Sejarah Perpaduan Persatuan Orang Melayu Sebelum UMNO
Sebelum wujud UMNO (PEKEMBAR)
pada 11 Mei 1946, sebenarnya sudah ada banyak pertubuhan dan persatuan Melayu
dengan pelbagai nama. Di Johor misalnya sudah ada pelbagai persatuan yang
dikenali sebagai Kesatuan, Kumpulan, Kelab, Persatuan, Pergerakan, Angkatan, Gerup
dan lain-lain. Semuanya pernah lahir di
era sebelum dan di zaman Pendudukan Jepun (1941-1945) atau Perang Dunia Kedua.
Ada yang berdaftar secara rasmi dan ada yang tidak berdaftar tetapi sangat
popular dalam masyarakat Melayu. Asas aktiviti,
objektif dan perjuangan adalah untuk menjaga kepentingan dan kebajikan ahli dan
masyarakat orang Melayu. Perkataan parti menjadi popular apabila persatuan ini mula
berani memperjuangan nasib ahli atau masyarakat dengan cita-cita berbau
pemerintahan atau berkehendakan kerajaan sendiri.
Di luar Johor pula sudah ada antaranya seperti
Saberkas, Kesatuan Melayu Muda, Angkatan Pemuda Insaf, Angkatan Wanita Sadar,
Kesatuan Perniagaan Melayu , Parti Kebangsaan Melayu Malaya, Putera, Gerakan
Angkatan Muda, Barisan Tani Se Malaya
dan lain-lain. Antara Yang dilihat berciri intelektual sebelum kedatangan Jepun
di Johor seperti Kelab Debat Muar sebuah
unit dari Kelab Muar, Persatuan Melayu Muar dan Persatuan Melayu Johor. Kelab
Muar ditubuhkan oleh kerajaan Johor pada tahun 1896 setelah berlaku rusuhan
kongsi kelab Campiang Bendera Putih dengan Campiang Bendara Merah di Bandar
Maharani Muar. Banyak bangunan kedai dibakar hangus dalam pergaduhan kongsi
gelap itu yang berlaku pada awal tahun 1890. Rusuhan ini berhubung kait dengan
kegiatan kongsi gelap yang terlibat dalam perang saudara di Perak, Selangor dan
Negeri Sembilan iaitu antara Kongsi Gelap Hai San dan Ghee Hin.
Di Johor, kumpulan Ghee Hin lebih dikenali sebagai Nee
Heng (Bendera Putih) dan diterima secara rasmi dan diberi kuasa monopoli
membekal candu, bekalan barangan keperluan harian dan penjualan babi kepada
masyarakat Cina di kangkar-kangkar dalam system kancu. Pergaduhan dan rusuhan
oleh dua kumpulan campiang (kongsi gelap) di Bandar Maharani telah berjaya
disekat dan didamaikan dengan campur tangan Orang Kaya Joned dengan angkatan
tentera rakyatnya yang diketuai oleh Abdullah Taiko (Hj Mohd Salleh) bekas
panglima di istana Seri Mananti yang kemudiannya telah menubuhkan kumpulan
kongsi gelap Melayu (Kumpulan Harimau Muar 1891-1948) yang dinaungi secara
tidak rasmi oleh kerajaan Johor.
Sejarah mencatatkan bahawa
pedagang dan saudagar, mahu pun ahli perniagaan Cina kesemuanya terikat
dengan budaya kesukuan dan kongsi gelap bagi menjaga kepentingan perdagangan dan
kehidupan mereka. Budaya ini telah dibawa ke mana sahaja dan di Tanah Melayu,
Inggeris dan raja-raja Melayu terpaksa menerima budaya yang dibawa oleh pekerja-pekerja
dan saudagar-saudagar Cina. Kesepakatan dan persefahaman telah menjadi norma
dalam kehidupan seharian dan sehinggalah ke hari ini falsafah dan kegiatan
kongsi gelap masih seperti dahulu.
Sebelum ada persatuan, orang
Melayu bergiat mempertahankan kepentingan mengikut pengaruh orang atau ketua
yang diangkat. Bermula dari ketua dalam kumpulan pertanian misalnya, menjadi
ketua kampong, penghulu, orang kaya, pembesar istana dan raja atau sultan.
Mengikut buku Sejarah Melayu,
orang Melayu memang payah bersatu padu kerana fanatik kepada kumpulan atau
kesukuan sendiri. Kesepaduan hanya berkesan setelah ditawan atau ditundukkan. Kesetiaan
dan perpaduan bermula mengikut marga keluarga, asal-usul dan keturunan. Perpaduan
dan kesetiaan yang wujud dengan cepat adalah dengan ikatan perkahwinan dan dengan
pertauliahan pembesar atau sultan. Kenalan atau sahabat handai, teman
sepermainan juga menentukan faktor kesepaduan. Seterusnya asal kampong dan
daerah. Kesepaduan yang dianggap tersusun ialah terhadap ketua kampong atau
penghulu dan seterusnya kepada raja atau sultan. Kesepaduan dalam peperangan
dibawah titah sultan juga masih terikat dengan pengaruh penghulu atau pembesar.
Jika penghulu mereka enggan menjunjung titah maka anak buah semuanya patuh
kepada ketua bukan kepada raja atau sultan.
Sejarah kerajaan Aceh, mencatat
perasaan marah dan kesal kerana orang Melayu Johor tidak bersatu padu dibawah
Aceh yang mengguna dan mengutamakan agama Islam ketika menentang Belanda di
Melaka pada abad 17. Orang Melayu dianggap mempunyai toleransi yang tinggi dan
boleh tinggal berjiran dengan segala bangsa dan agama tanpa rasa prejudis jika
adat resam mereka tidak diganggu atau
dihina. Orang Melayu digambarkan oleh saudagar asing sebagai bangsa yang lemah
lembut, bijak dan beradab sopan tetapi kurang rajin atau bekerja keras. Ini
adalah kerana pengaruh adat dan budaya sebagai tuan di Tanah Melayu. Terdapat
juga catatan orang asing mengatakan orang Melayu kelihatan menonjol ketuanan
mereka meskipun ikatan perpaduan pada
keseluruhannya masih longgar dan samar.
Satu fakta menarik terhadap
perpaduan orang Melayu ialah segera bekerja sama menyebelahi orang yang
teraniaya lebih-lebih lagi jika mangsa dizalimi oleh orang luar atau orang
asing. Orang Melayu kelihatan bersefahaman dan berpadu dengan mantap dalam
keadaan darurat dan tertekan. Dalam keadaan biasa mereka tidak bersatu padu
secara kolektif. Hal ini terbukti ketika berlaku peristiwa Perang Selendang
Merah di Batu Pahat, Johor pada tahun 1945. Orang Melayu dari pelbagai suku
telah bersatu padu membalas serangan Cina Komunis yang mezalimi mereka. Ketika
raja-raja Melayu dihina dengan perlakuan Harold Mc Michael, Dato’ Onn Jaafar
berjaya menyatupadukan orang Melayu melalui penyatuan kesatuan-kesatuan yang
dianggotai mereka. Kesatuan mereka disatukan dan dikenali sebagai PEKEMBAR atau
UMNO pada 11 Mei 1946. Perjuangan UMNO pada mulanya bukan memperjuangkan
kemerdekaan kecuali menuntut pembubaran Malayan Union, mengembalikan martabat
raja dan sultan serta hak-hak kebajikan kaum Melayu selaku pemilik Tanah
Melayu. Tuntutan dan perjuangan kemerdekaan lebih awal dipelupori oleh Kesatuan
Melayu Muda, Parti Kesatuan Melayu Malaya dan Hisbul Muslimin sebelum penubuhan
UMNO.
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
PWTC KL 6.8.2012