DATO' ONN JAAFAR SEBELUM MALAYAN UNION

0 comments
DATO' ONN JAAFAR SEBELUM MENGETUAI PENENTANGAN MALAYAN UNION


Untuk menonjolkan tokoh Dato’ Onn sebagai pejuang kemerdekaan bangsa adalah suatu yang dianggap tidak relevan oleh pemimpin kontemporari terutamanya daripada UMNO. Dato’ Onn hanya diiktiraf sebagai tokoh yang berjasa kepada negara kerana mengasas penubuhan UMNO dan menjadi Yang di Pertua pertama dari 1946 hingga 1951. Dato’ Onn berjasa menentang dan menguburkan Malayan Union.

Sumbangan Dato’ Onn dalam perjuangan ke arah kemerdekaan negara pada hakikatnya tidak boleh dinafikan. Meskipun ada suara-suara yang melabelkan beliau sebagai pemecahbelah perpaduan UMNO dan pembunuh semangat kemerdekaan yang amat gairah diperjuangkan oleh orang-orang Melayu, beliau tetap merupakan seorang tokoh Melayu terulung yang mempunyai wawasan yang begitu jauh. Kemerderkaan hari ini yang tercapai pada 31 Ogos 1957 meskipun tidak dianggap sebagai buah tangan darinya, tetapi sebenarnya adalah merupakan hasil asas yang dibinanya. Asas dan rangka kemerdekaan yang dilakar oleh Dato’Onn tetap menjadi ikon perintis jalan kepada bangsa Melayu walau pun beliau tidak dianggap sebagai pemimpin Melayu yang memperjuangkan kemerdekaan.

Kemerdekaan hari ini adalah hasil buah tangan Y.M. Tunku Abd Rahman. Tetapi ironinya apabila sejarah mencatatkan bahawa Y.M. Tunku juga keluar dari UMNO di penghujung usianya seolah-olah menjejaki langkah Dato’ Onn kerana berlaku masalah dalaman UMNO. UMNO berjaya mengekalkan maruah dan martabat politik Melayu. Kuasa politik Melayu adalah lambang kejayaan dan kedaulatan Melayu pada hari ini. Meskipun tokoh ulung kepimpinannya datang dan pergi dengan pelbagai haluan, UMNO berjaya meneruskan perjuangan.

Di era Tun Abdullah (Pak Lah), bekas Prisiden UMNO yang terlama memegang rekod kepimpinan iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamed juga bersara dalam dilema apabila UMNO mengucil dan memperkecil sumbangan beliau selama 22 tahun mengetuai negara dan lebih separuh usianya berkhidmat kepada UMNO. Beliau telah keluar dari menjadi ahli UMNO dan apabila Pak Lah melepaskan jawatan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir telah menyertai semula UMNO Baru yang ditubuhkannya. UMNO Baru dianggap kesinambungan dari UMNO lama yang telah dibatalkan pertubuhannya secara perundangan.

Apa yang telah menjadi sejarah adalah kenyataan dan realiti yang telah dilalui dan diharungi oleh orang Melayu. Sehubungan itu, sejarah politik Melayu semakin kental dan matang jika dibanding dengan politik kaum lain di negara ini yang tidak banyak berhadapan dengan dugaan dan tekanan sosial. Disebalik kematangan dan pengalaman yang luas, politik Melayu melalui UMNO juga dikhuatiri menjadi begitu complicated yang memperlihatkan kerapuhan kerana teras perjuangan yang diilhamkan oleh pemimpin unggul berterusan berganti-ganti. Terlalu banyak pertukaran dasar dan teras yang berdasarkan percubaan. Walau pun pembaharuan dasar-dasar memperlihatkan kekuatan dan kehebatan, kekerapan pertukaran dasar juga membayangkan kelemahan tunggak falsafah dan hala tuju politik Melayu itu sendiri.

Catatan sejarah adalah sumber yang tidak bias kepada mana-mana pihak. Persepsi dan pandangan adalah mengikut tahap pemikiran dan keadaan semasa. Sehubungan itu adalah baik sekali jika rakyat diperkenalkan kepada Dato’ Onn mengikut ringkasan biografi beliau supaya rakyat mendapat input dan menilai sendiri ketokohan Dato’ Onn.

Dato’ Onn dilahirkan di rumah bapanya di Bukit Gambir, Johor Bahru pada tahun 1895. Sebelum pembangunan Johor Bahru, Bukit Gambir ialah ladang pekebunan gambir yang sangat luas dan dari situlah nama bukit ini diperolehi.Bapanya, Dato’ Jaafar Muhamad ialah Menteri Besar Johor ketika itu. Rumahnya terletak dibelakang Kebun Istana di Jalan Gertak Merah ialah rumah kediaman rasmi yang disediakan oleh sultan untuknya. Ketika usia Dato’ Onn 8 tahun, ibunya Cik Rogayah Hanim meninggal dunia. Ibunya adalah dari keturunan bangsawan Turki yang terpelihara di Istana Harem. YM Cik Khadijah dan Cik Rogayah Hanim adalah keluarga bangsawan Turki yang dinikahkan atas perkenan dan restu Sultan Turki sebagai tanda persaudaraan dengan Maharaja Abu Bakar ketika baginda melawat Turki pada tahun 1887. YM Cik Rugaya telah dinikahkan dengan adinda Maharaja Abu Bakar, Tengku Majid. Apabila Tengku Majid meninggal, YM Cik Rugayah bernikah dengan seorang saudagar Arab dari Bogor, Jawa Barat. Apabila meninggal suaminya Syed Abdullah Al-Attas, Sultan Johor telah menitahkan Dato’ Jaafar memperisteri Cik Rugayah bagi menjaga kebajikan dan kebangsawanan serta perhubungan dengan kerajaan Turki.

Disamping itu, Sultan Ibrahim sendiri telah menikahi Cik Dara, kakak Dato’ Onn berlainan ibu yang kemudiannya berputerakan Temenggong Ahmad. Daripada hubungan perkahwinan itu, menjelaskan bahawa Dato’ Jaafar bukan saya berperanan sebagai perdana menteri dan penasihat kepada kerajaan tetapi juga sebagai bapa mertua kepada sultan Johor. Hubungan ini adalah seperti amalan tradisional dimana peranan bendahara disamping sebagai perdana menteri adalah mertua kepada sultan. Dengan kedudukan itu memperlihatkan keistimewaan kedudukan Dato’ Onn di kalangan kerabat di raja Johor.

Sejak kecil Dato’ Onn bebas di Istana malah rumahnya sendiri di Bukit Gambir seperti rumah kedua. Ini adalah kerana beliau dianggap sebagai anak angkat oleh Sultan Ibrahim. Dato’ Onn sangat rapat dengan Tengku Mahkota Johor, Tengku Ismail yang sebaya dengan beliau. Dato’ Onn sejak kecil merupakan seorang anak yang sangat cerdas dan aktif. Beliau menunjukkan sikap yang pendiam ketika ibunya meninggal dunia. Beliau sering merajuk dengan membawa diri ke kebun istana. Beliau bebas melakukan aktiviti bersendiri atau bersama putera-putera raja di situ. Di kalangan sebaya, beliau menjadi ketua. Sejak kecil ketokohan beliau telah terserlah.

Sebelum beliau dihantar ke England, Dato’ Jaafar sendiri mengajar akhlak dan agama serta adab budaya Melayu kepadanya. Tetapi pelajaran formalnya semenjak berusia 4 tahun adalah mempelajari Bahasa Inggeris bersama-sama putera-putera sultan yang lain dengan dua orang guru perempuan bangsa Inggeris yang didatangkan khas untuk tujuan itu. Guru berbangsa Inggeris itu juga bertindak sebagai pengasuh kepada anak-anak raja mengenai adab dan budaya Inggeris. Daripada pemerhatian guru itu, Dato’ Onn dilaporkan sebagai seorang kanak-kanak yang pintar dan terlalu berani bertanya dan menkritik. Beliau mengesyorkan putera-putera dan anak bangsawan yang diasuhnya dihantar ke England.

Pada tahun 1904, ketika Dato’ Onn berusia 9 tahun beliau dengan putera-putera Sultan telah dihantar ke England. Beliau amat rapat dengan Tengku Mahkota dan dianggap guardian atau pasangan dan teman penjaga kepada baginda. Di England, mereka bersekolah di sekolah khas untuk anak bangsawan Inggeris di Sulfork. Semua pembiayaan persekolahan ditanggung oleh Sultan Johor. Di sekolah, Dato’ Onn sangat petah berbahasa Inggeris dan sering menang dalam ppertandingan debat. Beliau cekap berhujah dan mematahkan pihak lawan hingga pegawai Inggeris yang bertanggongjawab mengawasi perjalanan sekolah tidak menyangka beliau adalah seorang Melayu atau pelajar yang bukan berbangsa Inggeris.

Beliau juga merupakan seorang pelajar yang hebat dalam sukan terutamanya dalam permainan bola sepak. Beliau adalah seorang yang aktif disamping bertindak seolah-olah orang yang bertanggungjawab terhadap Tengku Mahkota. Ini adalah berikutan dari nasihat dan pesanan bapa dan juga pembesar Johor. Mereka jarang berpisah. Dimana Tengku Mahkota, disitulah Dato’ Onn dan ini tidak disenangi oleh pihak Inggeris kerana mereka mempunyai agenda memberi keistimewaan kepada Tengku Mahkota tetapi tidak kepada Dato’ Onn. Daripada pemerhatian mereka Dato’ Onn adalah seorang kanak-kanak pintar yang perlu dipisahkan daripada Tengku Mahkota kerana Dato’ Onn berupaya mempengaruhi Tengku Mahkota dalam segala bidang.

Sehubungan itu Dato’Onn dilaporkan tidak layak diberi kemudahan pelajaran dan tidak dibenarkan melanjutkan pelajaran yang dikhususkan kepada anak bangsawan kerana akan menyulitkan pihak Inggeris mendidik Tengku Mahkota yang seperti isi dengan kuku dengan Dato’ Onn. Demi masa depan Tengku Mahkota dan negeri Johor dan kepentingan Inggeris, Dato’ Onn perlu dipisahkan. Pada tahun 1909 Dato’ Onn telah dihantar pulang. Beliau sangat kesal dan berdukacita dengan tindakan pegawai Inggeris yang bertanggongjawab menjaga kebajikan putera-putera sultan Johor di England. Ketika baru pulang di Johor beliau telah dimarahi oleh bapanya Dato’ Jaafar kerana dianggap sebagai remaja nakal yang tidak menghormati guru Inggerisnya dan kebudayaan di sana. Dato’ Onn kelihatan amat keInggerisan daripada anak-anak remaja Inggeris sendiri.

Beliau telah dihantar oleh bapanya melanjutkan pelajaran di Malay College Kuala Kangsar (MCKK). Di sana, Dato’ Onn mendapati kurikulum kolej itu telah ketinggalan berbanding apa yang telah dipelajari di England. Oleh kerana beliau telah diletakkan dibawah pengawasan seorang guru khas mengajar jawi dan adat kebudayaan Melayu beliau telah memberi tumpuan kepada matlamatnya nya itu. Beliau sangat disenangi ramai. Malah beliau sendiri telah mengajar bahasa Ianggeris kepada anak-anak bangsawan Melayu dan kepada guru Jawi beliau.

Di MCKK, Dato’ Onn tidak berseorangan. Beliau diikuti oleh Tengku Mahkota Johor yang enggan melanjutkan pelajaran di England dengan ketiadaan Dato’ Onn. Baginda sangat kasih kepada Dato’ Onn lebih dari seorang teman atau kawan. Dato’ Onn beranggapan pendidikan di MCKK bukanlah pendidikan yang berteras ilmu tetapi lebih kepada pendidikan untuk menjadikan anak-anak bangsawan Melayu sebagai real gentlemen untuk pentadbiran Inggeris. Di MCKK, beliau dianggap seorang remaja Melayu yang kurang beretika kebangsawanan oleh teman-teman yang berdarah raja kerana keberanian beliau bercampurgaul dengan anak-anak pembesar dari kelas bawahan. Hal ini tidak disenangi oleh Inggeris. Mereka telah melaporkan kepada kerajaan negeri Johor, bahawa Dato’ Onn telah bersedia berkhidmat supaya Dato’ Onn tidak lama di MCKK. Mereka juga mengetahui dan berasa bimbang jika Dato’ Onn berupaya mempengaruhi anak-anak bangsawan lain di situ.

Dato’ Onn telah pulang ke Johor pada tahun 1912 dan sebaik saja sampai, beliau telah dilantik menjadi kerani rendah sementara di Pejabat Perkhidmatan Pos. Beberapa bulan kemudian beliau telah dinikahkan dengan keluarga angkat beliau Cik Rafaeh bt Abdullah. Ketika berusia 18 tahun beliau diwajibkan menyertai Askar Timbalan Setia. Jiwanya terasa tertekan kerana terasa dikongkongi oleh peraturan dan disiplin tentera. Banyak peraturan sengaja beliau langgar dan sering membuat hal hingga tidak menyenangkan pihak atasan. Akibat daripada itu, Sultan telah menguatkuasakan Ordinan Ketenteraan pada tahun 1916 yang berkuatkuasa kepada semua anggota tentera tidak kira mereka dari golongan bangsawan atau rakyat biasa. Dato’ Onn masih tidak berubah dan beliau beranggap beliau juga mempunyai imuniti berikutan kerabat di raja sering diberi pengecualian.

Beliau beranggapan beliau juga adalah kerabat kerana bapanya sendiri adalah Menteri Besar dan mertua kepada Sultan Johor. Tambah pula, perangai beliau yang dianggap telah melakukan kesalahan bukannlah mengenai tatatertib kententeraan tetapi lebih kepada ketidakpuasan hati beliau terhadap Sultan yang terlalu bias kepada pegawai orang putih dan kerabat terdekat. Pada tahun 1919 ayahanda beliau, Dato’ Jaafar meninggal dunia dan ini memberi kesan psikologi yang amat sangat kepada Dato’ Onn. Meskipun beliau tidak dimanjai oleh bapanya tetapi beliau sangat sadar bahawa bapanya ialah seorang bangsawan Melayu berjiwa rakyat yang sangat mengambil berat tentang rakyat. Bapanya sangat menitikberatkan kebajikan orang Melayu. Bapanya memang seorang tokoh pemimpin Melayu yang amat terkenal.

Dato’ Jaafar adalah seorang pemimpin Melayu yang bijak dan terkenal memodenkan pemikiran orang Melayu Johor sejak pemerintahan Sulatan Abu Bakar. Apbala Sultan Ibrahim merampas kediaman bapanya dan keluarganya diarah pindah kerana sultan memilik negarakan semua harta Dato’ Jaafar, Dato’ Onn telah mengkritik terang-terangan bapa angkat beliau iaitu sultan Johor. Berikutan itu, beliau telah dipecat dari pangkatnya dan diberhentikan dari menjadi Askar Timbalan Setia. Setelah menganggur beberapa bulan pada tahun 1921 dengan rekomen Tengku Mahkota beliau diterima menyambung kerja di Pejabat Tanah Muar sebagai penolong pegawai rendah pemungut hasil.

Di Muar beliau aktif dalam permainan bola sepak. Ketika menyambut Hari Keputeraan Sultan di Muar, beliau telah menganjurkan pakaian beragam dan beliau telah memakai kostum raja dalam wayang Cina. Secara simbolik ketika mengaya dan memperagakan kostumnya, beliau berlagak sebagai raja diktaktor kerana menyindir Sultan Johor. Sekitar tahun 1926 beliau dipindahkan ke Pejabat Pemungut Hasil di Batu Pahat dengan jawatan dan tugas yang sama. Ketika di situ, sekali lagi beliau memberi kritikan terbuka kepada ayahanda angkatnya, baginda sultan kerana mengutamakan pegawai Inggeris daripada anak tempatan sendiri. Ini adalah berikutan tuntutan alaun sara hidup beliau yang tidak dilayan oleh Sultan berbanding sara hidup pegawai Inggeris yanag cepat dinaikkan.

Akibat dari itu beliau telah dipecat pada tahun 1928 dan dibuang negeri ke Singapura. Pada waktu yang sama abangnya Dato Aabdullah Jaafar yang sedang menjadi Menteri Besar Johor juga diberhentikan daripada jawatannya. Mereka telah tinggal bersama di Singapura. Oleh kerana ketika itu zaman kemelesetan sedang berlaku begitu teruk, mereka gagal mendapat pekerjaan. Untuk menyara hidup Dato’ Onn telah menyewa sebuah rumah setinggan dan bekerja sebagai nelayan. Apabila tidak memungkinkan beliau ke laut, beliau telah meluangkan masanya menonton wayang Cina dan opera bangsawan Melayu. Beliau juga sering menumpang baca berita-berita yang di jual dan di cetak oleh syarikat cetak milik saudagar Arab berdekan tempat beliau menghabiskan waktu. Kerana minat dan kebolehan beliau , Dato’Onn diberi kepercayaan menyumbangkan rencana dan akhirnya diterima menjadi penulis di Syarikat Percetakan Akhbar Singapura.

Kesempatan itu telah digunakan sepenuhnya oleh Dato’ Onn untuk mencurahkan isi hati dan ketidakpuasan dirinya terhadap Sultan Johor. Beliau menganggap Sultan Johor suka membazir dan tidak mempedulikan nasib rakyat jelata. Beliau juga pernah mengritik Sultan Johor memaksa Askar Timbalan Setia membuat kerja-kerja buruh seperti buruh paksa untuk kepentingan perladangan milik peribadi Sultan. Kelancangan dan keberanian beliau mendapat liputan meluas dari akhabar-akbar lain. Dato’ Onn mula dikenali dan popular dengan cepat. Latar belakang beliau juga diketahui dan banyak penulis dan masyarakat pembaca Melayu menyukai tulisan yang berani seperti tulisan Dato’ Onn.

Penulisan Dato’ Onn sering berkisar dalam Istana Sultan Johor. Beliau juga berjaya memperlihatkan gambaran hidup dan pemikiran yang serupa di kalangan istana raja-raja Melayu lain. Kepincangan gaya hidup dan keborosan putera-putera raja menjadi isu besar manakala pada waktu yang sama kesadaran terhadap keadilan dalam layanan terhadap pegawai dan kakitangan awam yang tidak selaras dan adil apabila dibandingkan dengan pegawwai Inggeris dan bangsa asing. Orang Inggeris dan bukan Melayu dilayan baik dan ini sangat tidak menyenangkan orang-orang Melayu. Dato’ Onn kerap menulis mengenai persoalan layanan, perbedaan gaji dan alaun hingga menular kepada perbicaraan dan perbincangan mengenai keadaaan kesihatan, pelajaran dan ekonomi dan adat- resam dan kebudayaan.

Di awal tahun 1930-an kesedaran kepada pelajaran dan minat pembacaan mula berkembang subur. Di zaman meleset tidak banyak bahan bacaan yang dapat dirujuk. Akhbar-akhbar Melayu tempatan mendapat tempat dan pesanan yang amat menggalakkan. Pertumbuhan dan pengeluaran akhbar melayu seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Berita-berita dunia pula mulai masuk dengan mudah dan berita sensasi peperangan di Eropah mula mendapat perhatian. Kegiatan dan peranan Angkatan Muda yang gagal mempengaruhi masyarakat Melayu melalui dakwah telah menggunakan flatfom akhbar dan berita semaksima mungkin.

Fahaman Angkatan muda telah meuar-uarkan perjuangan kebebasan mentadbir dan memerintah sendiri. Ini dilakukan kerana terhasil daripada kesedaran dari keadaan negara Turki yang telah dikongkongki oleh kuasa barat apabila Empayar Othmaniah ditamatkan di awal 1920-an. Pejuang-pejuang kebebesan Islam telah ditangkap dan disekat kebebasan bersuara. Mereka melihat agama telah dikongkongi dan negara Turki telah dijajah. Pengaruh dan dasar kerajaan baru Turki yang memperkenal sistem skular dan moden telah mematikan kebudayaan Islam. Dengan perjuangan dan mesej yang dibawa oleh mereka ke sebelah Timur mereka telah meuar-uarkan semangat perjuangan dan kemerdekaan melalui pendidikan moden.

Dato’ Onn yang mempunyai latar belakang pendidikan Inggeris dan berpengalaman dengan sikap bias, prijudis dan hipokrit Inggeris berasa bertanggungjawab untuk berbuat sesuatu. Ini didorong pula oleh asal-usul dirinya yang mempunyai darah Turki. Beliau telah mengambil peluang ini dengan sepenuh tenaga dengan menulis di dada akhbar. Beliau tidak memperlihatkan dirinya terpengaruh dengan arus perdana yang dibawa oleh Angkatan Muda. Sebaliknya beliau menilik diri sendiri dan keadaan bangsanya sendiri. Beliau berasakan isu-isu yang ditulisnya sangat relevan. Beliau telah menulis dengan penuh minat dan bertanggongjawab tanpa memikirkan penat lelah dan upah. Usaha beliau telah menjadikan akhbar yang dipertanggongjawabkan kepadanya iaitu akhbar Warta dan Warta Negara menjadi begitu laris dan terkenal.

Jualan akbarnya mendapat sambutan sehingga beliau mampu mengurus dan menerbitkan akhbarnya sendiri. Beliau telah menulis banyak kepincangan dan kelemahan orang Melayu dan cara-cara mengatasinya. Beliau juga mendedahkan kelalaian intitusi raja dan cendikiawan Melayu yang berpendidikan Inggeris. Mereka dianggap telah lupa kepada tanggongjawab untuk menjaga maruah diri dan maruah bangsa. Dato’ Onn sering menkritrik sikap pegawai-pegawai Melayu yang telah di brain wash oleh Inggeris hingga kadang kala menjadi lebih Inggeris daripada orang Inggeris sendiri. Liputannya mendapat perhatian bukan sahaja di kalangan rakyat biasa tetapi juga di kalangan istana, para bangsawan serta orang-orang Melayu berpendidikan Inggeris.

Dato’ Onn telah berjaya memberi kesedaran kepada mereka kerana Dato’Onn sendiri adalah daripada kalangan bangsawan di istana. Beliau gigih memperjuangkan hak bangsa Melayu yang dianggapnya sebagai perjuangan sejagat. Beliau berjuang melalui penulisan dan beliau menyindir pedas orang Melayu berpendidikan Inggeris yang tidak sadar diri. Dato’ Onn berjaya meluahkan perasaannya selari dengan kenyataan keadaan sosial ketika itu. Beliau berjaya mencuit hati para pembaca kerana beliau menilik diri beliau sendiri dengan semangat Melayu yang tulin.

Sejak dari kecil beliau terasa beliau dihalang untuk berdamping dengan putera-putera raja oleh pegawai Inggeris. Beliau tidak dibenarkan melanjutkan pelajaran di England bukan kerana beliau lemah tetapi dikuatiri beliau akan mempengaruhi anak raja dan orang Melayu. Dulu, beliau tidak begitu menyedari hal itu tetapi apabila beliau berpengalaman menjadi marhein, ketika itulah apa yang tersirat menjadi nyata di mata dan fikiran beliau. Jjika beliau diberi pendidikan tinggi dan berpengetahuan, tentunya membahayakan Inggeris. Inggeris melihat beliau memang berpotensi menjadi peminpim Melayu Moden. Keadan itu mesti dielakkan demi kepengtingan Inggeris.

Ramalan Inggeris memang menjadi kenyataan apabila Dato’ Onn mengetuai orang-orang Melayu menentang Malayan Union. Dato’ Onn juga sedar kekurangan pada dirinya yang tidak berpelajaran tinggi. Kekurangan itu tidak dibiarkan. Alam kewartawan banyak mengajar dan memberi input kepada beliau. Beliau sendiri mempunyai latar belakang keluarga yang baik. Ini telah memberi keyakinan diri yang tinggi kepada jiwa dan semangat beliau. Beliau dapat menghayati dan mengalisa keadaan semasa dan agenda Inggeris daripada pengalamannya. Beliau Berjaya membaca strateji Inggeris yang bersifat penjajah.

Pengalaman ketika berkhidmat sebagai pegawai awam negeri Johor, ketika menjadi Askar Timbalan Setia dan ketika beliau menghadapi kesukaran hidup menjadi golongan marhein sebagai nelayan dan menyewa di rumah setingan di Singapaura telah menjadi modal tidak ternilai dalam penulisannya. Pengalaman dan penghayatan beliau telah membuka bukan saja mata tetapi juga minda dan fikiran beliau dan beliau berjaya meluahkannya dan mempengaruhi masyarakat sekeliling . Beliau sungguh sensitif dengan kedaifan bangsa beliau. Bangsa Melayu, di negara Melayu yang dianggap sebagai negara milik dan warisan datuk nenek moyang. Di satu pihak lain, beliau melihat golongan bangsawan dan pembesar negeri terus leka dibuai oleh pengaruh kecerdikan Inggeris. Inggeris terus mengaut hasil yang tidak terhitung banyaknya dari bumi Melayu.

Pada tahun 1935 Dato’ Onn telah menerbitkan Selamat Johor sempena Hari Kemahkotaan Sultan Johor ke 40. Beliau telah memuatkan berita-berita istana yang positif. Beliau berharap kematangan Sultan memerintah ke arah pembaikan. Beliau yakin bahawa nilai yang baik perlu dicontohi dan diketengahkan. Begitu juga yang tidak elok perlu diberi perhatian agar tidak diteladani oleh anak bangsa. Terbitan Selamat Johor yang diterbitkan oleh beliau sangat popular dan mendapat pesanan diluar jangkaan.Beliau menjadi bertambah popular.Tengku Mahkota Ismail telah menyarankan ayahanda baginda memberi pengampunan kepada Dato’ Onn kerana jasanya mengangkat kebajikan yang dilakukan oleh Sultan Ibrahim. Sultan Johor berasa sukacita dan menganggap Dato’ Onn telah berjasa kepada baginda dan negeri Johor. Sehubungan itu baginda Sultan Johor berkenan memberi keampunan kepada beliau. Baginda telah mengundang beliau dan keluarga balik dan berkhidmat di Johor.

Pada tahun 1938 Dato’ Onn telah dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Negeri. Persetujuan beliau untuk berkhidmat dengan Sultan Johor dengan bersyarat supaya pandangan beliau tidak disekat kecuali pandangan yang merugikan rakyat. Beliau telah diberi jaminan kerana beliau dianggap oleh para cendekiawan Johor sebagai seorang yang berani dan sangat berguna kepada negeri Johor. Sultan dinasihati supaya menganugerahkan jawatan yang penting dan tinggi kepada Dato’ Onn sebelum beliau dilamar oleh Singapura, negeri Melayu lain atau Inggeris. Sultan Johor telah memperkenan lebih-lebih lagi Tengku Mahkota yang sering memangku sultan juga berkeras menginginkan teman setia dan karibnya berkhidmat di Johor.

Ketika Dato’ Onn menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Johor, cadangan beliau telah diterima untuk mewujudkan biasaiswa pelajaran kepada pelajar-pelajar Melayu yang bekelayakan. Biasiswa tersebut merupakan biasiswa yang pertama telah diujudkan di negeri Johor dan Semenanjung Tanah Melayu. Pelajaran dilihat sangat penting bagi menjamin dan membantu orang Melayu. Mereka nanti akan berupaya mencapai dan memajukan bangsa apabila tamat belajar. Dato’ Onn juga menggesa agar pendidikan kepada kaum wanita juga ditingkatkan. Di samping itu pelajaran agama juga tidak diabaikan.

Ketika zaman Jepun, Dato’ Onn telah diberi kepercayann oleh Pentadbiran Tentera Jepun menjadi pegawai bekalan dan mengagih makanan. Beliau telah mengagihkan beras mengikut arahan dan kuasa yang telah diberikan. Beliau tidak menggunakan kuasa dan pangkat beliau secara bias. Tetapi, di dalam senyap dan rahsia beliau juga membantu memberi bekalan makanan kepada pergerakan kiri yang anti Jepun. Beliau mengetahui strateji yang dibuat oleh Ibrahim Yakob dan Ahmad Boestaman . Beliau mempunyai hubungan baik dengan mereka dan juga dengan MPAJA.

Kepimpinan Dato’ Onn terserlah apabila dilantik khas menjadi pegawai daerah Batu Pahat bagi menghentikan persengketaan kaum antara orang Melayu dengan orang Cina. Majoriti orang Cina Batu Pahat telah menyertai MPAJA ketika zaman Jepun kerana penindasan tentera Jepun terhadap orang Cina. Setelah tentera Jepun menyerah, mereka menjadi komunis dan telah menzalimi dan menganiaya orang Melayu. Orang Melayu telah bersatu dan menubuhkan tentera Selimpang Merah yang diketuai oleh Kiai Salleh dan membalas serangan-serangan orang Cina. Dalam masa yang singkat beribu orang Cina terbunuh. Apabila sultan menerima laporan dan bantuan perlindungan dari saudagar Cina dari Batu Pahat, Dato’ Onn telah dititah menyelesaikan persengketaan itu.

Dato’ Onn telah berjaya memujuk angkatan kumpulan Selimpang Merah yang diketui oleh Kiai Salleh agar menghentikan serangan dan berdamai. Ketika Inggeris kembali ke Tanah Melayu dengan idea pemerintahan Malayan Union yang melenyapkan keistimewaan dan hak-hak orang Melayu, Dato’ Onn segera menubuhkan Kesatuan Melayu Semenanjung Johor yang akhirnya berjaya menyatupadukan persatuan dan kesatuan Melayu seluruh Tanah Melayu bagi menghalang pencabulan Inggeris dan menentang Malayan Union. Beberapa persidangan dan kongres telah diadakan dan di Kongres Melayu di Johor Bahru pada 11 Mei 1946, UMNO dengan rasminya telah ditubuhkan. Dato’ Onn telah dilantik menjadi Yang DiPertua. Melalui UMNO, beliau menyusun strateji dan aktiviti menentang Malayan Union sehinggga Inggeris terpaksa membubarkannya pada 1 Februari 1948 dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

SEJARAH PENUBUHAN MALAYAN UNION

8 comments
PENUBUHAN MALAYAN UNION
Oleh
Tun Sheikh Engku Bendahara

Ketika Tanah Melayu diperintah Jepun pada tahun 1943, Pejabat Tanah Jajahan British dan Pejabat India British telah merangka sebuah kerajaan baru untuk Tanah Melayu dan telah dipersetujui oleh kerajaan British di London. British begitu yakin akan berjaya menawan Tanah Melayu semula daripada Jepun berikutan kejayaan Tentera Berikat di Eropah menawan semula beberapa negara daripada Jerman. Bentuk pemerintahan baru ini telah dirangka tanpa perwakilan dan pengetahuan orang Melayu kerana British menganggap kedaulatan Tanah Melayu tidak lagi wujud setelah kalah dalam peperangan. Kerajaan baru ini dikenali sebagai Malayan Union. British menganggap hak mutlaknya untuk menentukan bentuk pemerintahan dan kerajaan Tanah Melayu apabila berjaya mengusir Jepun.

Tujuan utama penubuhan Malayan Union ialah untuk memiliki dan menguasai Tanah Melayu. Tanah Melayu juga ialah sebuah negeri yang kaya dengan sumber ekonomi daripada sumber bumi. Kedudukan geografi Tanah Melayu pula sangat sesuai dijadikan sebagai sebuah negeri pengguna dan agen pasaran barangan dagangan Inggeris di timur. Selain itu, British juga telah menjangkakan akan kehilangan beberapa buah negeri tanah jajahannya akibat Peperangan Dunia Kedua. Daripada pengalaman pentadbiran pula, Tanah Melayu dianggap mudah diperintah kerana orang Melayu dianggap mempunyai budi bahasa yang tinggi, bersikap lemah lembut dan mudah mengikut telunjuk.

Berita rancangan Inggeris menubuhkan Malayan Union telah tersebar luas dalam akhbar-akhbar di India dan London. Berita ini juga segera mendapat liputan akhbar di Singapura dan Pulau Pinang kerana terdapat beberapa kumpulan elit dan ahli parlimen Inggeris yang tidak menyetujuinya. Ini adalah kerana kemenangan tentera Inggeris adalah dengan kerjasama Tentera Berikat dan Tanah Melayu bukanlah Tanah Jajahan Inggeris. Sebelum perang meletus, British telah berjanji untuk memulangkan kuasa Raja-raja Melayu dibawah Dasar Decentralisasi. Malayan Union dikhuatiri akan mengakibatkan huru-hara dan akan merugikan kerajaan British. Untuk mengatasi masalah itu kerajaan British telah menghantar sebuah jawatan kuasa meminta persetujuan Raja-raja Melayu yang diketuai oleh Sir Harold Mac Michael sebaik saja Jepun menyerah kalah.

Sir Harold Mac Michael telah tiba di Tanah Melayu pada bulan Oktober 1945. Beliau telah berjaya memperdaya dan memujuk raja-raja negeri Melayu dengan pelbagai muslihat dan ancaman. Beliau juga telah mempergunakan nama dan pengaruh Sultan Ibrahim Johor bagi mendapatkan tandatangan raja-raja Melayu dan kembali ke London pada 26 Disember 1945. Beliau telah berjaya menyakinkan pihak kerajaan British mengenai tandatangan yang diperoleh adalah secara sukarela daripada raja-raja Melayu.

Di dalam perlembagaan Malayan Union, kesemua 9 buah negeri Melayu, Melaka dan Pulau Pinang disatukan sebagai sebuah tanah jajahan Inggeris yang diketuai oleh seorang Gabenor British. Singapura tidak dimasukkan kerana British menganggap Singapura telah menjadi milik mutlak Inggeris yang diperoleh melalui perjanjian dengan Sultan Hussin. Semua bidang kuasa raja-raja Melayu dalam kerajaan Malayan Union termasuk hak menentukan dasar luar negeri diambil alih oleh Gabenor . Raja-raja Melayu walaupun diberi hak terhadap agama dan adat resam Melayu tetapi tidak mempunyai kuasa ke atasnya kerana baginda hanya bertaraf ahli biasa dalam Majlis Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Gabenor Malayan Union. Perlembagaan Malayan Union juga mengiktiraf taraf kerakyatan pendatang asing melalui lunas ‘Jus Soli’ mengikut kelahiran dan juga kelonggaran diberi kepada kaum pendatang yang memohon menjadi rakyat Malayan Union.

Sebelum perang meletus, orang Melayu telah terdedah dengan pelbagai pandangan agar pihak Inggeris tidak memperkecil keupayaan dan hak-hak orang Melayu dalam pelbagai bidang kehidupan. Masalah pendidikan, ekonomi dan pengambilan pegawai dan kakitangan kerajaan dianggap tidak seimbang kerana British mengenepikan orang Melayu. Kerajaan British juga terus membawa masuk sebegitu banyak buruh asing dan hal ini tidak disenangi oleh cendekiawan Melayu kerana mewujudkan keadaan yang tidak seimbang dalam pola masyarakat.

Apabila Sir Harold Mac Michael datang dan berjaya mendapat tandatangan raja-raja Melayu, orang-orang Melayu berasa yakin bahawa segala yang dijanjikan oleh British sebelum perang untuk memulangkan kuasa raja-raja adalah pembohongan belaka. Penjelasan British yang menyatakan Malayan Union adalah ke arah persediaan untuk bekerajaan sendiri tidak dapat diterima oleh orang-orang Melayu kerana perlembagaan Malayan Union itu sendiri akan melenyapkan maruah dan ketuanan Melayu.

Dalam suasana kebimbangan dan bercampur marah itu Dato Onn telah diminta mengetuai orang Melayu kerana beliau pernah menyeru supaya orang Melayu bersatu padu untuk membaiki nasib di tanah air sendiri. Gagasan fikiran dan pandangannya di akhbar-akhbar sebelum perang dan cita-citanya untuk menyatupadukan orang Melayu pernah diucapkan ketika menghadiri Kongres Melayu di Singapura pada tahun 1940. Beliau dilihat sebagai seorang tokoh yang amat sesuai untuk semua golongan masyarakat dari rakyat biasa hingga kerabat diraja termasuk berhadapan dengan pegawai-pegawai tertinggi Inggeris kerana latar belakangnya.

Sehubungan dengan itu, Dato’ Onn yang baru saja berjaya mengamankan pergaduhan kaum di Batu Pahat segera menyeru perpaduan Melayu melalui akhbar-akhbar untuk menentang Malayan Union. Beliau telah menubuhkan Pergerakan Melayu Semenanjung pada 3 Januari 1946. Beliau telah menyeru agar orang Melayu segera berkumpul dan bersatu padu dan telah mendapat sokongan serta kerjasama yang tidak berbelah bagi hingga terlangsunglah perjumpaan pemimpin-pemimpin pertubuhan dan persatuan Melayu dari seluruh negara dalam Kongres Melayu Pertama di Kelab Sultan Sulaiman pada 1 hingga 4 Mac 1946.

Sebelum itu, seruan Dato’ Onn telah membangkitkan semangat perpaduan Melayu di beberapa negeri dan berjaya mengadakan rapat-rapat umum membantah penubuhan Malayan Union. Di Kuala Kangsar, lebih 25,000 orang telah mengadakan perarakan raksasa membantah Malayan Union pada 15 Januari 1946. Tetapi pada 22 Januari 1946 pihak British tetap meneruskan agendanya mengumumkan penubuhan Malayan Union yang akan berkuatkuasa mulai 1 April 1946. Dua hari selepas itu, sekali lagi Dato’ Onn menyeru melalui akhbar Majlis mencadangkan pertemuan dan perpaduan Melayu dalm satu kongres disegerakan.

Di merata negara, perarakan-perarakan kecil telah diadakan. Pada 2 Februari 1946 satu perarakan seramai lebih 36,000 orang telah berjaya diadakan di Kota Bharu Kelantan. Di Batu Pahat sendiri telah diadakan perarakan besar-besaran dan seramai 18,000 orang Melayu telah keluar berjalan kaki ke Bandar Batu Pahat mengikut serta menunjuk perasaan membantah Malayan Union pada 10 Februari 1946. Ikrar membantah penubuhan Malayan dibaca oleh Kiai Salleh. Sepanjang perarakan, slogan ‘Hidup Melayu’ terus dilaungkan dan bergema di sana sini. Perarakan yang bermula di Jalan Sultanah berkhir di Padang Pejabat Kerajaan Batu Pahat. Di sini, Dato’ Onn telah berapi-api memberi ucapan menentang Malayan Union dan mengecam kerajaan British sebagai tidak berprikemanusiaan merampas hak orang Melayu..

Di dalam Kongres Melayu Pertama pada 1 hingga 4 Mac 1946, PEKEMBAR atau UMNO ditubuhkan tetapi kerajaan British tetap berhasrat mengadakan majlis pengistiharan Malayan Union dan perlantikan Gabenor Malayan Union, Sir Edward Gents pada 1 April 1946. Sehari sebelum pengistiharan, Dato’Onn telah mengadakan Mesyuarat Tergempar PERKEMBAR di Kuala Lumpur untuk bertindak mengadakan perarakan dan memujuk raja-raja Melayu memulaukan majlis. Orang-orang Melayu juga diseru supaya berkabung dengan memakai songkok berlilit putih dan berbaju putih selama seminggu. Hal ini telah berjaya dilakukan dan pihak British amat terkejut apabila raja-raja dan pembesar Melayu memulaukannya manakala beribu-ribu orang Melayu berkumpul di hadapan Station Hotel, Stesen Kereta api Kuala Lumpur membantah penubuhan Malayan Union.

Walau pun begitu, British tetap meneruskan rancangannya kerana berasa yakin raja-raja dan pembesar Melayu masih menyokong dan menyebelahi kerajaan British. Jentera kerajaan juga tidak lumpuh kerana majoriti kaum yang berkhidmat dengan British adalah terdiri daripada kaum pendatang. Gabenor yang dipulaukan terus menjalankan tugas tetapi akhirnya berhadapan dengan pelbagai kesulitan apabila raja-raja dan pembesar Melayu serta pegawai-pegawai tinggi Melayu bersikap berkecuali dan pasif. Beliau mengambil iniasiatif dengan memujuk agar Malayan Union diterima tetapi beliau sendiri berasa simpati kerana kerajaan British dianggap telah bertindak begitu jauh tanpa mempedulikan maruah bangsa Melayu.

Pada 11 Mei 1946, sekali lagi pemimpin-pemimpin pertubuhan dan persatuan orang-orang Melayu berkumpul menghadiri persidangan di Istana Besar Johor Bahru dan penubuhan PERKEMBAR telah diisytiharkan dengan rasminya sebagai satu persatuan mewakili seluruh orang Melayu. PERKEMBAR atau UMNO selepas itu telah menyusun secara teratur pelbagai aktiviti membantah Malayan Union hingga akhirnya Britis terpaksa tunduk mengikut kehendak UMNO merangka perlembagaan baru mewujudkan Persekutuan Tanah Melayu. Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu telah ditandatangani oleh raja-raja Melayu dengan pihak Inggeris pada 21 Januari 1948 dan dikuatkuasakan pada 1 Februari 1948. Mulai dari tarikh itu Malayan Union dibubarkan..

Sumber Rujukan
1. Abu Bakar Hamid ..et al, UMNO Johor 50 Tahun Memartabatkan Bangsa Melayu, , Yayasan Warisan Johor, J. Bahru, 1996.
2. Abu Bakar Hamid & Md Ismail Zamzam (Edt.), Pejuang Terbilang Johor, Yayasan Warisan Johor, J. Bahru, 2002.
3. Abu Bakar Hamid & Md Ismail Zamzam (Edt.), Tokoh Ternama Johor, Yayasan Warisan Johor, J. Bahru, 2003.
4. Buyong Adil, Sejarah Johor, DBP, K. Lumpur, 1980.
5. Ghazali bin Mayudin, Johor Semasa Pendudukan Jepun 1942-1945, K.Lumpur 1978.
6. Hari Ini Dalam Sejarah Jilid I, Arkib Negara Malaysia, K. Lumpur, 1981.
7. Hari Ini Dalam Sejarah Jilid II, Arkib Negara Malaysia, K. Lumpur, 1982.
8. Ramlah Adam, Dato’ Onn Jaafar Pengasas Kemerdekaan, DBP, K.Lumpur, 1992.
9. Tan Sri Datuk Abdul Samad Idris, 25 Tahun Merdeka, Pustaka Budiman, K. Lumpur, 1982.
10. UMNO Bahagian Batu Pahat, Sejarah UMNO Suku Abad, UMNO Batu Pahat, 1971.
11. Barbara Watson Andaya and Leonard Y.Andaya, A History of Malaysia, Palgrave, Hampshire, 2001.

BIOGRAFI MD YASIN JMF

0 comments
MD YASIN JMF KORBAN PEMBINAAN JOHOR MODEN

Apabila Pertubuhan Persilatan Melayu Malaysia aktif mengumpul maklumat sejarah persilatan Melayu, nama Md Yasin JMF tiba-tiba timbul kerana dijangka sebagai orang yang mengasaskan Silat Sendeng di Johor. Dalam kajian Tun Sheikh memang ada kaitan tetapi mendapati kurang tepat jika pensejarahan silat itu hanya bermula di antara tahun 1885 hingga 1940-an. Ini adalah kerana ilmu persilatan Melayu itu telah wujud lebih awal lagi.

Mengenai Md Yasin JMF pula, beliau bukanlah Long Md Yassin Ketua atau Persusuruhjaya Polis Muar Johor pada 1880-an kerana Md Yasin JMF lahir pada tahun 1900 dan meninggal dunia pada tahun 1979. Walaupun Md Yasin JMF juga dikenali sebagai Long Yasin tetapi mereka bukanlah orang yang sama. Long Yasin Persuruhjaya Polis Bandar Maharani memang seorang anggota polis dan rapat dengan Sultan Abu Bakar Johor. Long Md Yasin JMF rapat dengan Dato’ Onn dan Sultan Ibrahim Johor.

Md Yasin JMF memang tidak dinafikan memang Mahaguru Silat. Beliau bersama bapa saudaranya Wak Mian bin Panglima Hj Salleh @Abdullah Teoko mengajar silat sendeng, silat harimau dan lintau kepada ahli Kumpulan Gelap Rimau dan pemuda-pemuda Kampung Bakri di gelanggangnya di Lorong(Jalan) Sakih dan Lorong Abdullah Teoko (Jalan Hj Abdullah) di Jalan Bakri sekitar 1930-an hingga 1941. Beliau juga membuka semula gelanggangnya di Lorong Sakih selepas tamat Perang Jepun pada tahun 1947 hingga 1957. Pada tahun 1965 hingga 1970, Md Yasin telah berpindah ke Bakri Batu 2 dan telah zuhud tetapi masih menunjuk ajar secara ringan mengenai buah persilatan sendeng, harimau dan lintau atau kuntau yang disatupadukan kepada pemuda terpilih di halaman rumahnya.

Md Yasin JMF lahir pada 5 Januari 1900 di Bakri (bandar) Muar Johor. Nama lain yang pernah digunakan beliau ialah Long, Mat Baran, Mat Sakai, Pak Unggal, Mat Iblis, Kang Jati, Yasin Askar Tuanku, Yasin Tengku Tijah dan Wan atau Engku Long Bakri, Md Yasin Billiad dan Raja Wau Muar. Semua gelaran ini sinonim dengan diri dan perwatakan mahu pun pekerjaannya.
Md Yasin dinamakan oleh datuknya Hj Md Noh bin Lebai Hj Muhamad sempena bondanya Cik Zamiah yang sering membaca surah Yasin kerana bersedih dan merindui bondanya Tuanku Khadijah bte Tuanku Muda Cik yang telah kembali meninggalkannya balik ke istana Sri Menanti Negeri Sembilan. Selepas Cik Zamiah melahirkan Md Yasin pada tahun 1900, beliau juga menjejaki bondanya balik ke istana meninggalkan anaknya Md Yasin yang baru pandai tiarap. Cik Zamiah kemudian dikahwinkan oleh pihak istana dengan Tengku Zakaria dari Mabang.

Ketika berusia 13 tahun, Md Yasin telah ditangkap oleh Askar Tuanku dan kerana bapanya dikenali sebagai Hj Long, Md Yasin digelar Sultan Ibrahim sebagai Mat Sakai sempena nama Long yang terkenal dalam masyarakat sakai laut atau orang laut yang juga dikenali sebagai Orang Seletar. Orang asli Seletar adalah orang suku asli kesayangan kerabat Temenggong Johor. Mereka amat berjasa kepada Temenggong dalam peperangan di laut mahupun memerangi lanun perompak laut. Di kalangan istana Johor mereka dikenali sebagai Orang Kita.

Dalam JMF (Johore Military Force) Mat Sakai kemudian digelar Sultan Ibrahim sebagai Mat Baran kerana perangai berani dan panas baran. Beliau bergaul rapat dengan Dato’ Onn, Wan Idris bin Wan Ibrahim, Wan Tahir bin Wan Abd Rahman, Engku Aziz dan lain-lain terutama orang besar Muar dan orang besar berasal Pahang. Beliau dibawa mempelajari silat lintau dan sendeng di Kampung Pahang Johor Bahru oleh bapa saudaranya Wan Tahir.

Sekitar tahun 1924-1928 beliau menganggotai kumpulan kongsi gelap Melayu, Kumpulan Rimau Muar yang diasaskan oleh datuk sebelah ibunya, Panglima Salleh @ Abdullah Teoko. Ketika itu, Kumpulan Rimau diketuai oleh Haji Kadir bin Hj Yusof, anak Orang Kaya Bandar Maharani Muar. Kumpulan Rimau sebelum bernama diketuai oleh Abdullah Teoko (1886-1905), kemudian anaknya Wak Mian bin Hj Salleh @ Abdullah Teoko, dikenali sebagai Kongsi Gelap Rimau Muar(1905-1925), Hj Kadir Yusuf (1925-1928) dan Md Yasin JMF (1928-1948).
Nama rimau adalah sempena silat harimau yang diajar dan diwarisi oleh Wak Mian dari bapanya Panglima Salleh dari suku Jawa Istana Negeri Sembilan. Sumber lain adalah gelaran yang diberi oleh penduduk Cina kerana lambang rimau di lengan ahli (JMF terukir seperti gambar kepala harimau), berlawan bunyi dan melompat seperti harimau dan mencakar mangsa seperti cakaran harimau.

Semasa Md Yasin mengetui Kumpulan Rimau, namanya dikenali sebagai Mat Iblis tetapi kebanyakan orang tidak tahu siapa sebenarnya Mat Iblis. Orang hanya mengetahui Mat Iblis adalah ketua kumpulan samseng Rimau Melayu, ketua gangster Rimau Melayu atau kongsi gelap Melayu Rimau Muar yang di hormati dan juga digeruni. Puncak populariti kumpulan ini ialah semasa diketuai oleh Md Yasin JMF.

Mengikut sejarah, panggilan kongsi gelap, gangster atau samseng ini tidak pernah digunakan sebelum itu kecuali selepas British kembali memerintah pada tahun 1946. Tetapi nama kongsi gelap telah popular pada tahun 1918 dan menjadi rasmi apabila kerajaan Johor sendiri menubuhkan Pasukan Gelap Kastam dan Pasukan Gelap Polis atau Mata-mata yang berpakaian preman (free man) atau berpakaian awam di awal tahun 1920-an bagi memudahkan penyamaran dan penyiasatan. Secara tradisional kumpulan ini lebih dikenali sebagai orang Sultan, orang suruhan raja atau anak mas raja. Mereka berbuat sesuka hati samada atas titah raja atau mereka mengambil kesempatan di bawah perlindungan payung raja.

Di kalangan saudara mara Jawa, Md Yasin dikenali atau dipanggil Kang Jati, mengingat mereka dari keturunan Sultan Gunung Jati, Cerebon. Pak Unggal dan Long Yasin dikenali dari kalangan kaum kerabat Melayu sebelah bandar Muar. Long kerana beliau adalah anak sulong kepada Hj Long bin Hj Md Noh, peneroka Bakri Muar. Pak Unggal kerana beliau anak tunggal dari ibunya Cik Zamiah bte Hj Salleh @ Hj Abdullah Teoko. Yasin Askar Tuanku pula dikenali di kalangan saudara mara Melayu yang telah jauh iaitu dua atau tiga pupu dengannya. Dan Wan atau Engku Long Bakri dikenali di kalangan kerabatnya disebelah Pagoh dan Kampung Sungai Raya Bukit Pasir Muar. Md Yasin Askar Tuanku sebenarnya lebih popular dikenali ramai di zaman hayat beliau tetapi di kalangan pembesar atau orang kenamaan mahupun berpelajaran Johor, beliau lebih dikenali secara lisan dan tulisan sebagai Md Yasin JMF.

Ketika beliau berkhidmat di hospital Muar pada tahun 1947 hingga 1959, Md Yasin JMF dikenali sebagai Raja Wau Muar kerana minatnya membuat wau atau layang-layang besar sehingga boleh terbang berminggu-minggu. Wau beliau pernah melarikan anak gadisnya yang berumur 8 tahun di padang Kelab Hospital Muar dan menjadi berita dalam akhbar dengan sindiran sinis. Ini adalah kerana bermain wau ketika sebelum Merdeka adalah membuang waktu, lalai dan perbuatan yang sia-sia. Md Yasin JMF juga dikenali sebagai Md Yasin Biliard kerana beliau menjadi pegawai keselamatan Kelab Hospital Muar dan jaguh bermain biliard.

Beliau mahir bermain biliard sejak berusia muda ketika menjadi Askar Tuanku lagi. Mengikut cerita cucu sulungnya, bahawa sebahagian daerah Wood Land Singapura sebenarnya dikurniakan oleh Sultan Ibrahim kepada datuknya. Ini adalah kerana pada asalnya daerah tersebut telah tergadai dan berpindah tangan dalam taruhan Sultan Ibrahim dengan pegawai Inggeris dalam permainan billiard. Md Yasin JMF telah disyorkan oleh pegawai JMF supaya bermain dan Sultan mencabar semula pegawai Inggeris untuk mendapatkan daerah Wood Land kerana pembesar dan sahabat-sahabat Inggeris Sultan, mengganggap daerah itu amat stratejik untuk pertahanan dan khuatir akan dijual oleh pegawai Inggeris berkenaan secara peribadi.

Sultan Johor telah mempertaruhkan seluruh estetnya di Kota Tinggi kepada orang Inggeris jika menang dan jika kalah sultan akan dapat semula daerah Wood Land yang telah terlepas tangan. Sultan berjanji mengurniakan sebahagian Wood Land kepada Md Yasin JMF jika menang tetapi jika kalah nyawanya akan melayang. Ini juga merupakan satu sebab mengapa rekod Md Yasin hilang dari perkhidmatan dengan Askar Tuanku di akhir-akhir tahun perkhidmatannya tetapi tiba-tiba muncul di Muar menganggotai dan kemudian mengetuai kumpulan gelap keluarganya yang memainkan peranan untuk kepentingan sultan juga.

Dalam pertaruhan itu Md Yasin JMF yang masih terlalu muda rasa amat tertekan dan tidak yakin tetapi telah menang. Sultan dapat kembali daerah Wood Land Singapura tetapi titah dan janji mengurniakan sebahagiannya kepada Md Yasin JMF tidak dilaksanakan oleh pembesar dan pegawai tadbir negeri Johor. Md Yasin hanya dinaikkan pangkat menjadi ADC kepada Sultanah dan kemudian rekod perkhidmatannya gaib dan dicatat tidak dapat dikesan. Woodland kemudiannya dibangun menjadi pengkalan tentera laut British dari hasil wang hadiah daripada Sultan Johor kepada Raja England.

Misteri ketokohan Md Yasin JMF ini menjadi begitu menarik jika dikaji kerana boleh dikatakan satu-satunya sejarah kewujudan kumpulan kongsi gelap Melayu dan peranan yang dimainkan oleh kumpulan ini berupaya membongkar fungsinya dalam pentadbiran feudal Melayu terutamanya kepada negeri Johor. Kongsi gelap biasanya sinonim dengan budaya negatif kumpulan kongsi gelap yang dibawa masuk oleh penghijrah-penghijrah dari negeri Cina. Kini lebih dikenali sebagai gangster, kongsi gelap atau kumpulan mafia jika di Eropah. Tetapi sebenarnya ikon keburukan, keganasan atau kejahatan pada Kongsi Gelap Rimau berlainan sekali seperti kongsi gelap Cina.

Sebenarnya kerabat dan keluarga Md Yasin JMF adalah korban dasar pemodenan atau kebaratan kerajaan negeri Johor. Ini merupakan salah satu keistimewaan yang tercungkil dari tokoh Md Yasin JMF. Sebagai korban kebijaksanaan kerajaan negeri Johor, Md Yasin JMF dari keluarga terhormat dan ternama berjaya ditekan dan dihimpit sehingga menjadi orang biasa yang tiada apa-apa sehingga hampir saja boleh dituduh sebagai penjahat dan pengkhianat kerana menggerakkan kumpulan kongsi gelap atau samseng Melayu. Dalam erti kata lain keluarga Md Yasin JMF sejak datuknya sehingga dirinya sebenarnya mendapat perhatian kerabat diraja Johor dan kerana dikhuatiri berupaya mendatangkan masalah dalam usaha untuk memiliki kekuasaan Johor, maka mereka ditekan secara halus.

Mereka senasib dengan kerabat Raja Temenggong Muar yang berdaulat, kerabat Sultan Ali yang memerintah Kesang-Muar dan ternyata, terkena juga kepada keluarga Dato’ Jaafar bin Muhamad, bapa Dato’ Onn dan terakhir ialah keluarga Dato’ Bentara Luar, Dato’ Mohd Salleh bin Perang. Mengikut catatan sejarah, pengaruh keluarga ini semuanya dikawal dan dilemahkan secara halus, psikologi dan juga dengan cara melantik wakil mereka dengan dikurniakan pangkat tinggi tetapi terikat dan tunduk kepada Sultan.

Perbedaan nasib antara keluarga Dato’ Onn atau Dato’ Jaafar ialah mereka sempat bangun dan mempunyai pengikut dan penyokong. Mereka bangun dalam sistem permodenan dan pembaratan itu sendiri. Tetapi bagi keluarga Md Yasin JMF yang tidak banyak waris dan juga keluarga Dato’ Mohd Salleh bin Perang dan keluarga Raja Temenggong Muar kelihatan berjaya dinetral atau menjadi rakyat biasa dan hilang pengaruh dan kebesaran. Sebenarnya keluarga Dato’ Mohd Salleh, keluarga Dato’ Jaafar dan Temenggong Muar adalah dari keturunan pembesar Melayu Pahang yang lebih tinggi daulat mereka dari Temenggong Johor. Begitu juga dengan keturunan Md Yasin JMF dari Bendahara Pahang, darah keturunan Sultan Ceribon dan juga memiliki darah diraja Negeri Sembilan.

Pada tahun 1945 selepas Jepun menyerah kalah, rampasan kuasa oleh Pasukan Bintang Tiga (komunis) tidak berlaku di bandar Maharani. Ini adalah kerana pengaruh Kumpulan Rimau yang memberi pelindungan kepada ahli-ahli kongsi gelap Cina. Ketika zaman Jepun, orang-orang Cina dibawa masuk dan tinggal sementara di kampung-kampung Melayu yang tidak dimasuki Jepun. Banyak juga yang menyertai MPAJA tetapi tidak mengganggu orang kampong dan orang-orang Melayu bandar Maharani yang sama-sama masuk kampong bersembunyi. Ketua-ketua kongsi gelap Cina bekerjasama dengan Md Yasin JMF menjalankan kilang sagu milik datuknya di Sungai Raya. Hasil sagu diedarkan kepada orang-orang kampong tidak kira bangsa Cina atau Melayu.

Pada tahun 1947 dan 1948, Md Yasin JMF telah mengarahkan ahli-ahlinya supaya memberi perlindungan kepada Dato’ Onn yang berkempen ke serata Muar dan Tangkak memperjuangkan pembubaran Malayan Union. Sebelum itu beliau menerima arahan Kumpulan Tujuh yang diketuai oleh Dr Awang Hassan supaya menghalang dan mensabotaj Dato’ Onn yang dituduh petualang bangsa kerana memihak kepada Sultan Ibrahim Johor yang telah menyerahkan kedaulatan raja-raja Melayu kepada Inggeris. Arahan ini telah diabaikannya kerana Dato’ Onn adalah kenalan rapatnya dan begitu juga taat setia yang diberikan kepada Sultan Ibrahim.

Setelah Dato’ Onn selesai dengan selamatnya berkempen ke seluruh Muar dan Tangkak pada tahun 1948, beliau pun membubarkan Kumpulan Rimau Muar kerana tidak suka dipergunakan oleh kepentingan politik Melayu yang telah berubah mengikut trend ketika itu. Pada tahun 1960 Md Yasin JMF telah berpindah ke Bakri Batu 2 dan beliau terus zuhud sehingga meninggal dunia pada 22 Februari 1979. Beliau telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Batu 1 ½ Jalan Bakri Muar.

Keluarga beliau adalah korban dasar pembaratan Johor. Ini adalah kerana datuknya Hj Md Noh telah membantu mentuanya Tun Mansor untuk memberontak dan menentang Sultan Ahmad Pahang. Ketika itu Sultan Johor yang pada mulanya bermusuh dengan Sultan Ahmad dalam Perang Saudara Pahang sedang mula berbaik-baik dengan pihak Pahang setelah Sultan Ahmad berjaya dalam Perang Saudara Pahang. Datuknya juga dituduh telah menyebelahi angkatan Tengku Alam dalam Perang Jementah 1879. Secara kebetulan datuknya Hj Md Noh adalah anak angkat kepada Penghulu Kesang iaitu seorang saudagar kaya Jawa di Melaka yang telah dilantik oleh Sultan Ali menjadi Penghulu Kesang. Penghulu Kesang dengan moyangnya Lebai Haji Muhamad mempunyai pertalian darah berasal dari Jawa.

Bonda Md Yasin JMF yang kembali ke istana Negeri Sembilan dipercayai dihasut oleh Orang Kaya Muar. Begitu juga terhadap nendanya Tuanku Khadijah yang telah kembali ke Negeri Sembilan atas pujukan Orang Kaya Muar yang menyebelahi Sultan Abu Bakar dan Sultan Ibrahim. Md Yasin JMF sendiri telah ditangkap oleh Askar Tuanku dan akhirnya ternyata wawasan pemikirannya menyebelahi Sultan Johor dan tidak seperti bapa dan datuknya. Segala jasa datuknya yang telah membuka Bakri dan Sungai Raya tiada dalam rekod rasmi kerajaan Johor dan Md Yasin JMF juga tidak dapat mewarisi apa-apa harta peninggalan datuk dan bapanya yang telah dijadikan milik kerajaan.

Md Yasin JMF telah lama pergi dan peranan keluarga beliau mula menarik pengkaji apabila sebuah salinan syair dikesan berada dalam tangan ibu saudara kepada Timbalan Perdana Menteri di rumah pusakanya di Bakri. Terdapat fakta yang merungkai penerokaan Bakri sebenarnya bukan pada tahun 1920-an oleh keluarga TPM Tan Sri Mahyuddin Md Yasin tetapi oleh datuk Md Yasin JMF yang juga bernama Hj Md Noh bin Lebai Haji Muhamad telah membukanya atas arahan Orang Kaya Joned pada tahun 1868.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

SUMBER SEJARAH BAKRI MUAR & PESANAN SHAHAROM HUSSEIN

0 comments
CIKGU SHAHAROM HUSSEIN YANG TUN SHEIKH KENALI


Mencari sumber otentik bertulis mengenai sejarah Bakri Muar amatlah sulit. Hampir tidak dapat diterima akal jika tiada rekod mengenainya kerana ketika itu adalah Zaman Permodenan Johor. Lebih-lebih lagi Bandar Maharani adalah bandar yang sengaja dibuka dan dibina oleh pembesar Melayu sebagai contoh kemajuan pentadbiran pemimpin Melayu moden. Pembukaan Bandar Maharani juga sebagai menyahut cabaran terhadap Inggeris yang mencabar kebijaksanaan dan kedaulatan Melayu.


Mengingat pesanan Allahyarham ayahanda Cikgu Shaharom Hussein yang sering Tun Sheikh temui dan mendapatkan nasihat darinya ketika bekerja di Johor selama 7 tahun di awal tahun 2000, maka Tun Sheikh paparkan salah satu sumber pengkajian lisan yang terdapat di Arkib Negeri Johor. Tun Sheikh percaya sumber legenda ini menarik dan berupaya membernaskan penceritaan atau kepengarangan seterusnya kepada yang lebih pakar dan ahli. Penyelidik generasi akan datang diharap akan dapat manfaatkannya. Itulah pesanan dan nasihat Cikgu Shaharom Hussein, seorang pakar sejarah dan budayawan Johor yang tersohor. Katanya... Mursheikh tulislah apa yang didengar dan didapati. Biar fakta dan kebenarannya ditentukan orang belakang yang ahli. Jika tidak buat begitu nanti akan terkubur kerana lupa atau mati dan rugilah bangsa.

Sungguh berkesan sekali nasihat beliau. Tun Sheikh tidak lupa menghadiah Al-Fatiha setiap kali terkenangkan Ayahanda Cikgu Shaharom Hussein yang sangat dihormati. Beliau begitu gigih datang ke mesyuarat di Yayasan Warisan Johor dan Arkib Johor mahupun di Pejabat Kerajaan Negeri Johor apabila diundang. Dalam keadaan fikzikal yang semakin hari semakin uzur, beliau tetap menghadirkan diri dan apabila Tun Sheikh bertanya khabar, katanya syukur alhamdulillah kerana Tuhan mengurniakan kesihatan yang baik kepada beliau walau sudah berusia lebih 80 tahun tetapi masih boleh memandu kereta dan yang paling disyukurinya ialah kewarasan akal yang masih cerdas berfikir dan berkarya.

Katanya... apabila Cikgu nyanyok maka tidaklah perlu Cikgu hadir lagi menyumbang fikiran. Harap-harap jengok dan pastikan kesihatan minda Cikgu sebelum mengundang hadir ke mesyuarat-mesyuarat rasmi. Sungguh mendalam sekali maksud kata-kata Ayahanda Cikgu Shaharom Hussein itu. Bila ditanya mengapa menolak tawaran kerajaan Johor menghantar dan menjemput menggunakan kenderaan rasmi pada setiap kali ke majlis rasmi? Dia jawab, jika kita mula terasa tubuh badan kita terikat dan tidak bebas hendak bergerak mengikut kemahuan kita maka ketika itu kebebasan berfikir kita juga terikat dan tidak bebas sepuluh kali ganda.

Inilah kata-kata seorang sasterawan. Banyak juga buah yang manis dari pemikirannya yang dapat Tun Sheikh abadikan hasil ketika bersembang-sembang dengan beliau. Tun Sheikh memang berminat sekali dengan orang yang berilmu dan banyak pengalaman seperti beliau. Lebih-lebih lagi beliau adalah seorang tokoh yang tidak mahu dan tidak suka kepada glamour. Dalam banyak perjumpaan termasuk perjumpaan peribadi di rumahnya GAPURA SASTERA di Kempas yang berdekatan dengan rumah sewaan Tun Sheikh di Bukit Kempas banyak juga hal-hal peribadi dan yang menyayat hati diluahkan kepada Tun Sheikh. Satu daripadanya yang tidak akan dapat dilupakan ialah terhadap kerinduannya kepada isteri beliau yang tercinta.

Apabila Tun Sheikh melihat album gambar-gambarnya semasa muda dan rantaian hidupnya memang tidak dinafikan, isteri beliau yang berasal dari keluarga ternama di Muar memang seorang wanita yang sungguh hebat. Mereka berdua telah mendidik kesemua anak-anak mereka menjadi tokoh yang hebat dan terkenal. Seorang daripadanya ialah Dr Mohd Hatta . Pengorbanan isteri Cikgu Shaharom memang sangat tinggi sehingga dianggapnya seperti pelita atau juita hatinya yang mencetuskan pelbagai ilham mengarang. Tun Sheikh setia mendengar dan mesra dengan Cikgu Shaharom hingga beliau tidak lagi terasa malu menitiskan airmatanya di hadapan Tun Sheikh. Tun Sheikh juga ikut simpati. Beliau banyak menunjukkan hasil-hasil karya puisinya yang sangat halus dan mecetus perasaan berkisar dengan kenang-kenangan manis bersama isteri tercinta.

Beliau bercerita dengan tersedu-sedu sambil mencium gambar isterinya yang telah meninggal dunia mendahuluinya. Ceritanya berkisar penerimaan dan pengorbanan isterinya yang membela dan menghormati dirinya ketika datang ke rumah mertua yang mewah di Muar walau hanya dengan sehelai sepingang dan sebuah beg kotak yang hanya dipenuhi dengan buku-buku kesayangannya. Dia sangat tersentuh apabila mengenang isterinya datang dari keluarga berada sanggup mengikutnya menebang hutan dan membuat sendiri rumah GAPURA SASTERAnya dari awal hingga menghembuskan nafas terakhir. Dia sangat sayu apabila teringat isterinya mengatakan bahawa dia bukanlah memandang ketampanan rupa mahupun keturunannya yang berasal dari Jawa tetapi kepada ilmu yang ada pada dirinya.

Bayangkanlah pada masa itu suku Jawa di Muar dianggap tiada kelas atau kalau ada hanya kelas ketiga. Cikgu Shaharom berkata hanya gelaran Cikgunya sahaja yang memberi keyakinan tinggi kepadanya. Pada masa itu guru Melayu memang popular dan sangat dihormati masyarakat umum tapi bagi Cikgu Shaharom tidak kepada keluarga ternama dan elit yang terkenal di Muar seperti keluarga isterinya. Tetapi beliau tetap bersyukur kerana orang Muar yang berpelajaran memang tidak mudah menghina atau memperlekeh orang lebih-lebih lagi jika berpelajaran tinggi walau pun datang dari keluarga miskin.

Keluarga Cikgu Shaharom bukanlah miskin tetapi dia mengaku dia adalah seorang lelaki keturunan Jawa yang mempunyai pendirian dan peribadi kembara yang tersendiri. Sehingga akhir hayatnya dia adalah seorang tokoh yang benci dan anti mengampu dan anti rasuah. Kadang-kadang terbawa-bawa dalam ketegasannya yang menolak dengan baik tawaran istana Johor dan tawaran kerajaan negeri jika beliau berasa seperti hasil daripada mengampu atau rasuah.

Kenangan manisnya dengan istana Johor bukanlah terhadap tawaran-tawaran pingat kebesaran yang ingin dikurniakan kepadanya. Tetapi apa yang sering disebut adalah budi pekerti yang tinggi dan luhur Sultanah sekarang iaitu YM Raja Zarith Sopia Sultan Idris yang telah saban hari menghantar tapau nasi dan lauk istana ke GAPURA SASTERA kerana menghormati dan mengenang jasanya di dalam dunia pendidikan, kesusateraan, sejarah dan kebudayaan.


Ketika itu Cikgu Shaharom Hussein baru kematian isteri dan tinggal bersendirian. Ini berlaku beberapa lama sehingga beliau sendiri datang ke istana menghadap dan mengucapan jutaan terima kasih dan memohon YM Raja Zarith ketika itu isteri kepada YM Tengku Mahkota Johor supaya tidak lagi bersusah payah menghantar bekalan kerana beliau telah sihat dan pulih dari kedukaan. Beliau sering memuji-muji baginda kerana pada pandangannya baginda adalah seorang puteri raja yang berpendidikan tinggi dan amat menghormati ilmu.

Tun Sheikh pula amat menghormati beliau kerana memang tidak menduga bertemu beliau yang amat terkenal dalam pelbagai tulisannya sejak kecil lagi. Ketika pertama bertemu, dia bertanya adakah Tun Sheikh seorang penulis dan Tun Sheikh spontan menjawab ingin menjadi penulis seperti beliau tetapi tidak yakin kerana beliau begitu hebat. Sedikit pun beliau tidak meninggi diri tetapi terus memanggil Tun Sheikh sebagai Mursheikh dan mengingatkan supaya berlatih menulis apabila sahaja terfikir sesuatu untuk ditulis tanpa kira waktu dan tempat. Selebihnya beliau mempelawa datang ke GAPURA SASTERAnya.

Hampir sepuluh tahun berlalu dan apabila teringatkan TPM Dato' Sri Mahyuddin berasal dari Bakri lalu spontan teringat bahan sejarah lisan tentang Bakri yang terdapat di Arkib Johor dan tertulislah dengan begitu ringkas mengenai Sejarah Bakri Muar. Betullah pesanan Cikgu Shaharom Hussein, setelah menulis mengenai sejarah Bakri Muar di blog Tun Shiekh maka terilham pula mengapa tidak terdapat dokumen bertulis di Arkib Negara mengenainya. Salah satu dari sebabnya yang ada tercatat dari sumber legenda itu ialah kerana kesensitifan dan kebijaksanaan pihak berkuasa ketika itu yang bermatlamat mendaulatkan raja baru dan sebuah negara bangsa.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

SEJARAH BAKRI MUAR ASALNYA KAMPUNG JAWA

3 comments
POLITIK MELAYU-BUGIS TERHADAP MELAYU-JAWA

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Tidak dapat banyak rekod dan dokumen yang dapat dikaji oleh seorang sejarawan mengenai hal kedatangan dan penempatan orang Jawa di Johor jika ingin mencari bahan atau dokumen bertulis yang terperinci mengenainya. Ini adalah kerana pada ketika itu politik istana Johor sedang terumbang-ambing memperkasa jati diri dan mengawal ketat aktiviti orang asing. Kedatangan dan kemasukan orang India dan Cina dicatat begitu rapi tetapi kemasukan orang Melayu Nusantara dari pelbagai suku seolah-olah bebas kerana dianggap serumpun atau masih warga di bawah kedaulatan empayar Melayu Johor Riau yang mewarisi kerajaan Melayu Melaka. Walaupun seolah-olah bebas tetapi sebenarnya amat ketat di kawal oleh penghulu-penghulu tempatan diatas titah pembesar Johor terutamanya terhadap penghijrah suku Jawa.

Pada abad ke 19 iaitu 1800-1900 telah berlaku peristiwa bersejarah Nusantara Melayu yang penting di mana pengaruh Barat iaitu Belanda dan Inggeris telah membuat perjanjian 1824 yang telah menetapkan sempadan kuasa masing-masing tanpa menghiraukan kedaulatan peribumi. Empayar Melayu Johor menerima tekanan yang kuat sehingga terpisah dan berpecah-pecah. Pahang di bawah kuasa Bendahara telah mengumumkan terpisah dari daulat Kesultanan Johor di Riau yang dipengaruhi oleh pembesar keturunan Bugis. Negeri-negeri Melayu Sumatera juga berkerajaan sendiri dan Johor pegangan Temenggong , yang pada mulanya mendaulatkan Sultan Husein di Singapura akhirnya mengangkat diri dengan bantuan Inggeris sebagai sultan pada tahun 1885.

Inggeris telah berjanji untuk mengiktiraf Temenggong Ibrahim dan kemudian anaknya Temenggong Abu Bakar sebagai pemerintah Johor jika berjaya memajukan Johor secara moden. Inggeris bukan sahaja berjanji untuk mengangkat Temenggong sebagai Sultan Johor tetapi juga menggula-gulakan baginda sebagai sultan Melayu yang berhak mewarisi semua jajahan takluk milik empayar Melaka yang dikuasai Inggeris seperti Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Pahang.

Dalam usaha membuktikan baginda berwibawa, baginda telah coba campur tangan di Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang tetapi tidak diendah oleh pemerintah tempatan di atas nasihat Residen dan penasihat Inggeris yang bermuka-muka. Sehubungan itu Temenggong Johor telah mengambil nasihat pembesar-pembesar baginda dan juga Inggeris supaya menumpukan ekonomi negeri Johor dan menguatkan pengaruhnya di daerah-daerah di bawah penguasaan pemerintah feudal dan tradisional seperti Kesang, Muar dan Batu Pahat.

Temenggong Abu Bakar yang telah mengangkat dirinya sebagai Maharaja Johor pada tahun 1868 telah menitahkan pembukaan daerah-daerah baru. Pada tahun 1885 baginda bergelar Sultan Johor dengan pengiktirafan Inggeris. Ini merupakan hadiah dan menunai janji oleh Inggeris kerana Temenggong Abu Bakar berjaya memodenkan Negeri Johor sebagaimana dikehendaki Inggeris. Dalam memodenkan Johor Temenggong Abu Bakar telah meniru cara pentadbiran dan mengikut nasihat sahabat-sahabat Inggeris baginda yang berada di Singapura.
Baginda telah mengadakan beberapa dasar galakan pembukaan perkebunan, perlombongan, membuka penempatan, bandar dan daerah, mewujudkan peraturan khusus seperti undang-undang kangcu, peraturan membuka kebun dan peraturan kongsi disamping menubuhkan angkatan tentera moden (Johore Military Force), pasukan mata-mata preman (freeman), menubuhkan kongsi gelap Melayu elit bagi memantau kongsi gelap Cina dan lain-lain termasuk menjaga dan mengutamakan pemimimpin tradisional Melayu-Bugis bagi memastikan perkembangan dan dasar pemodenan yang dijalankan oleh baginda berjaya dan keselamatan serta keamanan terkawal.

Bandar Maharani telah dibuka pada tahun 1884, Bandar Penggaram Batu Pahat 1893 dan Endau Mersing pada tahun 1895. Sebelum baginda menitah membuka ibu negeri atau bandar sebagai pusat pentadbiran daerah tersebut sebenarnya telah ada penghulu yang bertauliah dan tidak bertauliah memerintah kampung-kampung tradisional. Mereka telah terlebih dahulu dititah supaya tunduk dibawah kuasa Temenggong dan tidak lagi di bawah Sultan di Riau atau Sultan di Singapura. Kebanyakan penghulu dan orang kaya yang diberi tauliah dan kuasa mentadbir ialah penghulu-penghulu berketurunan Melayu-Bugis kerana Temenggong Johor sendiri berdarah Melayu-Bugis.

Di Muar, kawasan yang amat maju dan terkenal ketika zaman itu ialah kawasan Padang iaitu kawasan pesisir pantai di sebelah kanan Sungai Muar membawa ke Sungai Pulai lebih kurang 30 km dari Pekan Muar menghala ke Batu Pahat iaitu di sebelah selatan. Pekan atau Bandar Muar Lama sebelum pembukaan Bandar Maharani adalah merujuk penempatan yang padat penduduk di antara Muara Bentayan dan Muara Tiram. Kini Muara atau Sungai Tiram hanya dikenali sebagai Parit Tiram sahaja. Pekan kecil yang terkenal di Padang ialah Parit Bakar dan Parit Jawa. Pekan Muar dan Padang dikuasai dan diperintah secara turun temurun oleh suku Melayu Bugis sejak zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka. Dari Pekan Muar dan kawasan tebing sebelah kanan Sungai Muar hingga ke pedalaman di Segamat adalah di bawah kuasa pemerintahan pembesar tradisional Temenggong Muar. Manakala di sebelah kiri tebing Sungai Muar ke Sungai Rambai di kenali sebagai Negeri Kesang Muar milik Sultan Ali secara turun-temurun tetapi telah diletakkan oleh Maharaja Abu Bakar sebagai wilayah jajahan Johor selepas Perang Jementah 1879.

Sebelum berlakunya Perang Jementah 1879 atau lebih tepat lagi sebelum Maharaja Abu Bakar bergelar sultan pada tahun 1885, terdapat banyak maklumat lisan mengatakan bahawa banyak perkampungan telah dibuka oleh orang-orang Jawa di Johor tetapi tidak diuar-uarkan oleh orangkaya-orangkaya dan penghulu bertauliah kerana mengikut arahan birokrasi atau para pembesar pentadbir negeri Johor di Johor Bahru. Perkampungan dan desa-desa ini dikawal rapi oleh orangkaya dan penghulu yang ditauliah oleh Maharaja Abu Bakar. Hal ini adalah sebagai usaha pengawalan orang asing dan strateji mengawal keamanan dan keselamatan negeri kerana orang Jawa dianggap mempunyai negeri dan kerajaan sendiri di Pulau Jawa.

Kepada pendatang Melayu dari suku selain Jawa dibenar membuka desa dan perkampungan dan diberi tauliah sebagai penghulu di atas sokongan orangkaya yang memerintah. Contoh penghulu Melayu yang diberi tauliah dengan mudah ialah penghulu Kampung Serkam Muar yang berasal dari Melaka dan Penghulu Pinang Seribu yang berasal dari Melayu Sumatera. Manakala ketua orang Jawa iaitu Penghulu Haji Jabar di Parit Bakar Darat pada tahun 1865 dan Haji Md Noh di Kampung Jawa (Bakri) pada tahun 1868 tidak diberikan tauliah.

Haji Jabar telah sampai ke Muar mengikut kumpulan 65 perahu dari Cerebon atau Pualau Jawa. Kumpulan ini diketuai oleh Juragan Lebai Muhamad seorang saudagar raja kepada raja Cerebon. Lebai Muhamad ialah bapa kepada Haji Md Noh yang telah datang ke Muar pada tahun 1865 mencari penempatan dan tanah baru untuk bercucuk tanam. Haji Jabar telah berlabuh di Muar dan tertarik kepada daerah Padang. Kemudian beliau ke Parit Bakar dan di benarkan oleh Orang Kaya Joned untuk membuka kebun di Parit Bakar Darat. Haji Jabar telah berjaya membuka penempatan di Parit Bakar Darat dan berkembang ke arah laut tetapi di sekat kerana kepentingan politik. Haji Jabar memberi alasan bahawa beliau memerlukan kawasan yang boleh dibuat pelabuhan kerana beliau sendiri adalah seorang nakhoda atau juragan dan saudagar yang mempunyai beberapa perahu besar. Perdebatan itu akhirnya diselesaikan dengan beliau dibenarkan membuka Parit Jawa pada 1868 setelah bersumpah akan setia kepada raja Melayu iaitu Maharaja Abu Bakar. Kampung yang dibuka diberi nama Melayu sebagai Kampung Baru.

Beliau ditauliah sebagai penghulu Parit Jawa Padang pada tahun 1870. Pada tahun 1871 Haji Jabar memindahkan Pekan Kampung Baru, 3 km ke darat bagi mengelak banjir yang selalu melanda. Mulai 1871 kampung beliau dikenali sebagai Kampung Parit Jawa kerana di popularkan oleh Ibrahim Munshi yang melihat orang-orang Jawa sedang bergotong royong menggali sebatang parit yang amat besar seperti taliair bagi mengeringkan kebun-kebun mereka dari banjir ketika datang melawat Padang. Parit besar ini merentas dari pantai ke kaki Bukit Mor dikenali sebagai Parit Jawa.

Haji Md Noh pula sampai ke Muar mengikut kumpulan perahu Jawa berikutnya, yang juga diketuai oleh bapanya pada tahun 1868. Beliau, adiknya Haji Sulaiman dan adik perempuannya Hajah Fatimah telah ditinggalkan oleh bapa mereka untuk menetap di Muar. Oleh kerana Lebai Muhamad biasa datang ke Muar dengan jongnya dan mempunyai perniagaan, keluarganya dibenarkan tinggal di dalam pekan Muar. Haji Md Noh telah diarah membuka kebun dan penempatan di hulu Bentayan dan Ulu Tiram. Kawasan itu didapatinya berpaya dan hanya didiami oleh beberapa keluarga sakai laut. Manakala jauh ke darat didiami oleh orang asli yang dikenali sebagai Jakun.

Haji Md Noh berjaya membuka penempatan dengan menebas paya dan menggali serta meluruskan aliran Sungai Bentayan pada tahun 1871. Beliau telah dibantu oleh orang-orang Jawa yang dibekalkan oleh bapa angkatnya Penghulu Jabar dari Parit Jawa dan Penghulu Kesang. Penghulu Kesang ialah saudagar Jawa dari Melaka yang diangkat menjadi penghulu oleh Sultan Ali ibni Sultan Hussein. Penghulu Kesang juga mempunyai pertalian darah dengan bapa Haji Md Noh. Disebabkan hubungan yang rapat ini, Haji Md Noh walaupun telah berjasa membuka Kampung Jawa dari Pekan Muar hingga lima batu ke hulu Sungai Bentayan dan Parit Tiram tetapi hanya dilantik sebagai naib-penghulu yang tidak bertauliah kepada Orangkaya Haji Joned.

Maklumat lisan dari saudara mara Haji Md Noh iaitu orang-orang tua Jawa di Parit Jawa, Bukit Bakri, Bukit Gambir dan di Pagoh bercerita bahawa hal itu berlaku kerana Haji Md Noh menolak saranan jodoh dengan keluarga Orangkaya Joned. Beliau telah mengikut saranan bapa angkatnya, Penghulu Kesang supaya berkahwin dengan Tun Zainab, adik kepada Tun Hassan Penghulu Diraja Pagoh iaitu anak kepada Engku Muda Tun Mansor bin Bendahara tun Ali Pahang. Dengan perkahwinan itu beliau telah dikurnia Kampung Sungai Raya di Bukit Pasir Muar dan di situ beliau juga telah membuka penempatan Jawa dan mengusahakan ladang sagu rumbia.

Selain itu, keluarga Haji Md Noh juga disyaki penyokong kepada Tengku Alam, putera Sultan Ali yang terlibat dalam Perang Jementah dengan Maharaja Abu Bakar. Hj Md Noh juga disyaki membantu dan menyokong keluarga isterinya dalam perbalahan saudara diantara kerabat diraja Pahang. Pada ketika itu Sultan Abu Bakar sedang berbaik-baik semula dengan Sultan Ahmad Pahang yang sedang diancam oleh Engku Muda Tun Mansur dengan pemberontakan.

Ketika ketiadaan beliau kerana menjadi naib penghulu dan tinggal di Sungai Raya, nama Kampung Jawa telah ditukar kepada Bakri apabila Dato' Bentara Luar Johor, Mohd Salleh bin Perang meluruskan jalan dari Bandar Maharani ke kaki bukit di darat. Jalan Bakri adalah sempena nama Sultan Abu Bakar dan sebagai penghormatan kepada Sultan di hari keputeraan baginda pada tahun 1893. Apabila Sekolah Melayu dibuka pada tahun 1901 di Batu 2 dan dikenali sebagai Sekolah Melayu Jalan Bakri, nama Kampung Jawa pun terus bertukar kepada Kampung Bakri dan kekal hingga hari ini.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

PENUBUHAN UMNO

3 comments
DAFTAR RASMI PENUBUHAN UMNO DI JOHOR

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Pada awal abad ke-20, orang Melayu tiba-tiba berhadapan dengan fahaman baru yang dibawa oleh golongan terpelajar dalam bidang agama dari Timur Tengah. Golongan ini dikenali sebagai Kaum Muda. Golongan ini telah menyebarkan idea hidup beragama ala moden dan bebas daripada cengkaman penjajah asing. Fahaman Kaum Muda yang agresif ini telah ditolak oleh para ulamak konservatif dan para cendekiawan Melayu secara baik tetapi mereka tetap menghalusi mesej yang dibawa oleh Kaum Muda dan menyerapkannya dalam urusan harian dengan toleransi yang tinggi untuk mengelak kejutan budaya yang boleh menggugat keamanan.

Akibat daripada penolakan itu, Kaum Muda dan para penyokongnya meneruskan agenda mereka melalui penulisan dalam penerbitan akhbar dan majalah. Penerbitan akhbar dan majalah Melayu ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Akhbar dan majalah baru terbit seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Melalui media itu, orang Melayu mula mendapat kefahaman dan kesedaran secara menyeluruh. Mereka bersemangat untuk menyumbangkan buah fikiran dan tenaga untuk kebaikan bangsa Melayu.

Apabila Inggeris gagal mempertahankan Tanah Melayu daripada serangan Jepun, satu bangsa Asia yang diperlekehkan pada tahun 1941, orang Melayu mula membuka mata. Mereka berasa yakin bahawa orang Melayu juga boleh menjadi gagah seperti Jepun lebih-lebih lagi keadaan fizikal orang Jepun lebih kecil daripada orang Melayu sendiri. Pada waktu yang sama, tentera Jepun turut membakar semangat orang Melayu agar berfikiran merdeka melalui slogan ‘Asia Untuk Orang Asia’. Paradigma minda ini telah berlaku secara menyeluruh dan besar-besaran.

Orang Melayu berasa perlu bertindak untuk kepentingan negara dan bangsa sendiri. Namun, pada kenyataannya mereka masih banyak ketinggalan terutamanya dalam bidang pelajaran dan ekonomi. Mereka berjaya bersatu dan mempunyai kesedaran dan kefahaman yang sama dalam fikiran tetapi apabila Jepun menyerah kalah dan Inggeris kembali menjajah mereka terpaksa menerimanya dengan hati yang berbelah bagi.

Di Batu Pahat, pihak Komunis Bintang Tiga telah mengambil kesempatan merampas kuasa semasa kekosongan kuasa mentadbir yang ditinggalkan oleh Jepun. Mereka telah bertindak menjadi pemerintah selama 14 hari dari 17 hingga 31 Ogos 1945. Mereka membunuh banyak orang Melayu dengan kejam . Berikutan dengan itu, wujud perpaduan Melayu yang diketuai oleh Kiai Saleh. Beliau telah menubuhkan tentera Selendang Merah untuk membalas dendam dengan membunuh ahli-ahli komunis dan orang-orang Cina yang disyaki menyokong komunis di Parit Sulong dan di mukim-mukim yang dilalui menghala ke Batu Pahat.

Dato’ Onn berjaya menghentikan kemaraan Kiai Salleh di Bandar Batu Pahat. Kiai Salleh telah dipujuk supaya membubarkan tenteranya dan berhenti memburu orang-orang Cina Komunis . Peristiwa ini memberikan kesan yang amat mendalam kepada orang Melayu tentang betapa perlunya bersatu padu dan memiliki kuasa di tanah air sendiri. Kumpulan komunis dan orang-orang Cina di Batu Pahat amat terkejut dengan keupayaan tentera Selendang Merah dan perpaduan Melayu. Mereka telah meminta maaf dan berterima kasih kepada Dato’ Onn, sebagai Pegawai Daerah dan pemimpin yang telah berjaya menghentikan pertumpahan darah rakyat ketika itu.

Pada 25 Disember 1945, Sir Harold Mac Michael berjaya mendapat tandatangan persetujuan penubuhan Malayan Union daripada kesemua Raja-raja Melayu dari 9 buah negeri. Melalui akhbar-akhbar, Dato’ Onn bin Jaafar segera menyeru orang-orang Melayu bersatu membincangkannya. Pada 3 Januari 1946, beliau telah menubuhkan Pergerakan Melayu Semenanjung di Batu Pahat dan mengusahakan perjumpaan Melayu secara besar-besaran dalam Kongres Melayu Pertama di Kuala Lumpur. Pada 22 Januari 1946, Pemerintahan Tentera British (BMA) telah mengumumkan penguatkuasaan Malayan Union akan bermula pada 1 April 1946.

Orang Melayu yang masih belum reda kemarahannya dan semangat yang sedang membara seperti api dalam sekam ini terus menyala apabila Inggeris terus melaksanakan rancangan penubuhan kerajaan Malayan Union. Pergerakan Melayu Semenanjung Batu Pahat yang juga diketuai oleh Dato’Onn telah menjadi urusetia dan berusaha menjemput seluruh pertubuhan, kelab dan persatuan Melayu supaya hadir di Kongres Melayu Pertama.

Penubuhan Malayan Union mesti dihalang kerana Inggeris hanya bertujuan untuk mengembalikan maruahnya yang telah diragut ketika kalah dalam peperangan dan penubuhkan Malayan Union akan menghilangkan langsung ketuanan Melayu dan mencabar maruah bangsa. Institusi raja hilang kedaulatan dan kuasa. Negeri-negeri Tanah Melayu diletakkan di bawah Pejabat Tanah Jajahan Inggeris dan kerajaan Malayan Union diketuai oleh seorang gabenor. Pihak Inggeris juga tidak mengendahkan langsung suara orang Melayu meskipun penubuhan Malayan Union tidak dipersetujui rakyat.

Orang Melayu berasa terancam dan terus bersatu. Pada 1 hingga 4 Mac 1946, Kongres Melayu Pertama telah diadakan di Kelab Sultan Sulaiman Kuala Lumpur. Dalam kongres ini semua pertubuhan digabungkan di bawah PEKEMBAR atau UMNO. Dato’ Onn terpilih sebagai Yang Dipertua dan menetapkan Majlis pelancaran Malayan Union dan perlantikan gabenor dipulaukan oleh semua orang Melayu dan juga raja-raja.. Kongres ini juga menetapkan semua orang Melayu berkabung membantah Malayan Union dengan keluar di jalan-jalan raya dan memakai songkok dan baju dengan lilitan putih. Tujuan Kongres Melayu Pertama ini ialah untuk mencari jalan dan bersatu menolak penubuhan Malayan Union. Hasil daripada pertemuan pemimpin-pemimpin pertubuhan Melayu ini, satu resolusi menolak Malayan Union dan perlunya perpaduan dengan satu persatuan diwujudkan. Satu tarikh pertemuan setuju diadakan.


Pada 11 Mei 1946 pertemuan itu telah diadakan di Johor Bahru. Persidangan telah diadakan di Istana Besar dan penubuhan PEKEMBAR atau UMNO telah dirasmikan. Dalam kongres ini mereka bersetuju untuk mengembangkan bantahan orang Melayu terhadap Malayan Union ke seluruh pelosok negara. Ke arah itu mereka perlu mengeluarkan satu memorandum sebulat suara mewakili seluruh orang Melayu dengan satu suara . Berikutan dengan itu satu resolusi ditetapkan agar semua orang Melayu keluar menunjukkan bantahan dan UMNO ditubuhkan.

Mengikut Undang-undang Tubuh atau Perlembagaan UMNO, penubuhan UMNO bertujuan menjalankan segala ikhtiar dan usaha bagi mendirikan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Perjuangannya adalah untuk memajukan dan menjaga kepentingan orang Melayu khasnya dan rakyat amnya dalam semua lapangan. UMNO juga mengutamakan agama Islam dan adat resam Melayu dan berikhtiar dan berusaha mengembangkannya. UMNO akan memelihara kedaulatan Raja-raja Melayu sebagai raja berpelembagaan dan menubuh, mengawal dan memelihara asas-asas pemerintahan demokrasi berparlimen.

Tentangan terhadap Malayan Union bertambah hebat melalui UMNO sebagai sebuah pertubuhan politik yang tersusun. UMNO telah melancarkan rapat-rapat umum dan tunjuk perasaan di seluruh negara hingga berjaya memaksa kerajaan British mengadakan beberapa rundingan hingga tertubuhnya sebuah jawatan kuasa merangka perlembagaan baru yang dipersetujui oleh UMNO. Laporan Jawatankuasa Kerja ini menjadi asas kepada Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu telah dikeluarkan pada bulan Disember 1947. Pada 21 Januari 1948 Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu telah ditandatangani dan dikuatkuasakan pada 1 Februari 1948 menggantikan Malayan Union.

MELAYU DAHULU, KONTEMPORARI & WAWASAN

0 comments
SEJARAH MELAYU DAHULU

Pendahuluan


Apabila membuat penyelidikan dan pengkajian sejarah oleh para sarjana sebelum merdeka dan selepas merdeka hingga tahun 1980-an, tidak banyak maklumat yang dicatatkan mengenai sejarah tamaddun Melayu dari perspektif tempatan. Ini adalah kerana hasil kajian sejarah ketika itu hanya tertumpu daripada sumber hasil para penyelidik orientalis. Manakala para sarjana tempatan mahupun Asia masih tidak dapat keluar dari kepompong pandangan sejarawan Barat yang terdiri dari pelbagai kumpulan. Ini berikutan para pengkaji dan sejarawan Barat kebanyakannya adalah terdiri dari para pegawai kolonial yang hanya mencatat pengalaman dan mengkaji serta mencari apa-apa fakta yang mereka minati. Kemudian mereka olah mengikut budaya pemikiran mereka yang bias kepada penjajahan atau setidaknya menganggap orang Melayu khasnya dan orang sebelah Timur amnya adalah kurang cerdik daripada diri mereka sendiri.



Kajian bercirikan pandangan orang tempatan atau anak pribumi hanya mula menjadi budaya pada lewat atau penghujung 1980-an. Jika ditinjau, hal ini, adalah berikutan kesadaran para ilmuan terhadap betapa pentingnya sejarah Negara ini dilihat daripada kacamata pribumi sendiri. Kaca mata pribumi pula hanya wujud apabila para cerdikpandai terlahir dengan adanya semangat dan jatidiri pribumi itu sendiri.Kepimpinan Malaysia ketika itu adalah Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri yang dianggap begitu bersungguh-sungguh menaikkan nama Melayu di persada dunia.Beliau telah memberi semangat malah menyuntik rasa bertanggongjawab dan memikul amanah yang halus di kalangan para belia melalui cogan kata saktinya ‘Malaysia Boleh”.


Kempen beliau dianggap berjaya apabila cara pemikiran Melayu kelihatan berubah. Orang Melayu menjadi bertambah rajin dan tidak mudah putus asa. Paradigma minda ini amat ketara di kalangan orang muda tetapi sayangnya Tun Mahathir seolah-olah berubah ketika dipenghujung perkhidmatannya pada tahun 2003. Beliau tiba-tiba terlalu gairah mewajibkan penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran sains dan mathematik. Ini telah membawa impak ketidaksetiaan kepada beliau malah dianggap pengkhianat bangsa. Jati diri yang diciptanya seolah-olah hanya bermotif kepentingan diri dan hasil ketidak jujuran sebagai strategi mengambil hati dan mencari pengaruh ketika diawal meneraju tampuk pemerintahan. Jatidiri Melayu lebur bersama kebencian terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir. Melayu kelihatan hilang punca dalam serba-serbi dan kelihatan begitu kalut dalam politik dan kebudayaan.Nilai jatidiri dan kebudayaan tinggi yang dapat bersaing dengan orang barat telah terabai.



Pusat pengajian tinggi yang bersentrikkan ciri tempatan dan banyak memainkan peranan memperjuangkan jati diri dan mengangkat nilai kebudayaan Melayu ialah Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Teknologi Mara. Sebelum ini, pusat pengajian tinggi tempatan lain amat liat dan sulit untuk memberi kerjasama agar membuat penyelidikan dan menerbitkan hasil kerja kajian dan penyelidikan mengikut perspektif yang bercirikan dari sudut pandangan pribumi atau orang tempatan. Ketika itu para ilmuan selain Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Teknologi Mara hanya memberi sumbangan dalam bidang kesusasteraan dan ebudayaan Melayu. Ini adalah kerana bidang tersebut terpaksa menggunakan sumber tempatan. Lebih jauh dari itu, para pengkaji dan para ilmuan di bidang itu dianggap sebagai golongan intelektual kelas kedua diantara para ilmuan.



Universiti Teknologi Mara pula berasa tercabar dan telah menguatkuasakan penggunaan pengantar bahasa Inggeris dalam semua disiplin matapelajaran. Hasil kajian dan penyelidikan yang dibuahkan oleh Universiti Teknolgi Mara adalah amat memberansangkan tetapi tidak menyeluruh kerana pusat pengajian tingggi ini hanya menumpukan bidang teknologi dan sains. Objektif utamanya adalah untuk melahirkan teknokrat bumiputera yang mahir dan dapat bersaing dengan bangsa asing.



Natijah dari budaya mengambil sumber luar ini telah mengakibatkan penipisan semangat cintakan tanahair dan berbangga dengan kebudayaan sendiri. Para sarjana dan anak-anak sekolah lebih mengagongkan budaya barat kerana terdidik dengan agenda pendidikan barat yang halatuju dan matlamatnya adalah secara halus untuk faedah orang barat. Manakala para teknokrat bumiputera yang berjaya dilahirkan pula tidak dapat menghayati semangat jatidiri tempatan tetapi hanya berbangga terhadap teknologi dan kemahiran serta kebolehan diri menguasai bahasa Inggeris. Bertambah parah lagi apabila mereka gemar mengangkat diri dengan teman sekaum yang tidak menguasai bahasa Inggeris.


Hasil daripada itu, maka terlahirlah para teknokrat Melayu yang mentalitinya juga mengagongkan budaya barat. Mereka tidak berasa hasil kebudayaan Melayu adalah antara yang tersohor.Pada masa buku ini ditulis (2008), setelah mengumpul maklumat selama sepuluh tahun, penulis amat berharap rentetan catatan sejarah bangsa akan digunakan sebagai penunjuk halatuju pemikiran bagi menyiapkan diri dalam hidup dan kebudayaan di masa akan datang. Buku ini juga terilham ketika Negara ini sedang sibuk menghadapi cabaran peristiwa reformasi pada tahun 1998 di mana ketika itu penulis juga turut terlibat dan menyokong perjuangan reformasi.



Tujuan buku ini ditulis adalah untuk memberi kesadaran dan keyakinan kepada bangsa Melayu dan juga semua rakyat Negara ini supaya menjadikan sejarah sebagai satu dari sumber pengimbang untuk membuat sesuatu keputusan. Buku ini sebenarnya meliputi tiga siri atau tajuk besar iaitu Melayu Dahulu, Melayu Kontemporari dan Melayu Wawasan. Adalah diharap buku ini akan mendatangkan keinsafan kepada para pembacanya kerana penulis mengolahnya juga mengikut perspekti kemanusiaan dan manusia terbaik dijadikan sebagai petunjuk dan pedoman.



Pensejarahan buku ini dimulakan dengan tarikh yang tidak pernah dibicarakan sebelum ini. Hal ini adalah kerana hanya didekad-dekad terakhir ini baru dijumpai fakta sejarah yang mengatakan tamaddun Melayu telah bermula sejak sebelum masihi lagi. Ini dikuatkan lagi oleh penemuan hasil kebudayaan zaman batu dan zaman gangsa dan adalah lebih menakjubkan apabila di Thailand dijumpai bukti-bukti hidupan haiwan zaman jurasik dan sebagainya. Thailand pula jika mengikut sejarahnya ialah bumi Melayu sebelum tamaddun dan kebudayaan yang ada pada hari ini berpindah dari Cina ke Asia Selatan dan Asia Tenggara.



Sehubungan dengan itu, satu kesimpulan boleh dibuat bahawa tamaddun atau dunia Melayu dengan kebudayaannya telah wujud sejak 30,000 tahun dahulu. Di dalam buku ini tidaklah penulis berniat untuk mengeluarkan semua fakta dan catatan sejarah mengenai kewujudan sejarah kebudayaan Melayu secara terperinci.Apa yang ingin penulis kemukakan ialah pembaca dapat mengenang kembali kehebatan tamaddun Melayu yang begitu tua dan domain di nusantara. Istilah nusantara adalah meliputi daratan dan lautan dari Asia Selatan dan Asia Tenggara hingga menyebar dan terbentang di lautan Hindi hingga ke Lautan Pasifik. Cara hidup dan tamaddun mereka telah terbukti berasal dari teras kebudayaan yang sama iaitu Melayu.



Buku atau siri Melayu Dahulu berakhir pada tahun 1800. Sejak itu penulis menganggap dunia Melayu memasuki era baru atau moden. Hal ini hanyalah ikutan dan persetujuan penulis terhadap apa yang telah diputuskan oleh ahli-ahli sejarah dan para penyelidik budaya tersohor. Siri berkenaan tamaddun dan sejarah Melayu baru ini penulis muatkan dalam Siri Melayu Kontemporari. Period Melayu kontemporari adalah dari tahun 1800 sehingga 2000 dan selepas itu penulis sambung dalam siri Melayu Wawasan. Melayu Wawasan adalah Melayu idol dari pandangan penulis jika Melayu ingin terus domain dan melestarikan nilai hidup berkebudayaan Melayu di alam maya ini. Ini adalah hanya wawasan, gambaran dan pandangan. Semuanya ini diharap dapat menolak dan melonjakkan pemikiran Melayu agar keluar dari kepompong yang mengelabukan dalam mengharungi tujuan dan matlamat hidup dalam dunia ini.



Selain dari itu, tujuan penulis menulis buku ini adalah untuk dipertimbangan menjadi calon dalam hadiah nobel antara bangsa. Walaupun ini hanya berupa angan-angan dan harapan tetapi penulis yakin setidak-tidaknya penulis mampu berfikir dan terilham kearah itu dengan izin Allah. Jika mendapat kerjasama dan sokongan dari bangsa sendiri maka penulis berpendapat angan-angan tersebut adalah tidak mustahil akan jadi kenyataan. Penulis akan lebih bersyukur malah berdoa semoga fakta dan produk pemikiran penulis dalam buku ini dapat difahami dan dijadikan garis panduan oleh sebarang individu,sebuah keluarga, sebuah masyarakat, sebuah daerah, sebuah negeri dan sebuah kerajaan yang mencari keharmonian di dunia ini. Kalau dianggap tidak relevan sekalipun tetapi setidak-tidaknya sebagai usaha peringkat awal. Tidak salah mencuba dari contoh perilaku atau pemikiran yang baik. Sehubungan itu penulis tidak berasa terperanjat jika banyak yang tidak setuju. Penulis amat sedar dan mengetahui terdapat antara hujah-hujah penulis tidak akan dapat diterima kerana diluar kebiasaan dan penulis mengketegorikan sebagai hal dan perkara yang di luar kotak pemikiran.



Akhir sekali penulis yakin dengan terbitnya buku ini, setidak-tidaknya akan mencetuskan lagi sumber-sumber ilham baru yang tidak pernah terjangkaukan dari masa ke semasa. Selamat membaca. Dari Tuhan kita datang dan kepada Dialah kita kembali. Dan Tuhan itu tiada sekutu dan serupa dengan segala sesuatu. Penulis berharap kepada keredhaan Tuhan. Sekian.


Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara dalam PENDAHULUAN bukunya yang masih belum terbit: MELAYU DAHULU, MELAYU KONTEMPORARI DAN MELAYU WAWASAN
 
Copyright 2009 Sejarah
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere