lain. Kelulusan dan ketokohan beliau telah melonjakkan beliau menjadi orang penting dalam syarikat kerana sering berjaya menyelesaikan masalah.

Pada masa yang sama, beliau juga dipikat oleh tokoh-tokoh politik ternama seperti Tun Sulaiman Ninam Shah, Tan Sri Osman Saat, Tun Musa Hitam dan Tan Sri Nasir Ismail. Mereka telah memberi galakan secara tidak langsung kerana Muhyiddin mempunyai karisma kepimpinan yang diperlukan oleh pemimpin Melayu dan rakyat. Beliau dilihat banyak melaksanakan kerja dan berjaya mencapai matlamat dan ini sangat diperlukan oleh kepimpinan UMNO untuk menjadikan beliau sebagai pemimpin pelapis.

Pada tahun 1974, Muhyiddin berjaya menjadi Ketua Pemuda UMNO Pagoh dan dari situ beliau telah menggunakan platform Pagoh untuk terus maju dalam bidang karier politiknya. Kecekapan, pendidikan dan kedudukan nama keluarganya yang terkenal telah mempercepat popularitinya meskipun beliau tidak banyak bercakap atau berceramah. Beliau dinilai dengan kebolehan yang selalu dapat menyelesaikan masalah parti sama ada kewangan, perpaduan dan sebagainya. Kejayaan beliau sangat menyenangkan hati taulan dan orang-orang UMNO.

Pada tahun 1974 hingga 1976 beliau telah dilantik menjadi setiausaha pemuda UMNO Johor dan pada tahun 1978, beliau telah berjaya dalam pilihanraya dan menjadi wakil rakyat Parlimen Pagoh. Pada tahun 1982 beliau diarah bertanding di DUN Bukit Serampang dan kejayaan beliau itu telah melayakkan beliau dilantik menjadi Menteri Besar Johor. Sehubungan prestasi beliau yang sangat baik dan disukai ramai, beliau telah dilantik menjadi Menteri Besar Johor ke-13 bermula pada 12 Ogos 1986 hingga 3 Mei 1995.


Sebelum menjadi Menteri Besar, pada tahun 1985 beliau berjaya dalam pertandingan menjadi Ketua UMNO Pagoh. Pada tahun yang sama, beliau dicalon bertanding menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan rekod kejayaan beliau yang berjaya menumpaskan tokoh ternama terus memberi kelebihan kepada beliau. Beliau telah berjaya dan terpilih menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO pada tahun 1985. Ketika memegang jawatan Menteri Besar Johor, Tan Sri Muhyiddin tidak pernah kalah dalam pengundian pemilihan kepimpinan parti UMNO mahupun dalam pilihanraya persekutuan. Rekod beliau begitu cemerlang, bersih dan disenangi oleh pemimpin tertinggi UMNO. Beliau dapat menjalankan tugas dengan baik meskipun jarang mengeluarkan idea-idea baru yang menarik tumpuan orang ramai.

Kejayaan beliau adalah selari dengan tahun-tahun beliau berkhidmat di kementerian. Pada tahun 1981, beliau telah diberi kepercayaan menjadi setiausaha Parlimen Kementerian Luar Negeri. Kemudian pada 1982 beliau telah dilantik oleh Dato’ Seri Dr. Mahatihir manjadi Timbalan Menteri Wilayah dalam barisan kabinet beliau. Ketika ini semua orang tahu bahawa Mahyuddin mempunyai masa depan yang cerah dan berpotensi menjadi pemimpin penting kerajaan. Muhyiddin kemudian diarah bertanding DUN Bukit Serampang bagi membolehkan beliau dilantik menjadi Menteri Besar oleh Dato’ Sri Dr. Mahathir.

Ketika menjadi Menteri Besar Johor, beliau telah menzahirkan wawasan YAB Perdana Menteri di negeri Johor. Pembangunan dan kebudayaan berjalan seiring dan rakyat Johor menikmati hidup yang begitu selesa. Johor melonjak menjadi setanding dengan negeri-negeri yang maju dan kaya. Johor juga menjadi teladan dan contoh kepada negeri-negeri lain di samping Selangor. Ketika ekonomi merosot pada tahun 1980-an, keadaan Johor tidak terancam malah kenaikan graf kemajuan pembangunan dan ekonomi amat memberangsangkan. Ini adalah kerana banyak duit masuk ke Johor melalui pelabur-pelabur asing dan juga peruntukan pembangunan yang disalurkan ke Johor. Pusingan cair wang yang laju di Johor juga telah membantu dan kemasukan rakyat Singapura membeli-belah di Johor juga memberi pulangan yang tinggi kepada ekonomi Johor.

Untuk itu kerajaan Johor telah membangun pusat-pusat membeli-belah seperti Plaza Kotaraya. Hotel-hotel seperti Puteri Pan Pacific dan pusat-pusat pelancongan diberi daya ransangan dan insentif kepada pihak swasta untuk memajukannya. Pusat-pusat pelancongan di bawah jagaan kerajaan dan majlis tempatan diberi perhatian. Pantai Lido dan Pantai Setulang dinaikkantaraf sebagai kawasan rekreasi dalam Bandar. Ini adalah berikutan hasil kutipan dari sektor pelancungan menjadi sumber pendapatan Negara yang ketiga besar ketika itu.

Sektor industri dan perkilangan tumbuh pesat di Johor. Kawasan-kawasan perindustrian dibuka. Di kampung-kampung dan Bandar kecil yang mempunyai potensi digalakkan mengusahakan industri-industri kecil dan sederhana. Di Muar, Batu Pahat dan Kluang, perusahaan kampung digabungkan dan menjadi pusat industri kecil yang berdaya maju. Di Muar telah mula terkenal dengan industri perabut, Di Batu Pahat dengan industri berasaskan hasil pertanian dan di Keluang telah terus memajukan industri kecil berasaskan logam

Antara kemajuan pembagunan yang besar dan berjaya di Johor ialah pembinaan Pelabuhan Pasir Gudang, Johor telah memperkenalkan kemudahan pelabuhan darat untuk kontena-kontena sebagai transit dan juga pusat pengedaran dengan sewa tapak tanah yang berpatutan. Sewa ini adalah termurah dirantau Asia dan dijangka akan menarik banyak syarikat kontena melabur di Johor. Johor juga membina pelabuhan alternatif iaitu pelabuhan kapal tanpa had saiz di Pelabuhan Tanjung Pelepas. Apabila siap, pelabuhan ini juga akan menarik pengusaha-pengusaha kapal antarabangsa membuka cawangan di Johor. Pelabuhan ini pula terlalu dekat dengan pelabuhan milik Singapura tetapi kos perkhidmatan jauh lebih murah dari di Singapura. Perkhidmatan yang ditawarkan pula terkawal dengan standard ISO dunia yang bererti mutu perkhidmatan yang diberi adalah terjamin dan bertaraf antarabangsa.

Selain kerajaan Johor di bawah pimpinan Tan Sri Hj Muhyiddin menyediakan kemudahan pelabuhan, Johor juga telah menaiktarafkan jalan-jalan utama di Johor. Jalan yang lebar serta mempunyai rangkaian yang panjang adalah sangat penting dalam perusahan pengangkutan untuk menghantar dan mengambil barang-barang dagangan. Lebuh-lebuh raya telah dibina. Contohnya yang sangat utama dan penting ialah Lebuhraya Link Ke 2 Johor-Singapura. Lebuh raya ini pada awal pembukaannya kurang mendapat sambutan tetapi beberapa tahun kemudian mencatat kutipan hasil tol yang memberangsangkan. Ini bermakna penggunaan Link Ke-2 mencapai matlmat pembinaannya iaitu untuk mengelak kesesakan jalanraya di Pusat Bandar Johor Bahru dan sebagai sumber kutipan hasil.

Pembinaan Terminal Bas dan Teksi di Larkin juga telah berjaya dibangunkan. Kemudahan ini adalah secara langsung untuk kepentingan dan keselesaan rakyat. Pembinaan Pusat Perhentian yang baru, selesa dan besar telah memberi peluang pengusaha-pengusaha pengangkutan awam meluaskan perniagaan. Rakyat juga dapat menikmati tambang murah dan terkawal yang selesa dan terjamin. Tidak lagi berlaku kekurangan bas dan bas tidak boleh ditambah kerana perhentian yang kecil dan sering lewat kerana kesesakan lalulintas.

Tan Sri Hj Muhyiddin juga telah menaiktaraf Lapangan Terbang Senai. Tindakan ini adalah selaras dengan pembangunan infrastruktor lain. Ini juga telah menarik minat syarikat penerbangan antarabangsa membuka cawangan di Johor Bahru. Laluan udara juga dibuka kepada mereka mengikut kesesuaian. Lebuhraya utama ke Lapangan Senai juga dilebarkan dan segala kemudahan asas disediakan. Usaha ini adalah bagi menarik pelabur-pelabur asing dan juga menarik pelancong asing yang boleh datang terus ke destinasi pelancongan mereka iaitu negeri Johor dengan mudah, cepat dan murah.

Pembangunan Sistem Telekomunikasi bernilai RM700 juta juga telah dlaksanakan mengikut perancangan dan fasa. Sistem perhubungan sangat penting dimajukan kerana informasi sangat penting dalam dunia perdagangan. Pembangunan sistem telekomunikasi diperbaiki dengan peralatan tercanggih dan penggunaan computer terkini.

Tan Sri Hj Muhyiddin juga tidak lupa menyediakan tenaga kerja yang cekap. Mereka sangat penting dalam dunia yang global dan tanpa batas sempadan. Tindakan utama beliau bagi memastikan modal insan ini akan mengeluarkan output yang berfaedah ialah dengan memperluaskan dan mempelbagai pembelajaran ilmu pengetahuan sains dan teknologi. Tindakan yang telah selesai dan berjaya ialah menambah bidang teknologi di UTM dan membina Perpustakaan Sultan Ismail.

Selain itu beliau juga telah menaiktarafkan perkhidmatan kesihatan di seluruh Johor bagi memastikan rakyat Johor sihat dan dapat memberi sumbangan tenaga yang efisyen berikutan kesihatan tubuh badan yang sihat. Di Johor Bahru, Hospital Sultanah Aminah telah diperbesarkan bagi menampung keperluan dan untuk keselesaan rakyat Johor. Klinik di kawasan yang padat penduduk dibina poliklinik yang lebih besar dari klinik biasa.

Tan Sri Hj Muhyiddin tidak lupa terhadap pembangunan dan perkembangan agama Islam di Johor. Beliau telah meluluskan penstrukturan Jabatan dan Majlis Agama Islam Johor. Bangunan kompleks Islam juga dibina dan dibesarkan. Fasa seterusnya membangun Kompleks Makamah Syariah. Pegawai-pegawai agama di tambah dan guru-guru Sekolah Agama Johor diserap dan diberi latihan separa professional. Kerajaan Johor juga menambah dan merangka sistem pembelajaran agama dan sains dalam satu sessi.

Industri perumahan terancang merupakan projek yang bergerak begitu pantas dan mendapat sambutan dari pihak swasta dengan begitu hebat. Taman-taman perumahan kos sederhana dan taman perumahan berkonsep Bandar telah mendapat sambutan dari para pembeli dengan begitu tinggi. Beberapa taman perumahan, kompleks kondo telah mula di sekitar bandar telah mula didiami.

Dalam hal membangun dan menyusun penempatan, Tan Sri Hj Muhyiddin juga berjaya menyelesaikan isu-isu sensitif pengambilan tanah-tanah setinggan. Beliau telah mewujudkan skim pinjaman yang mampu dibayar oleh golongan berpendapatan rendah. Beliau juga berjaya mengambil semula tanah-tanah terbiar kerajaan yang diduduki oleh pengusaha kilang-kilang haram.

Kemuncak kejayaan pembangunan yang telah dilaksanakan oleh Tan Sri Hj Muhyiddin telah terakam dengan sendirinya apabila kerajaan Johor mengumumkan Perisytiharan Johor Bahru sebagai Bandaraya pada 1 Januari 1994. Ini adalah sebagai bukti yang nyata dan berfakta kerana Bandar Johor Bahru dengan segala kemudahan dan pembangunan telah mencapai suatu tahap atau standard mengikut standard pengukuran antarabangsa. Perisytiharan Bandaraya Johor Bahru telah diadakan secara besar-besaran pada hari itu.

Tan Sri Hj Muhyiddin juga merupakan seorang tokoh yang mempunyai wawasan yang jauh dan luas. Beliau telah mengasaskan TSM Charity Golf pada tahun 2002. Pungutan wang dari pertandingan golf yang diadakan disumbang sebagai derma kepada orang yang tidak berkemampuan bagi mendekatkan hati mereka kepada ketulusan ahli-ahli dan kelab golf yang dianggap begitu terasing kepada mereka.

Di bidang sosial, beliau tidak ketinggalan melibatkan diri menjadi presiden dan Yang Dipertua mahupun penaung kepada beberapa pertubuhan sosial dan sukan seperti Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, Royal Johor Country Club dan sebagainya. Beliau amat prihatin kepada orang kurang upaya dan sering melawat mereka. Beliau juga telah menjadi presiden Persatuan Kanak-kanak Spastik Negeri Johor dan memberi bantuan manaikkan taraf sekolah Spastik Johor ketika beliau menjadi Menteri Besar Johor.

Pada awal 1990-an, seluruh negara tergempar dengan isu kekebalan institusi raja dan ini mengakibatkan sebuah akta dibincangkan di parlimen untuk mengelak berlaku penganiayaan. Tan Sri Hj Muhyiddin Mohd Yassin selaku wakil rakyat telah menyokong penuh isu mengenai peraturan dan etika raja-raja dan kerabat diraja. Selaku Menteri Besar, beliau tidak dapat menolak isu itu untuk kebaikan rakyat dan juga demi menjaga nama baik institusi raja. Akibatnya, beliau mula tidak digemari oleh kaum kerabat istana. Rakyat Johor amat khuatir jika pengaruh dan jasa beliau menjadi isu dan dipertikaian oleh mereka yang cuba mengambil kesempatan.

Untuk menyelamatkan keadaan di Negeri Johor yang menjadi contoh kemajuan pembangunan yang pesat kepada negeri-negeri lain, satu persefahaman dari pihak kepimpinan tertinggi UMNO telah diputuskan dimana Tan Sri Hj Muhyiddin telah dipanggil balik berkhidmat di peringkat Persekutuan. Selepas Pilihanraya Ke-9 iaitu pada bulan Mei 1995, beliau pun dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan. Beliau telah diberi tanggungjawab yang sangat besar untuk menjayakan SUKOM XIII. Beliau telah bekerja keras dan berjaya menjalankan amanah itu dengan sangat baik sehingga mendapat pujian bukan saja dari Negara-negara Komanwel tetapi juga dari serata dunia yang menyaksikan perjalanan upacara sukan itu.

Ketika beliau melepaskan jawatan Menteri Besar untuk menjawat jawatan Menteri Belia dan Sukan, beliau telah meninggalkan Johor dengan simpanan rezab kerajaan yang besar iaitu sebanyak RM500 juta. Beliau berasa gembira kerana dapat memberi perkhidmatan yang terbaik bagi negeri Johor ketika menjadi Menteri Besar, tempat tumpah darah beliau. Berbanding ketika mula menerajui negeri Johor pada tahun 1986, rezab perbendaharaan Johor tidak mencapai ratusan ribuan ringgit untuk dijadikan pusingan modal melaksanakan pembangunan dan pebelanjaan pengurusan.

Setelah beliau berjaya melaksanakan SUKOM XIII, beliau telah dilantik menjadi Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-ehwal Pengguna pada tahun 1999,. Ketika itu Negara menghadapi keputusan bekalan barangan pengguna dalam banyak sektor dan menghadapi ancaman inflasi yang tinggi dan bahaya. Tan Sri Hj Muhyiddin telah berjaya mengatasi masalah tersebut dengan mengawal barangan import dan mengenal pasti sumber-sumber bekalan bekalan berkaitan dan memperbaharui perjanjian perdagangan untuk menstabilkan harga. Beliau telah berjaya memperlahankan kenaikan harga barang dan mengatasi masalah putus bekalan barangan.

Kejayaan beliau ini telah mendorong Perdana Menteri memindahkan beliau menjadi Menteri Pertanian dan Asas Tani kerana tindakan memperbanyakkan sumber pertanian dalam negeri perlu disegerakan. Perkara ini adalah juga saranan dari beliau sebagai langkah mengurangkan kebergantungan kepada bahan makanan yang diimport. Kerajaaan terpaksa berusaha mengimbangi sumber bahan makanan yang terpaksa diimport dengan yang boleh didapati di dalam negeri sendiri. Tindakan ini, seterusnya akan dapat menyelaraskan harga dan mengawal kenaikan harga barang disebabkan kekurangan bekalan yang diimport.

Beberapa dasar juga telah dikeluarkan oleh kementerian beliau dan telah mendapat peruntukan yang sangat banyak untuk disalurkan kepada penghasilan produk dari industri pertanian dan barangan yang berasaskan pertanian. Berikutan itu, negara berjaya mengawal inflasi global dan tidak berasa begitu tertekan dan terlalu bimbang tentang keadaan bahan makanan yang terpaksa diimpot dari luar.

Ketika menjadi Menteri Besar Johor, Tan Sri Hj Muhyiddin mempunyai hubungan yang baik dengan kerajaan Singapura. Beliau menganggap Singapura bukan sahaja sebagai jiran tetapi mempunyai kepentingan bersama dalam dunia perdagangan. Beliau juga mengganggap Singapura lebih berpengalaman dalam dunia perdagangan antarabangsa dan mencontohi Singapura adalah lebih baik dari menjauhinya. Walau bagaimanapun, beliau akur bahawa persaingan dalam dunia perdagangan adalah ciri-ciri kapitalis yang tidak dapat diketepikan dan dianggap sihat.

Antara adik-beradik Tan Sri Muhyiddin yang rapat dengan beliau ialah abangnya, Hj Abdul Aziz Yassin. Beliau sering bertukar-tukar fikiran tetapi tetap membawa haluan mengikut pendirian masing-masing. Abang beliau mempunyai watak yang hampir serupa iaitu tidak suka dan tidak pernah mengambil kesempatan atau meminta bantuan dari adiknya Tan Sri Muhyiddin dan begitu juga sebaliknya. Mereka mempunyai prinsip hidup yang sama kerana datang dari sumber yang sama iaitu bapa mereka. Hj Abdul Aziz juga suka merendah diri dan bersederhana. Beliau juga merupakan seorang pemikir dan pernah menjadi anak didik kepada Tun Razak, Tun Ghafar Baba dan Tun Hussein Onn.. Beliau juga pernah terlibat dalam program-program meningkatkan taraf hidup orang Melayu yang miskin pada zaman Tun Ghafar Baba dan Tun Razak. Hj Abdul Aziz sempat duduk di parlimen bersama-sama adiknya, Tan Sri Muhyiddin ketika beliau menjadi Ahjli Parlimen Muar pada tahun 1995 hingga 1999.

Apabila ditanya antara mereka berdua, siapa mempengaruhi siapa, Hj Abdul Aziz menjelaskan bahawa adiknya mempunyai motto dan cara dan identiti tersendiri. Beliau juga begitu, walau pun kadang-kadang dia menyetujui pandangan dan pemikiran adiknya Tan Sri Hj Muhyiddin, pandangan dan pemikiran beliau juga sering dipersetujui oleh adiknya. Akhirnya bagi mereka, dasar berusaha dan berfikir adalah mengikut cara dan keselesaan sendiri tetapi output terbaik sama-sama mereka kongsi tanpa terasa apa-apa di hati atau tidak sekali-kali melibatkan emosi.

Hj Abdul Aziz juga memberi contoh yang tepat bahawa MUBARAK adalah idea adiknya, Tan Sri Hj Muhyiddin dan beliau telah mengembang dan mengurusnya. Manakala Yayasan Perikatan adalah idea beliau dan adiknya bersetuju menjadi penaungnya. Objektif MUBARAK ialah memberi sebarang sumbangan idea untuk kepentingan Ahli-ahli Yang Berhormat dan menjaga kebajikan mereka. Manakala objektif Yayasan Perikatan ialah berpegang kepada prinsip bersatu dan bekerjasama antara ahli yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Idea penubuhan MUBARAK dan Yayasan Perikatan adalah idea yang sangat baik daripada dua orang tokoh pemimpin dan pemikir adik-beradik. Idea yang baik tidak akan dapat direalisasikan jika tiada orang yang dapat memahaminya. Kedua-dua pertubuhan ini telah pun wujud dan telah didaftarkan. Meskipun usia pertubuhan ini baru setahun jagung tetapi telah memberi sumbangan yang besar kepada masyarakat atau setidaknya kepada ahli-ahlinya. Ini adalah satu daripada contoh sumbangan mereka, tokoh pemimpin dan pemikir yang bijak menyelesaikan masalah dalam merealisasikannya.

Tan Sri Dato’ Hj Muhyiddin bin Hj Mohd Yassin adalah seorang pemimpin yang mudah didekati kerana gaya kesederhanaannya. Beliau adalah seorang pemimpin yang berfikiran kreatif dan amat tajam pemikirannya. Beliau merupakan seorang tokoh pemikir dalam golongan pelaksana yang genius tetapi tidak terlihat melalui perwatakan dan sikapnya. Kebijaksanaan dan kepintaran beliau terbukti dan tergambar pada setiap hasil keputusan yang telah direalisasikan. Beliau merupakan aset negara yang tidak ternilai. Ini adalah kerana pemikir berkualiti tinggi seperti Tan Sri Dato’ Hj Muhyiddin hanya seorang dalam seribu.


(Tiga bulan setelah Biografi ini ditulis beliau telah dilantik menjadi TPM)

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Sejarah
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere