SUMBER SEJARAH BAKRI MUAR & PESANAN SHAHAROM HUSSEIN

CIKGU SHAHAROM HUSSEIN YANG TUN SHEIKH KENALI


Mencari sumber otentik bertulis mengenai sejarah Bakri Muar amatlah sulit. Hampir tidak dapat diterima akal jika tiada rekod mengenainya kerana ketika itu adalah Zaman Permodenan Johor. Lebih-lebih lagi Bandar Maharani adalah bandar yang sengaja dibuka dan dibina oleh pembesar Melayu sebagai contoh kemajuan pentadbiran pemimpin Melayu moden. Pembukaan Bandar Maharani juga sebagai menyahut cabaran terhadap Inggeris yang mencabar kebijaksanaan dan kedaulatan Melayu.


Mengingat pesanan Allahyarham ayahanda Cikgu Shaharom Hussein yang sering Tun Sheikh temui dan mendapatkan nasihat darinya ketika bekerja di Johor selama 7 tahun di awal tahun 2000, maka Tun Sheikh paparkan salah satu sumber pengkajian lisan yang terdapat di Arkib Negeri Johor. Tun Sheikh percaya sumber legenda ini menarik dan berupaya membernaskan penceritaan atau kepengarangan seterusnya kepada yang lebih pakar dan ahli. Penyelidik generasi akan datang diharap akan dapat manfaatkannya. Itulah pesanan dan nasihat Cikgu Shaharom Hussein, seorang pakar sejarah dan budayawan Johor yang tersohor. Katanya... Mursheikh tulislah apa yang didengar dan didapati. Biar fakta dan kebenarannya ditentukan orang belakang yang ahli. Jika tidak buat begitu nanti akan terkubur kerana lupa atau mati dan rugilah bangsa.

Sungguh berkesan sekali nasihat beliau. Tun Sheikh tidak lupa menghadiah Al-Fatiha setiap kali terkenangkan Ayahanda Cikgu Shaharom Hussein yang sangat dihormati. Beliau begitu gigih datang ke mesyuarat di Yayasan Warisan Johor dan Arkib Johor mahupun di Pejabat Kerajaan Negeri Johor apabila diundang. Dalam keadaan fikzikal yang semakin hari semakin uzur, beliau tetap menghadirkan diri dan apabila Tun Sheikh bertanya khabar, katanya syukur alhamdulillah kerana Tuhan mengurniakan kesihatan yang baik kepada beliau walau sudah berusia lebih 80 tahun tetapi masih boleh memandu kereta dan yang paling disyukurinya ialah kewarasan akal yang masih cerdas berfikir dan berkarya.

Katanya... apabila Cikgu nyanyok maka tidaklah perlu Cikgu hadir lagi menyumbang fikiran. Harap-harap jengok dan pastikan kesihatan minda Cikgu sebelum mengundang hadir ke mesyuarat-mesyuarat rasmi. Sungguh mendalam sekali maksud kata-kata Ayahanda Cikgu Shaharom Hussein itu. Bila ditanya mengapa menolak tawaran kerajaan Johor menghantar dan menjemput menggunakan kenderaan rasmi pada setiap kali ke majlis rasmi? Dia jawab, jika kita mula terasa tubuh badan kita terikat dan tidak bebas hendak bergerak mengikut kemahuan kita maka ketika itu kebebasan berfikir kita juga terikat dan tidak bebas sepuluh kali ganda.

Inilah kata-kata seorang sasterawan. Banyak juga buah yang manis dari pemikirannya yang dapat Tun Sheikh abadikan hasil ketika bersembang-sembang dengan beliau. Tun Sheikh memang berminat sekali dengan orang yang berilmu dan banyak pengalaman seperti beliau. Lebih-lebih lagi beliau adalah seorang tokoh yang tidak mahu dan tidak suka kepada glamour. Dalam banyak perjumpaan termasuk perjumpaan peribadi di rumahnya GAPURA SASTERA di Kempas yang berdekatan dengan rumah sewaan Tun Sheikh di Bukit Kempas banyak juga hal-hal peribadi dan yang menyayat hati diluahkan kepada Tun Sheikh. Satu daripadanya yang tidak akan dapat dilupakan ialah terhadap kerinduannya kepada isteri beliau yang tercinta.

Apabila Tun Sheikh melihat album gambar-gambarnya semasa muda dan rantaian hidupnya memang tidak dinafikan, isteri beliau yang berasal dari keluarga ternama di Muar memang seorang wanita yang sungguh hebat. Mereka berdua telah mendidik kesemua anak-anak mereka menjadi tokoh yang hebat dan terkenal. Seorang daripadanya ialah Dr Mohd Hatta . Pengorbanan isteri Cikgu Shaharom memang sangat tinggi sehingga dianggapnya seperti pelita atau juita hatinya yang mencetuskan pelbagai ilham mengarang. Tun Sheikh setia mendengar dan mesra dengan Cikgu Shaharom hingga beliau tidak lagi terasa malu menitiskan airmatanya di hadapan Tun Sheikh. Tun Sheikh juga ikut simpati. Beliau banyak menunjukkan hasil-hasil karya puisinya yang sangat halus dan mecetus perasaan berkisar dengan kenang-kenangan manis bersama isteri tercinta.

Beliau bercerita dengan tersedu-sedu sambil mencium gambar isterinya yang telah meninggal dunia mendahuluinya. Ceritanya berkisar penerimaan dan pengorbanan isterinya yang membela dan menghormati dirinya ketika datang ke rumah mertua yang mewah di Muar walau hanya dengan sehelai sepingang dan sebuah beg kotak yang hanya dipenuhi dengan buku-buku kesayangannya. Dia sangat tersentuh apabila mengenang isterinya datang dari keluarga berada sanggup mengikutnya menebang hutan dan membuat sendiri rumah GAPURA SASTERAnya dari awal hingga menghembuskan nafas terakhir. Dia sangat sayu apabila teringat isterinya mengatakan bahawa dia bukanlah memandang ketampanan rupa mahupun keturunannya yang berasal dari Jawa tetapi kepada ilmu yang ada pada dirinya.

Bayangkanlah pada masa itu suku Jawa di Muar dianggap tiada kelas atau kalau ada hanya kelas ketiga. Cikgu Shaharom berkata hanya gelaran Cikgunya sahaja yang memberi keyakinan tinggi kepadanya. Pada masa itu guru Melayu memang popular dan sangat dihormati masyarakat umum tapi bagi Cikgu Shaharom tidak kepada keluarga ternama dan elit yang terkenal di Muar seperti keluarga isterinya. Tetapi beliau tetap bersyukur kerana orang Muar yang berpelajaran memang tidak mudah menghina atau memperlekeh orang lebih-lebih lagi jika berpelajaran tinggi walau pun datang dari keluarga miskin.

Keluarga Cikgu Shaharom bukanlah miskin tetapi dia mengaku dia adalah seorang lelaki keturunan Jawa yang mempunyai pendirian dan peribadi kembara yang tersendiri. Sehingga akhir hayatnya dia adalah seorang tokoh yang benci dan anti mengampu dan anti rasuah. Kadang-kadang terbawa-bawa dalam ketegasannya yang menolak dengan baik tawaran istana Johor dan tawaran kerajaan negeri jika beliau berasa seperti hasil daripada mengampu atau rasuah.

Kenangan manisnya dengan istana Johor bukanlah terhadap tawaran-tawaran pingat kebesaran yang ingin dikurniakan kepadanya. Tetapi apa yang sering disebut adalah budi pekerti yang tinggi dan luhur Sultanah sekarang iaitu YM Raja Zarith Sopia Sultan Idris yang telah saban hari menghantar tapau nasi dan lauk istana ke GAPURA SASTERA kerana menghormati dan mengenang jasanya di dalam dunia pendidikan, kesusateraan, sejarah dan kebudayaan.


Ketika itu Cikgu Shaharom Hussein baru kematian isteri dan tinggal bersendirian. Ini berlaku beberapa lama sehingga beliau sendiri datang ke istana menghadap dan mengucapan jutaan terima kasih dan memohon YM Raja Zarith ketika itu isteri kepada YM Tengku Mahkota Johor supaya tidak lagi bersusah payah menghantar bekalan kerana beliau telah sihat dan pulih dari kedukaan. Beliau sering memuji-muji baginda kerana pada pandangannya baginda adalah seorang puteri raja yang berpendidikan tinggi dan amat menghormati ilmu.

Tun Sheikh pula amat menghormati beliau kerana memang tidak menduga bertemu beliau yang amat terkenal dalam pelbagai tulisannya sejak kecil lagi. Ketika pertama bertemu, dia bertanya adakah Tun Sheikh seorang penulis dan Tun Sheikh spontan menjawab ingin menjadi penulis seperti beliau tetapi tidak yakin kerana beliau begitu hebat. Sedikit pun beliau tidak meninggi diri tetapi terus memanggil Tun Sheikh sebagai Mursheikh dan mengingatkan supaya berlatih menulis apabila sahaja terfikir sesuatu untuk ditulis tanpa kira waktu dan tempat. Selebihnya beliau mempelawa datang ke GAPURA SASTERAnya.

Hampir sepuluh tahun berlalu dan apabila teringatkan TPM Dato' Sri Mahyuddin berasal dari Bakri lalu spontan teringat bahan sejarah lisan tentang Bakri yang terdapat di Arkib Johor dan tertulislah dengan begitu ringkas mengenai Sejarah Bakri Muar. Betullah pesanan Cikgu Shaharom Hussein, setelah menulis mengenai sejarah Bakri Muar di blog Tun Shiekh maka terilham pula mengapa tidak terdapat dokumen bertulis di Arkib Negara mengenainya. Salah satu dari sebabnya yang ada tercatat dari sumber legenda itu ialah kerana kesensitifan dan kebijaksanaan pihak berkuasa ketika itu yang bermatlamat mendaulatkan raja baru dan sebuah negara bangsa.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Sejarah
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere