Sejarah Pembukaan Kampung Sungai Abong
Sungai Abong telah diteroka oleh
Hj Abdullah Taiko pada tahun 1885. Nama sebenar beliau ialah Panglima Haji Muhamad
Salleh yang telah membawa diri dari Istana Sri Menanti Negeri Sembilan kerana
berkecil hati terhadap perlakuan keluarga Tuanku Yam Tuan Antah yang meragui
kesetiaan dan pengabdiannya sebagai panglima daripada keturunan Jawa. Beliau
telah merantau ke Hulu Muar untuk mencari sanak saudaranya. Panglima Muhamad
Salleh kemudian ke Muar dengan para pengikutnya apabila mendengar sebuah
kampung Jawa yang begitu makmur telah dibuka oleh seorang saudagar Jawa.
Saudagar Jawa itu ialah kerabat diRaja Cerebon. Mereka terkenal sebagai saudagar raja
Cerebon yang mendapat kebenaran khas dan bebas berdagang di seluruh Nusantara dari Belanda . Mereka telah membuka Kampung
Jawa dari muara Sungai Bentayan ke hulunya atas perintah Orang Kaya Muar pada
tahun 1869.
Panglima Muhamad Salleh telah
diberitahu oleh pengikutnya bahawa Naib Penghulu Kampung Jawa mempunyai
pertalian darah keturunan Jawa dengan Penghulu Kesang, seorang saudagar kaya
berketurunan Jawa di Bandar Melaka yang telah diangkat menjadi penghulu Kesang
oleh Sultan Ali ibni Sultan Hussin Singapura. Ketika itu Naib Penghulu Kampung
Jawa sedang giat menggalakkan orang Jawa dan membawa ramai sanak saudara dari
Pulau Jawa tinggal di Kampung Jawa Muar dan membuka kebun di pedalaman seperti di
Bukit Gambir, Panchor, Gersik di tebing kiri sungai Muar yang dikuasai oleh
Penghulu Kesang dan di Sungai Raya dan Pagoh . Kampung Sungai Raya di
Bukit Pasir Muar juga telah dibuka oleh Haji Muhamad Noh. Kampung Sungai Raya adalah sebuah kampung di sebelah tebing kanan yang telah
dianugerahkan oleh kerabat diraja Pahang kepada Haji Muhamad Noh setelah
bernikah dengan adik Penghulu Pagoh iaitu anak Engku Muda Mansor bin Bendara Tun
Ali Pahang.
Panglima Muhamad Salleh dan pengikut-pengikutnya
telah diundang oleh Haji Muhamad Noh untuk tinggal di Kampung Jawa dan membuka
kebun. Ketika itu Haji Muhamad Noh juga sedang sibuk mengumpul orang-orang Jawa
untuk membantu bapa mertua beliau, Engku Muda Mansor, adinda Sultan Ahmad
Pahang untuk memberontak dalam perbalahan kerabat istana. Haji Muhamad Noh
telah membekal belanja, senjata dan orang-orang Jawa tetapi pemberontakan yang
dirancang oleh bapa mertuanya telah dihalang oleh Inggeris.
Di Muar, Panglima Muhamad Salleh tinggal
bersama isterinya, Tuanku Khadijah binti
Tuanku Muda Chik yang telah mengikutnya membawa diri. Mereka telah dibawa bertemu
Penghulu Muar, Orang kaya Joned dan digalakkan membuka penempatan atau kebun di
Kampung Jawa yang berdekatan dengan Bandar Maharani kerana khidmat beliau yang
berpengalaman sebagai panglima penting bagi keselamatan bandar yang baru dibuka dan sedang
pesat membangun. Beliau telah diterima baik oleh Orang Kaya dan orang Melayu Muar.
Naib Penghulu Kg Jawa, Hj Muhamad Noh telah menyuruh
Panglima Salleh tinggal dekat dengan beliau dan membuka penempatan dari Batu 2 ke utara
bersempadan dengan sebuah anak sungai Muar. Anak sungai ini telah diberi nama Sungai
Abong bersempena nama hasil dan kemahiran anak-anak buah dan pengikut Panglima
Mohd Salleh yang mahir membuat gula abong dari pohon-pohon nipah yang banyak
terdapat di situ. Sungai Abong juga
dipercayai mendapat namanya kerana banyak pokok nibong yang terdapat di situ.
Batang-batang pokok nibong telah diperdagangkan oleh anak buah Haji Muhamad
Salleh kepada pembeli untuk dibuat rumah, jeti atau jambatan dan
perangkap ikan.
Gula abong dan batang nibong yang dihasilkan
oleh anak-anak buah Panglima Mohamad Salleh dijual kepada Hj Mohamad Noh selaku
orang tengah yang terkenal sebagai seorang peniaga Jawa. Disamping sebagai Naib
Penghulu, beliau juga adalah saudagar sagu, hasil kebun dan hutan dan pedagang
barangan kemas jawa di Pekan Muar. Daripada penjualan batang nibong dan gula
abong, nama kampong yang diterokai oleh Haji Mohamad Salleh dikenali sebagai
Kampung Sungai Abong.
Pada tahun 1889, Hj Mohd Salleh telah
menubuhkan pasukan askar rakyat yang terdiri dari pengikutnya dan penduduk Kg
Jawa menghalang dan mematahkan pemberontakan kongsi gelap Cina yang telah
datang dari kangkar-kangkar Cina yg berdekatan ke Bandar Maharani. Mereka
memberontak dan membakar Bandar Maharani kerana tidak berpuas hati terhadap
keistimewaan yang diberikan oleh kerajaan Johor kepada kongsi atau kumpulan Nee
Heng (Kumpulan Gee Hin). Cetusan ketidakpuasan hati ini dimulakan oleh Puak Hai
San yang berpengaruh di Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Pulau
Pinang tetapi tidak mendapat tempat dalam pemerintahan kerajaan Johor.
Setelah kejayaan itu, Panglima
Muhamad Salleh yang menggunakan nama sebagai Haji Abdullah sejak datang dari
Negeri Sembilan menjadi terkenal dan popular sebagai Abdullah Taiko. Perkataan Taiko
yang terkenal dikalangan masyarakat dan kongsi Cina bermaksud sangat hebat dan
handal dalam seni mempertahan diri. Haji Abdullah Taiko sangat dihormati dan
ditakuti oleh masyarakat Cina Muar. Beliau telah diarah melatih dan
mengekalkan angkatan beliau sebagai tulang belakang kerajaan Muar bagi mengatasi dan mengimbangi pengaruh dan
aktiviti kongsi-kongsi gelap di Bandar Maharani secara berahsia dan sulit.
Kumpulan beliau terkenal sebagai Kumpulan Harimau Muar dan telah dibubarkan
oleh cucunya, Md Yasin JMF pada tahun 1948 kerana tidak bersetuju Kumpulan
Harimau dipergunakan oleh pemimpin Melayu dalam arus politik moden.
Apabila jalan Kg Jawa diluruskan oleh Dato'
Bentara Luar Mohd Salleh Perang dan diberi nama baru sebagai Bakri sempena
tanda kesetiaan penduduk Jawa kepada Maharaja Abu Bakar dan apabila sekolah
Melayu Jalan Bakri ditubuhkan di Batu 2 pada 1900, seluruh kampung Jawa
terkenal sebagai Bakri sehingga ke hari ini. Lorong Hj Abdullah Taiko yang
diberi nama sempena jasa Hj Abdullah atau Panglima Muhamad Salleh pada asalnya
hanyalah sebuah lorong dari Jalan Bakri Batu 2 hingga ke Sg Abong dimana
terletaknya rumah kediaman Hj Abdullah Taiko dan Sekolah Kebangsaan Bakri Batu
2, Muar. Lorong ini telah dinaik taraf pada tahun 1974 dan kawasan sekitar
jalan ini dan Sg Abong dikenali sebagai Kawasan, Kampung atau Mukim Sungai Abong sehinggalah sekarang.
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Sg Abong Muar 11.11.2012
4 comments:
Selamat sejahtera Tuan, dari manakah tuan mendapat sumber ini? :)
asslamualaikum tuan, mohon jika ada maklumat berkaitan dgn Penghulu Haji Abdul Manan bin haji Alias, penghulu mukim sg. raya. sekian terima kasih
Assalammualaikum tuan...saya juga mencari salahsilah Penghulu Haji Abdul Manan..jika ada mohon share
hairulail.kl@utm.my
Post a Comment