Sejarah Kedatangan Orang Jawa Ke Johor

25 comments

Sejarah Kedatangan Orang Jawa Ke Johor

Rakyat Johor terdiri dari pelbagai suku Melayu. Yang domain ialah suku Jawa sehingga ada yang masih pekat atau totok. Meskipun begitu,  tidak semua berasal-usul dari keluarga marhein dari Pulau Jawa. Ada yang terdiri dari golongan berpendidikan tinggi agama, pendakwah dan juga petani yang berjaya. Tetapi kerana keluasan tanah terhad di Pulau Jawa maka mereka pun berhijrah ke Negeri Johor.  Kini, mereka adalah rakyat Johor yang berjaya dan maju dengan hasil perkebunan. Kebanyakan anak mereka berpendidikan tinggi dan menjawat perkhidmatan awam negeri Johor dan Persekutuan.

Mengikut sejarah, kedatangan suku Jawa ke Johor adalah hasil galakan dari Temenggong Daing Ibrahim (1810-1862) ketika  membuka ladang gambir di Johor sekitar 1830-an setelah perusahaan gambir di Singapura gagal kerana kekurangan tanah dan kayu-kayan yang menjadi bahan bakar utama perusahaan itu. Dasar menggalakkan pekerja atau kuli bukan sahaja dari Jawa tetapi juga dari Cina bagi memajukan tanaman gambir melalui sistem kangkar yang diperkenalkan beliau.

 Usaha dan dasar memajukan Johor melalui perdagangan hasil hutan dan perladangan gambir ini serta dasar membawa masuk pekerja luar telah diteruskan oleh anakanda baginda, Temenggong Abu Bakar (1833-1895). Di zaman Temenggong Abu Bakar dasar ini dan pembangunan yang terhasil sampai ke puncak klimaks pada tahun 1860 sehingga 1895. Dasar membangunkan negeri yang diterajui oleh Temenggong Daing Ibrahim telah diteruskan oleh cucuanda baginda Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar(1873-1959). 

Suku Jawa digalakkan datang ke negeri Johor untuk bekerja dan membuka kebun. Disamping sebagai pekerja dan pekebun mereka juga menjadi pengimbang pola jumlah dan taburan pekerja atau pekebun bangsa Cina. Satu surat khas terkenal dengan nama Surat Kebenaran Membuka Kebun  dikeluarkan oleh pejabat Temenggong dan kemudian Pejabat Tanah Negeri Johor semasa pemerintahan Temenggong Abu Bakar.  Pekerja atau orang Cina dikawal dengan peraturan Kangkar dan Sistem Kangcu manakala orang Jawa dikawal oleh pemimpin tradsional iaitu penghulu dan orang-orang Kaya selaku pembesar dan wakil raja.

Orang Jawa juga banyak dibawa masuk oleh Syarikat Konstantinople milik jutawan Arab bernama As Sagof yang mendapat konsesi membuka ladang seluas daerah Pontian. Beliau ialah sahabat baik kepada Maharaja Abu Bakar dan beliau telah membawa masuk pekerja-pekerja Jawa melalui Sistem Haji di mana beliau memberi kemudahan menunaikan fardu haji kepada pekerja Jawa melalui tabungan upah bekerja di ladang kelapanya di Pontian. Pekerja Jawa boleh menunaikan fardu haji apabila wang perbelanjaan yang dikumpulkan mencukupi. Mereka juga diberi kemudahan menunaikan haji terlebih dahulu dan kemudian bekerja untuk melangsaikan hutang.  Sesiapa yang telah menunaikan fardu haji diberi pilihan untuk pulang ke kampung halaman atau terus menetap atau bekerja mengumpul wang sebagai bekalan apabila kembali ke tanahair dengan bekerja di ladang Syarikat Konstantinople. 

Perusahaan dan perniagaan syarikat ini amat terkenal dan terbesar di Asia Tenggara ketika itu. Perdagangan yang diusahakan oleh syarikat ini termasuk perkapalan, pengangkutan laut, perladangan dan juga perniagaan barang-barang nusantara dan juga dari Cina ke Timur Tengah sehingga ke Konstantinople di Turki. Keluarga As Sagof memiliki puluhan kapal sendiri dan sebahagian besarnya berkuasa dan berinjin wap. Ladang-ladangnya terdapat di Pulau Muluku, Kalimatan atau Borneo, Pulau Jawa, Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu khususnya di Johor. Pejabat-pejabat pengurusan syarikat ini terdapat di Turki, Saudi Arabia, Yemen, India, Sumatera, Pulau Jawa dan di Singapura. Pejabat terbesarnya terletak di Konstantinople Turki dan di sebelah timur terletak di Singapura dan ditengah-tengah rangkaian perdagangannya yang terletak di Yemen dan juga India.

 Di Johor, kemudahan atau Sistem Haji yang diperkenalkan  oleh Syarikat Konstantinople mendapat sambutan hangat dari penduduk Jawa yang beragama Islam kerana tiada berunsur penipuan dan penganiayaan. Berbondong-bondong orang Jawa mendaftar diri menjadi pekerja Syarikat Perladangan Konstantinople ini. Sebahagiannya terus menetap dan menjadi rakyat Johor.

 Selain daripada itu, fakta penarik orang Jawa datang ke Johor juga adalah disebabkan oleh galakan Inggeris yang telah mewar-warkan kegemilangan dan kemakmuran negeri Singapura dan Johor yang diperintah oleh raja Melayu yang moden dan adil seperti pemerintahan Inggeris ketika mentadbir pulau Jawa menjaga kepentingan Belanda yang sedang terlibat dengan peperangan Napoleon. Inggeris telah mengambil kesempatan mempengaruhi orang Jawa agar menolak Belanda dan menerima Inggeris terus memerintah Jawa. Ketegasan Belanda mengambil semula negeri-negeri taklukannya setelah Perang Napoleon berakhir telah mendorong Inggeris berusaha meluaskan pengaruhnya di Nusantara.

 Sistem tanaman paksa oleh Belanda  pada tahun 1820-an yang telah memaksa penduduk Jawa menanam hanya kopi, teh dan rempah ratus sahaja telah menimbulkan kemarahan orang Jawa yang menghadapi kekurangan bahan makanan. Bagi mengelak kebuluran, ramai orang Jawa telah berhijrah ke Semenanjung Tanah Melayu dan tinggal di negeri Melayu dibawah pengaruh pentadbiran Inggeris. Kebanyakan orang Jawa yang kuat pegangan agama dan enggan tunduk di bawah pengaruh pentadbir kafir (Belanda) telah memilih Johor untuk menetap. Mereka telah datang secara berperingkat-peringkat dengan menaiki kapal milik kerabat diraja yang dikenali sebagai sadagar raja yang mendapat kebenaran khas belayar dan berdagang di nusantara oleh Belanda.

Mengikut catatan sejarah, gerombolan atau gelombang penghijrahan orang Jawa ke Semenanjung Tanah Melayu yang paling aktif ialah pada tahun 1835 sehingga 1900. Ini adalah berikutan Sistem Rodi atau Tanaman Paksa yang dipaksakan oleh Belanda dan pengeluaran hukuman berat kepada sesiapa yang engkar perintah sehingga sampai ke tahap mengancam nyawa. Keluarga kerabat Diraja Cerebon sebagai contoh merupakan kumpulan saudagar Raja yang paling aktif kerana mereka mahir berlayar dan berdagang di serata teluk dan rantau serta pelabuhan-pelabuhan  di Nusantara.  Berdagang dan berdakwah adalah budaya hidup mereka. Mereka mewarisi ilmu pelayaran, perdagangan di samping penyibaran agama sejak turun-temurun dan berasal-usul daripada sheikh-sheikh dan pedagang Arab. 

Mengikut catatan Belanda, Hj Ibrahim pernah berulang alik dari Jawa ke Melaka pada tahun 1800-1825 kemudian anaknya Lebe  Mat (Lebai Muhamad) adalah antara nakhoda Jawa berdarah Arab (Saudagar Raja Cerebon) yang telah membawa masuk orang-orang Jawa ke Semenangjung Tanah Melayu. Mereka mempunyai jadual belayar yang tetap dan berulang alik dari Pulau Jawa sejauh Maluku, Tuban, Cerebon, Betawi, Siak, Singapura, Muar, Melaka, Selangor, Kelang, Bruas dan Kuala Kedah dari tahun 1800-1879. Muar telah dipilih menjadi penempatan keluarga mereka kerana terdapat perkampungan Arab di situ.

Kampung Jawa Muar (Kg Bakri) contohnya telah dibuka pada tahun 1869 oleh Hj Md Noh anak Lebai Muhamad bin Hj Ibrahim. Sebelum itu,  Penghulu Jabar yang berasal dari Jawa Timur telah mengikut kumpulan pelayaran saudagar raja Cerebon ke Parit Bakar Muar pada tahun 1860 dan membuka Parit Jawa pada 1865. Rombongan dan penghijrahan dari Jawa terus berlaku pada tahun-tahun berikutnya apabila Gerisik, Bukit Gambir, Sungai Raya dan beberapa perkampungan dan desa dibuka oleh orang Jawa di Muar dan di sepanjang pantai barat Johor atas galakan Maharaja Abu Bakar yang kemudian bergelar Sultan Johor (1885).

Gerombolan kedua orang Jawa berhijrah ke Johor, sebelah pantai timur Johor dan di sepanjang pantai barat Semenangjung adalah pada tahun 1915 sehingga hujung 1930-an berikutan pembukaan ladang getah, nenas dan teh tetapi penanaman teh tidak digemari oleh orang Jawa kerana mereka mempunyai pengalaman pahit dan hitam di Jawa sehingga pengusaha-pengusaha dan peladang Inggeris terpaksa membawa masuk perkerja dari India bekerja di ladang teh mereka. 

Pada tahun 1885, bermula sejak Maharaja Abu Bakar bergelar Sultan, semua peneroka Jawa dibenarkan menamakan kampong dan desa yang dibuka oleh mereka mengikut nama atau tempat asal usul mereka kerana kesetiaan mereka tidak diragui lagi dan Sultan Abu Bakar telah mendapat mandat dan daulat sultan secara rasmi dari kerajaan Inggeris.

Ketika Zaman Jepun (1942-1945) terdapat juga catatan sejarah di mana banyak tentera paksa berketurunan Jawa yang dibawa masuk dari pulau Jawa ke Semenanjung Tanah Melayu gagal pulang dan akhirnya terus menyusup dan menetap sebagai penduduk di sini. Mereka diterima dengan baik kerana terdapat suku Jawa yang telah lama bermastautin malah diakui sebagai rakyat asal Negeri-negeri Tanah Melayu.

Kini (2012),  mengikut perincian dari statistik pembacian Jabatan Perangkaan Negeri, Johor (2010), orang Melayu adalah sebanyak 48%, Cina 40% India 8% dll bangsa 4%.  Pecahan Suku Melayu daripada sejumlah 48% itu ialah suku Jawa  sebanyak 50%, suku Melayu Bugis 12%, Melayu Johor 30% dll 8% . Boleh dikatakan orang Melayu suku Jawa adalah tunjang kepada kemajuan dan pembangunan negeri Johor. Mereka mencurahkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada kerajaan negeri dan ketika ini mereka juga menjawat jawatan tinggi dalam banyak jabatan dan berpengaruh dalam parti politik yang diterajui oleh UMNO Johor. Mereka dengan bangga mengaku sebagai bangsa Melayu dan berasal-usul dari suku Jawa.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Parit Jawa Muar 24.11.2012

HASIL KEBUDAYAAN PURBA MELAYU YANG TERABAI

0 comments

HASIL KEBUDAYAAN PURBA MELAYU YANG TERABAI

Jika dinilai dari segi budaya kehidupan diantara bangsa Cina dan Melayu,  adalah tidak dapat dinafikan bahawa bangsa Cina lebih tua dari bangsa Melayu. Kebudayaan mereka dari segi budaya berkerajaan dan menghasilkan hasil seni budaya memang amat tinggi dan telah terlalu lama. Hal ini telah terbukti dengan pelbagai penemuan hasil kebudayaan berbentuk artifak peninggalan dan juga dokumen-dokumen dan rekod yang menjadi bahan bukti. Hanya baru-baru ini (2010) satu hipotesis telah diterima ke arah menjadi teori sains bahawa bangsa Melayu adalah patriarch kedua penyebaran bangsa manusia di muka bumi ini dengan terjumpanya hasil kebudayaan manusia purba di daerah Gerik dan Lenggong, Perak.

Peralatan purba itu membuktikan telah wujud tamadun di situ dan apa yang sangat membanggakan ialah bukti sains menunjukkan ia berusia 1.8 juta tahun iaitu tempat kedua selepas Orang Hitam Afrika di benua Afrika yang berusia 1.9 juta tahun. Pakar-pakar pengkaji fosil purba bersetuju meletakkan Malaysia sebagai pusat kedua penyebaran manusia awal di dunia setelah Afrika setakat ini. Mereka berasa yakin bahawa bahan bukti masih banyak lagi boleh dicari di tapak yang masih terbenam dan berkemungkinan penemuan artifak-artifak baru berupaya merungkai teori binatang purba di Thailand, manusia purba Cina, malah daratan purba yang dikatakan bercantum pada asalnya di zaman dahulu.

Pakar-pakar sejarah purba, antropologi dan arkeologi dari dalam dan luar negeri bertambah ramai menunjukkan minat untuk meneruskan pengkajian dan penyelidikan sains mereka tetapi dipandang sepi oleh kerajaan Malaysia yang begitu sibuk mengumpul dan membahagi-bahagikan kekayaan negara kepada kroni atas tiket pembangunan demi kepentingan diri sendiri sehingga mengabaikan betapa pentingnya  projek-projek ilmuan bertaraf dunia ini diutamakan demi maruah bangsa dan tamadun dunia.

Jika pemimpin UMNO peka dan peduli untuk memartabatkan budaya bangsa Melayu purba ini, tentu sekali bangsa Melayu secara otomatis akan terangkat dan menjadi bangsa yang dihormati di dunia. Malang sekali pemimpin UMNO yang menerajui kerajaan Malaysia meskipun telah diiktiraf oleh negara-negara luar sebagai bangsa yang begitu tolerans dan mudah menyesuaikan diri mengikut perubahan zaman dan keperluan keadaan sehingga berjaya mengekalkan kesinambungan hidup dan kebudayaan Melayu ke hari ini kelihatan tidak sampai pemikiran dan wacana pemahaman terhadap kepentingan jumpaan hasil budaya purba yang berupa peralatan batu manusia purba itu.

Mereka kelihatan tidak nampak bahawa hasil budaya yang telah terbukti mengikut kajian sains itu menunjukkan pemilik atau penggunanya adalah manusia yang telah bertamadun dan usianya hampir-hampir menduduki tempat pertama tertua di dunia jika dibanding dengan beberapa hipotesis yang membuktikan usia pengguna peralatan purba tersebut mungkin adalah lebih tua lagi. Ini hanya dapat dibayangkan jika teori era pengetahuan penggunaan peralatan batu digunapakai kerana manusia pertama dikatakan tidak menggunakan peralatan dalam mengharungi hidup mereka pada era pertama sebelum berevolusi atau berpengetahuan untuk menggunakan peralatan bantuan bagi memudahkan survival hidup seharian.

 Secara teorinya manusia pertama mengambil masa beratus ribu tahun untuk masuk ke era pengguna peralatan purba berasaskan batu. Sehubungan itu jika dibandingkan peralatan yang dijumpai di Malaysia dengan di benua Afrika yang berbentuk fosil kerangka manusia pertama yang tidak lengkap dapat membayangkan bahawa peralatan purba di Malaysia berkemungkinan berupaya meletakkan bangsa manusia pertama berasal di sini jika berpandukan teori itu tadi. Malang sungguh pemimpin negara ini tidak berminat atau sebenarnya tidak mempunyai kecerdikan walau hanya illusi atau berimejinasi dalam hal yang penting ini.

Pemimpin Melayu UMNO juga  tidak berasa gairah dengan penemuan sains yang mengatakan kawasan Asia Tenggara menepati 27 daripada 50 ciri-ciri tamadun termaju dan tertua yang pernah wujud dan hilang dikenali sebagai benua atau negeri Atlantis. Penemuan ini dijumpai sekitar 2008. Pengkajinya seorang professor pengkaji purba percaya hipotesis-hipotesis lain yang mendakawa sebagai tamadun Atlantis seperti tamadun Mayan dan Inca di Peru, tamadun Indian Amerika Syarikat, tamadun purba Mexico mahupun tamadun Gurun Gobi di benua Asia adalah tidak menepati atau ciri-cirinya tidak lebih dari 10 sahaja berbanding Atlantis Asia Tenggara sebanyak 27 ciri-ciri persamaannya.

Kerajaan Malaysia juga tidak peka dan tidak berminat terhadap jumpaan pengkaji pakar DNA (2006) dimana ciri-ciri DNA dalam tubuh bangsa Melayu mempunyai paling banyak persemendaan atau percampuran dengan DNA bangsa-bangsa besar tamadun manusia dalam dunia. DNA atau darah Melayu memiliki DNA yang berkaitan atau mempunyai asal serupa dengan bangsa Arab, Mesir, Yahudi, India, Farsi, Monggol dan lain-lain yang dianggap sebagai patriarch bangsa manusia dalam sejarah tamadun dan sejarah kebudayaan purba. Adalah sangat menarik apabila penyelidikan sains DNA mendapati ciri-ciri keserupaan DNA yang terdapat dalam bangsa Melayu moden pada hari ini bukanlah hasil persemendaan sekunder tetapi sebagai primer kepada pengembangan DNA lain yang lebih muda atau terkemudian. Dalam perkataan lain, ciri-ciri DNA bangsa Melayu adalah punca segala bangsa jika pegertian itu boleh digunapakai.

Kesimpulannya, ke manakah arah tuju pemimpin UMNO mahu membawa budaya hidup Melayu yang unggul ini? Mereka mendakwa merekalah pejuang dan pembela bangsa Melayu tetapi mengapa tiada kepekaan dalam memartabatkan maruah bangsa melalui jumpaan-jumpan sains ini? Apa yang sedang mereka praktiskan atau amal mahupun membudayakannya adalah tidak lain dan tidak bukan hanyalah ketidakwajaran selaku bangsa yang bertamadun tinggi. Ini adalah kerana mereka tidak dapat melihat martabat dan kebudayaan tinggi Melayu yang tersembunyi. Mereka asyik dan leka memuaskan nafsu dan bermaruah rendah. Budaya fitnah dan nafsu seks dan keserakahan terhadap wang ringgit dan harta dunia telah menutup kebijaksanaan bangsa mereka yang unggul. Ciri-ciri budaya yang sedang mereka amalkan, jika dirujuk kepada rekod sejarah tamadun manusia, adalah ciri-ciri ke arah memupuskan diri dan menjadi pupus.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Muzium Kota Lama
Jakarta 30.9.2012

Sejarah Perpaduan Persatuan Orang Melayu Sebelum UMNO

0 comments

Sejarah Perpaduan Persatuan  Orang Melayu Sebelum UMNO

Sebelum wujud UMNO (PEKEMBAR) pada 11 Mei 1946, sebenarnya sudah ada banyak pertubuhan dan persatuan Melayu dengan pelbagai nama. Di Johor misalnya sudah ada pelbagai persatuan yang dikenali sebagai Kesatuan, Kumpulan, Kelab, Persatuan, Pergerakan, Angkatan, Gerup dan lain-lain.  Semuanya pernah lahir di era sebelum dan di zaman Pendudukan Jepun (1941-1945) atau Perang Dunia Kedua. Ada yang berdaftar secara rasmi dan ada yang tidak berdaftar tetapi sangat popular dalam masyarakat  Melayu. Asas aktiviti, objektif dan perjuangan adalah untuk menjaga kepentingan dan kebajikan ahli dan masyarakat orang Melayu. Perkataan parti menjadi popular apabila persatuan ini mula berani memperjuangan nasib ahli atau masyarakat dengan cita-cita berbau pemerintahan atau berkehendakan kerajaan sendiri.

 Di luar Johor pula sudah ada antaranya seperti Saberkas, Kesatuan Melayu Muda, Angkatan Pemuda Insaf, Angkatan Wanita Sadar, Kesatuan Perniagaan Melayu , Parti Kebangsaan Melayu Malaya, Putera, Gerakan Angkatan Muda,  Barisan Tani Se Malaya dan lain-lain. Antara Yang dilihat berciri intelektual sebelum kedatangan Jepun di Johor  seperti Kelab Debat Muar sebuah unit dari Kelab Muar, Persatuan Melayu Muar dan Persatuan Melayu Johor. Kelab Muar ditubuhkan oleh kerajaan Johor pada tahun 1896 setelah berlaku rusuhan kongsi kelab Campiang Bendera Putih dengan Campiang Bendara Merah di Bandar Maharani Muar. Banyak bangunan kedai dibakar hangus dalam pergaduhan kongsi gelap itu yang berlaku pada awal tahun 1890. Rusuhan ini berhubung kait dengan kegiatan kongsi gelap yang terlibat dalam perang saudara di Perak, Selangor dan Negeri Sembilan iaitu antara Kongsi Gelap Hai San dan Ghee Hin.

Di Johor,  kumpulan Ghee Hin lebih dikenali sebagai Nee Heng (Bendera Putih) dan diterima secara rasmi dan diberi kuasa monopoli membekal candu, bekalan barangan keperluan harian dan penjualan babi kepada masyarakat Cina di kangkar-kangkar dalam system kancu. Pergaduhan dan rusuhan oleh dua kumpulan campiang (kongsi gelap) di Bandar Maharani telah berjaya disekat dan didamaikan dengan campur tangan Orang Kaya Joned dengan angkatan tentera rakyatnya yang diketuai oleh Abdullah Taiko (Hj Mohd Salleh) bekas panglima di istana Seri Mananti yang kemudiannya telah menubuhkan kumpulan kongsi gelap Melayu (Kumpulan Harimau Muar 1891-1948) yang dinaungi secara tidak rasmi oleh kerajaan Johor.

Sejarah mencatatkan bahawa pedagang dan saudagar,  mahu pun  ahli perniagaan Cina kesemuanya terikat dengan budaya kesukuan dan kongsi gelap bagi menjaga kepentingan perdagangan dan kehidupan mereka. Budaya ini telah dibawa ke mana sahaja dan di Tanah Melayu, Inggeris dan raja-raja Melayu terpaksa menerima budaya yang dibawa oleh pekerja-pekerja dan saudagar-saudagar Cina. Kesepakatan dan persefahaman telah menjadi norma dalam kehidupan seharian dan sehinggalah ke hari ini falsafah dan kegiatan kongsi gelap masih seperti dahulu.

Sebelum ada persatuan, orang Melayu bergiat mempertahankan kepentingan mengikut pengaruh orang atau ketua yang diangkat. Bermula dari ketua dalam kumpulan pertanian misalnya, menjadi ketua kampong, penghulu, orang kaya, pembesar istana dan raja atau sultan.
Mengikut buku Sejarah Melayu, orang Melayu memang payah bersatu padu kerana fanatik kepada kumpulan atau kesukuan sendiri. Kesepaduan hanya berkesan setelah ditawan atau ditundukkan. Kesetiaan dan perpaduan bermula mengikut marga keluarga, asal-usul dan keturunan. Perpaduan dan kesetiaan yang wujud dengan cepat adalah dengan ikatan perkahwinan dan dengan pertauliahan pembesar atau sultan. Kenalan atau sahabat handai, teman sepermainan juga menentukan faktor kesepaduan. Seterusnya asal kampong dan daerah. Kesepaduan yang dianggap tersusun ialah terhadap ketua kampong atau penghulu dan seterusnya kepada raja atau sultan. Kesepaduan dalam peperangan dibawah titah sultan juga masih terikat dengan pengaruh penghulu atau pembesar. Jika penghulu mereka enggan menjunjung titah maka anak buah semuanya patuh kepada ketua bukan kepada raja atau sultan.

Sejarah kerajaan Aceh, mencatat perasaan marah dan kesal kerana orang Melayu Johor tidak bersatu padu dibawah Aceh yang mengguna dan mengutamakan agama Islam ketika menentang Belanda di Melaka pada abad 17. Orang Melayu dianggap mempunyai toleransi yang tinggi dan boleh tinggal berjiran dengan segala bangsa dan agama tanpa rasa prejudis jika adat resam mereka  tidak diganggu atau dihina. Orang Melayu digambarkan oleh saudagar asing sebagai bangsa yang lemah lembut, bijak dan beradab sopan tetapi kurang rajin atau bekerja keras. Ini adalah kerana pengaruh adat dan budaya sebagai tuan di Tanah Melayu. Terdapat juga catatan orang asing mengatakan orang Melayu kelihatan menonjol ketuanan mereka  meskipun ikatan perpaduan pada keseluruhannya masih longgar dan samar.

Satu fakta menarik terhadap perpaduan orang Melayu ialah segera bekerja sama menyebelahi orang yang teraniaya lebih-lebih lagi jika mangsa dizalimi oleh orang luar atau orang asing. Orang Melayu kelihatan bersefahaman dan berpadu dengan mantap dalam keadaan darurat dan tertekan. Dalam keadaan biasa mereka tidak bersatu padu secara kolektif. Hal ini terbukti ketika berlaku peristiwa Perang Selendang Merah di Batu Pahat, Johor pada tahun 1945. Orang Melayu dari pelbagai suku telah bersatu padu membalas serangan Cina Komunis yang mezalimi mereka. Ketika raja-raja Melayu dihina dengan perlakuan Harold Mc Michael, Dato’ Onn Jaafar berjaya menyatupadukan orang Melayu melalui penyatuan kesatuan-kesatuan yang dianggotai mereka. Kesatuan mereka disatukan dan dikenali sebagai PEKEMBAR atau UMNO pada 11 Mei 1946. Perjuangan UMNO pada mulanya bukan memperjuangkan kemerdekaan kecuali menuntut pembubaran Malayan Union, mengembalikan martabat raja dan sultan serta hak-hak kebajikan kaum Melayu selaku pemilik Tanah Melayu. Tuntutan dan perjuangan kemerdekaan lebih awal dipelupori oleh Kesatuan Melayu Muda, Parti Kesatuan Melayu Malaya dan Hisbul Muslimin sebelum penubuhan UMNO.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
PWTC KL 6.8.2012

Sejarah Melayu Derhaka dan Musnah Berulang

0 comments

Sejarah Melayu Derhaka dan Musnah Berulang

Jika anda meminati sejarah, maka anda akan bersetuju Tun Sheikh mengatakan seolah-olah anda dapat melihat masa depan kerana perlakuan seseorang atau sesebuah masyarakat yang mempunyai ciri-ciri yang sama seperti dalam catatan sejarah silam akan megakibatkan hasil atau peristiwa yang sama. Sehubungan itu kepada sejarawan, mereka amat yakin dan bersetuju dengan ungkapan bahawa sejarah akan berulang kerana dalam kajian dan catatan rekod mereka, tokoh, masa dan tempat itu tidak menjadi persoalan utama tetapi ciri-ciri perbuatan, tindakan dan kelakuan itu sebenarnya bernilai sejagat atau dengan perkataan lain boleh dikatakan sebagai fitrah atau telah ditetapkan Tuhan. Kepentingan sejarah adalah untuk dijadikan pelajaran dan teladan supaya mengelak dari melakukan perkara yang buruk dan merugikan. Sejarah mendorong kita meniru teladan tokoh-tokoh yang telah berjasa dengan perbuatan baik mereka memperbaiki keadaan hidup atau sosial diri sendiri, sesebuah masyarakat atau negara bangsa.

Menilik fenomena sekarang, kepada sesiapa yang mengetahui sejarah Melayu, maka mereka akan bersetuju dan tidak menafikan bahawa kejatuhan Empayar Kesultanan Melaka adalah disebabkan kerakusan para pembesar dan sifat keperibadian sultan yang jelek. Pada waktu yang sama tokoh-tokoh usahawan juga sangat tamak dan berlumba-lumba memperkayakan diri dengan mengamal rasuah, kroni dan berkonspirasi. Fitnah ditabur sehingga Bendahara dan sultan berasa kedudukan dirinya tercabar dan tidak stabil. Mereka semua termasuk sultan berlumba-lumba memuaskan keinginan diri sendiri dan mereka begitu yakin bahawa kemakmuran Melaka seolah-olah akan kekal dan mereka berkuasa ke atasnya.

Sifat sombong dan angkuh ini telah mengelabui akal dan pemikiran waras mereka sehingga tidak dapat memikirkan kekuatan dan niat penjajahan dari kuasa asing yang bercita-cita menguasai kekayaan Melaka. Akhirnya kegemilangan Melaka hancur ditawan. Perkara yang dianggap mustahil menjadi reality dan kebudayaan tinggi Melayu menjadi terhina apabila orang Melayu menjadi manusia pelarian di bumi sendiri.

Sejarah mencatatkan perihal kerajaan agong Melayu sebelum itu seperti kerajaan Melayu Campa, Kerajaan Srivijaya, Kerajaan Langkasuka, Kerajaan Melayu Palembang malah Majapahit dan sebagainya yang pernah mengecapi dan menikmati zaman keemasan semuanya musnah angkara kesombongan dan kelalaian hasil dari kemewahan itu sendiri. Sejarah telah berulang dan akan terus berulang dengan watak, tempat dan masa yang berlaianan tetapi buah natijahnya sama kerana itu adalah fitrah yang ditetapkan kepada manusia oleh Tuhan.

Jika manusia itu bijak, tentu sekali ilmu yang didapati dari garapan sejarah itu diutamakan. Manakala manusia yang mendapat pentunjuk pula tidak sesekali menyisihkan kitab petunjuk dari Tuhan yang menjanjikan keselamatan dan keharmonian jika dibuat panduan dan pegangan dalam mengaharungi kehidupan ini. Dalam pakej usia hidup di dunia ini kitalah yang diberi kuasa memilih untuk menempatkan diri dikelompok mana. Setelah itu kita dipertanggongjawabkan dan akan menerima balasannya bukan sahaja di dunia tetapi juga selepas kematian. Kepada sesiapa yang percaya dan beriman, segala petunjuk untuk diikuti telah disediakan dan kepada manusia yang tidak beriman maka dunia ini akan menjadi syurga ciptaan mereka dan ketetapan neraka buat mereka telah pun diberitahukan.

Maka kita haruslah peka terhadap persekitaran kita bagi memastikan kelompok mana yang kita pilih bagi memainkan peranan menjadi alat perakam sejarah tamadun manusia di dunia ini. Adakah kita memilih dan mengikuti petunjuk Tuhan seluruh alam atau kita memilih gaya dan peraturan mengikut akal fikiran dan kesedapan nafsu dan keinginan sendiri yang menyekutukan Tuhan dan dilarang Pencipta Alam.

Berbalik kepada fakta sejarah dan scenario peristiwa semasa yang berlaku dipersekitaran kita ketika ini, maka amat jelas tamaddun kegemilangan kita sedang menuju kemusnahan dan kehancuran. Terserah kepada diri masing-masing untuk memilih dan memainkan peranan dalam kelompok yang mana.  Rakyat terbanyak sedang menyokong kumpulan pemimpin yang telah memecah amanah dan sering menjalankan dan melakukan dasar-dasar yang sumbang serta tidak bernilai sejagat. Masa depan yang gelap dan huru-hara sudah tergambar dan dapat dibayangkan dengan fakta dan catatan sejarah jika ini berterusan. Para pemimpin terus mendabik dada enggan mengkaji kesilapan dan enggan berbalik memperbetulkan jalan dan gaya pemerintahan sewajarnya. Kroni, nepotisma, pelbagai konsipirasi begitu subur dan ini adalah ciri dan tanda-tanda keangkuhan yang membawa kepada huru-hara, porak peranda dan kemusnahan. Melayu selalu derhaka bukan hanya kepada raja yang sudah dianggap tidak relevan tetapi menderhaka kepada Tuhan.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
UTM JB 10.6.2012

Gengsi Bugis Dan Raja Melayu Dari Sudut Sejarah Lisan Dan Budaya Melayu-Satu Pengajaran

2 comments
Gengsi Bugis Dan Raja Melayu Dari Sudut Sejarah Lisan Dan Budaya Melayu-Satu Pengajaran

Di kalangan Orang Bugis asli perkataan Bugis disebut ‘Ogik’ dan mengaku berasal dari tanah atau kepulauan Sulawesi yang terletak di Timur Laut Indonesia. Sejarah lisan mereka mencatatkan tamaddun dan kebudayaan mereka telah begitu tua sehingga ada yang berani mengatakan bahawa tamaddun dan sejarah budaya mereka adalah lebih tua dari suku kaum lain dari sebelah barat gugusan Nusantara atau Kepulauan Melayu. Mereka mengatakan bahawa catatan sejarah barat atau eropah yang mencatatkan rempah ratus dari sebelah timur yang diperdagangkan sejak kurun pertama masehi sebenarnya dimaksudkan sebagai berasal dari Kepulauan Sulawesi. Ini merujuk kepada budaya suku Toraja Sulawesi yang telah menggunakan rempah ratus mengawet mayat lebih tua atau sezaman dengan kebudayaan Mesir tua membungkus dan mengawet mayat raja-raja mereka.

Perdagangan rempah ini dipercayai adalah lebih awal lagi kerana terdapat rekod mengatakan budaya membungkus dan mengawet mayat raja-raja Firaun Mesir telah digunakan sejak kurun ke 5 SM lagi. Rempah-ratus yang digunakan direkod perolehannya oleh tamaddun Mesir tua berasal dari kepulauan timur jauh atau kepulauan yang terlalu jauh di sebelah timur di hujung dunia. Oleh kerana penggunaannya adalah khusus untuk upacara agama dan di kalangan raja-raja sahaja, maka nama dan tempat asal usul rempah itu dirahsiakan.

Pakar sejarah budaya tempatan atau nusantara sehingga kini secara sainstifik masih tidak berani mengesah dan mempertanggungjawabkan hubungkait perhubungan tamaddun purba barat dengan Sulawesi. Mereka hanya berani membuat jangkaan atau andaian sahaja kerana hubungkait ini belum terbukti dengan penemuan aktifak atau hasil budaya yang teruji sebagaimana ketetapan sains.

Sejak tahun 2010 andaian atau hipotesis ini melangkau lebih jauh lagi apabila pakar akeologi tempatan menemukan bekas lombong batu permata yang menjadi kegairahan dalam budaya tamaddun purba barat dan timur tengah seperti tamaddun purba Rom dan Athens di Laut Mideterinian, tamaddun purba Mesir yang sangat terkenal dengan raja-raja firaunnya, tamaddun Farsi dengan kota Babilon atau Mesopotamia dan juga tamaddun purba India. Ini adalah kerana batu permata yang menjadi barang kemas dan perhiasan ini terkenal dalam istana kerajaan tersebut dan ia sangat mahal dan bermutu tinggi. Usia budaya batu permata ini pula adalah lebih tua atau lebih awal dari budaya penggunaan rempah ratus.

Setakat ini, mengikut pengkaji akeologi, lombong asal usul batu itu secara geografis hanya terdapat di Sulawesi. Adalah amat menarik apabila batu permata yang dikaji secara karbonis itu mencatatkan telah berusia kurang lebih 10 hingga 20 ribu tahun ketika dibentuk dan bahan asalnya pula telah berusia lebih 50 ribu tahun. Usia batu-batu permata dalam tamaddun purba itu pula selari dengan usia batu permata di lombong purba yang dijumpai di Sulawasi. Terdapat juga peralatan purba yang sama dan pernah digunakan dalam kerajaan tamaddun purba barat tersebut dijumpai di lombong itu. Jumpaan ini masih dalam kajian pakar sama ada hasil budaya itu berasal dari barat atau sebaliknya budaya timur dibawa atau ditiru oleh barat.

Mengikut sejarah lisan orang Bugis pula, kemuncak tamaddun purba Bugis ialah ketika Nabi Sulaiman AS berkahwin dengan Puteri Balqis dan menempatkan keluarga dan keturunannya di timur jauh di tempat longgokan batu permata yang menjadi sumber kakayaan kerajaan baginda. Mereka percaya dari nama Balqis inilah keturunan dan anak cucu baginda dikenali sebagai Bugis pada hari ini. Apa yang agak menarik ialah mengenai perkahwinan nabi Sulaiman dengan Puteri Balqis yang memerintah kerajaan timur (Saba’ dalam catatan sejarah Islam) ada tercatat dalam kitab Zabur dan Taurat dan perincian serta tokok tambah cerita mengenai hal ini terdapat dalam cerita-cerita dogeng mereka dan juga dalam cerita-cerita kaum Israeliat.
Sejarah dogeng atau sejarah lisan dalam budaya Bugis bertambah menarik apabila ada pesanan opu-opu Tanderiang (leluhur/nenek moyang keturunan Bugis Sulawesi sebelum menganut Islam) mengingatkan kepada anak cucu dan keturunannya yang belum lahir akan kedatangan suatu budaya (sebenarnya agama) baru secara baik yang akan menguasai seluruh dunia dari keturunan nenek moyang mereka Nabi Sulaiman yang datang dari tempat matahari tenggelam (barat) dan mereka dianjur bersatu.
Misi-misi Kristian pada peringkat awal kedatangan mereka telah menggunakan maklumat dan fakta sejarah budaya ini dalam dakwah mereka mempengaruhi anak bumi menganut Kristian. Mereka mengaku mereka adalah keturunan Nabi Sulaiman dari dunia Barat. Sebelum itu kira-kira pada tahun 1400 Islam telah disebarkan oleh daei-daei dari Melaka dan menapak di kota-kota dan ibu negeri di pulau Sulawesi. Apabila kota-kota seperti Goa dan Makassar dibakar hangus pada abad 17 oleh pedatang Barat beragama Kristian, keturunan raja-raja Bugis dan pengikutnya bersumpah akan berjihad berhabis-habisan menghancurkan sikafir di Bumi Nusantara sehinggalah mereka sampai ke Selat Melaka dan berkesempatan menjadi raja di alam Melayu Islam.

Dalam budaya Melayu warisan Melaka pula, perkahwinan untuk mendapatkan zuriat nabi melalu daei-daei Arab, mahupun Farsi atau India adalah sangat digalakkan di kalangan istana dan di kalangan pembesar. Tanpa kita sadari kebanyakan orang Melayu lebih-lebih lagi yang mempunyai titisan darah kerabat memang bertaut dengan darah baginda Rasulullah SAW. Cuma budaya Melayu yang tidak mengiktiraf nasab melalui perempuan dan terlalu taksub kepada warna kulit dan bangsa telah menghilangkan getaran rasa dan jiwa Melayu yang sebenarnya bernasab baginda Nabi SAW.

Dunia Melayu dari dahulu hingga sekarang hanya mementingkan darah raja terdekat dan harta benda sahaja. Tanpa sadar orang Melayu telah melupakan keistimewaan keturunan mereka kecuali terlalu sedikit yang mengetahui dan menjaganya.
Di zaman moden ini atau lebih tepat dikata sebagai akhir zaman, orang Bugis keturunan Nabi Sulaiman telah berbaur meluas dengan orang Melayu berdarah ahlul bait. Dan inilah yang dijanjikan oleh Tuhan bahawa selama-lamanya keturunan nabi Ibrahim, Aku makbulkan sebagai pemengang Amanah Dunia. Apakah Amanah Dunia itu? Itulah agama tauhid yang mengEsakan Allah. Lebih menarik lagi apabila ada hadis Nabi SAW mengatakan ‘pada akhir zaman nanti keturunanku dan ayahanda (Nabi Ibrahim AS) dari timur akan mengangkat bendera menjadi tentera Allah membantu Imam Mahadi dan Nabi Isa memerangi Dajjal.”

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Hulu Langat Selangor
Tabal Agong 11.4.2012

Dato’ Onn Jaafar: Mulut Saya Dijahit

4 comments

Dato’ Onn Jaafar: Mulut Saya Dijahit

Satu ungkapan yang menarik daripada Dato’ Onn setelah berjaya menumbangkan Malayan Union pada tahun 1948 ialah ‘Mulut Saya Dijahit”. Berbagai interpretasi pengkaji sejarah politik cuba menghurai ungkapan ini dan mengapa diungkapkan oleh Dato’ Onn, seorang tokoh yang amat berjasa yang telah menubuhkan UMNO dengan rasminya di Johor Baru pada 11 Mei 1946. Terdapat banyak sebab mengapa ungkapan ini sering disebutkan oleh Dato’ Onn pada tahun 1948. Ada diantara pengkaji sejarah dan penulis politik menjelaskan ungkapan ini adalah ketika Dato’ Onn berhasrat meninggalkan UMNO kerana merajuk dengan karenah orang Melayu yang menuntut kemerdekaan dan menuduh Dato’ Onn tidak mencita-citakannya kerana telah terpengaruh dengan pemerintahan British dan dituduh sebagai anak didikan dan anak emas British. Malah Dato’ Onn juga pernah dituduh oleh orang UMNO sendiri sebagai pengkhianat bangsa.

Ada pelbagai tokmahan dan juga fitnah daripada pihak yang tidak menyukai Dato’ Onn, daripada kalangan pemimpin Melayu menguar-uarkan bahawa Dato’ Onn sudah tidak boleh diharapkan lagi untuk dijadikan wakil atau ketua orang Melayu atau UMNO itu sendiri kerana Dato’ Onn sudah termakan budi Inggeris, diberi kesenangan, pangkat dan dengan sebab itu beliau terpaksa mengikut telunjuk Inggeris. Terdapat juga beberapa tulisan daripada wartawan akhbar Melayu yang mengatakan bahawa Dato’ Onn tidak banyak memperjelaskan isu tuntutan kemerdekaan kerana dilarang dan diugut oleh Sultan Ibrahim dan kerajaan Inggeris. Sultan Ibrahim Johor tidak bersetuju orang Melayu menuntut kemerdekaan kerana baginda menganggap orang Melayu masih belum sedia dari segi pelajaran dan teknologi kerana bidang itu jauh ketinggalan sehingga ungkapan Sultan Ibrahim Johor menyindir orang Melayu “Untuk membuat sebatang jarum pun masih tidak tahu, sudah ingin merdeka pula”.

Terdapat beberapa catatan kewartawanan dalam akhbar-akhbar Melayu semasa itu mengatakan bahawa ungkapan itu memang ada hubungan kaitnya dengan teguran Sultan Johor dan juga ugutan kerajaan British. Beliau pernah diugut untuk didakwa kerana sering mewujudkan keadaan yang tidak tenteram melalui penulisan beliau di dada akhbar pada tahun-tahun 1930-an yang banyak mengkritik suasana istana Johor dan gaya hidup anak-anak raja yang mengenepikan adat resam Melayu dan juga sifat hipokrit pegawai-pegawai Inggeris. Beliau juga dianggap pencetus huru-hara oleh Inggeris kerana berjaya menyatukan orang Melayu menentang gagasan Inggeris ketika menubuhkan Malayan Unioun. Dato’ Onn sejak zaman kanak-kanak hingga dewasa dianggap telah menyusahkan Inggeris.

Beliau juga telah dituduh menghasut rakyat menuntut kemerdekaan. Ada juga yang mengatakan Dato’ Onn sering menjawab seolan-soalan wartawan dengan ungkapan itu kerana tidak mahu persoalan mengenai perhubungannya dengan kerajaan British dan Sultan Johor diperbesar-besarkan. Ramai pemimpin Melayu dari pertubuhan Melayu yang bergabung dengan UMNO telah termakan dengan propaganda British terhadap Dato’ Onn tanpa mengetahui pada hakikatnya Dato’ Onn bukanlah anak emas British mahupun Sultan Ibrahim Johor tetapi sejak dari kecil beliau sebenarnya membenci Inggeris yang dianggapnya kaki pengampu raja-raja dan memerintah secara menipu. Inggeris memang mengakui bahawa Dato’ Onn adalah seorang tokoh yang merbahaya dan akan menghalang perancangan dan kepentingan British di Tanah Melayu.

Dari maklumat sejarah lisan yang disampaikan oleh Encik Yon bin Mian (1913-1996) bekas pemain tenis Melayu terkenal dan salah seorang ahli jawatankuasa dan penyokong kuat Parti Negara yang aktif di Batu Pahat pada awal penubuhan parti itu, pernah menjelaskan apa yang diketahuinya daripada Dato’ Onn sendiri berkenaan ungkapan: ‘ Mulut saya dijahit’. Dato’ Onn memberitahu beliau dan semua ahli jawatankuasa Parti Negara Batu Pahat dalam pertemuan membincangkan strateji pilihanraya di mana beliau akan menjadi calon di Batu Pahat bahawa ungkapan itu adalah berikutan dilemma beliau yang berasa tertekan dan serba salah pada tahun 1946 hingga 1948 apabila ramai orang Melayu mempertikaikan matlamat perjuangannya setelah Malayan Union berjaya ditumbangkan.

Dato’ Onn seolah-olah terpaksa bungkam kerana amaran dan ugutan dari pelbagai pihak termasuk Inggeris dan Sultan Johor. Tetapi beliau dengan bijaksana telah berjaya menekan Inggeris dan juga raja-raja Melayu agar menerima cadangannya terhadap kepentingan orang Melayu dengan merealisasikan idea beliau secara bertulis dalam perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu untuk masa depan bangsa Melayu, tanahair Persekutuan Tanah Melayu dan agama Islam.

Setelah Malayan Union dibubarkan pada 31 Januari 1948 tiba-tiba beliau didesak menuntut kemerdekaan. Untuk merdeka memang ada difikirannya dan menjadi tujuan utama beliau tetapi beliau mengunjurkan supaya merdeka pada tahun 1958. Beliau mengirakan selama 10 tahun diperlukan untuk memajukan system pelajaran dan perekonomian Melayu dengan bebas, kuat dan mantap sesuai dengan persediaan merdeka atau berkerajaan sendiri Beliau berpendapat adalah baik dan selamat jika strateji mengemaskini bidang ekonomi dan pendidikan diutamakan dulu dan menggunakan hubungan baik dengan Inggeris untuk memajukan bidang tersebut dengan mudah. Tetapi ini tidak dapat diterima oleh majoriti ahli UMNO kerana luapan semangat kebangsaan dan kebencian kepada Inggeris.

Dato’ Onn yakin jika merdeka secara tergesa-gesa tanpa sebarang persediaan, beliau percaya kemerdekaan itu sendiri tiada ertinya jika negara lemah dari segi ekonomi dan rakyat kurang berpendidikan. Negara yang lemah akan mudah dijajah oleh kuasa asing yang kuat dan besar. Lebih-lebih lagi pada ketika itu perekonomian dan perusahaan utama seperti perlombongan dan perladangan dimiliki secara persendirian oleh orang barat. Merdeka tanpa menguasai perekonomian negara akan merugikan orang Melayu sendiri.

Ketika berhujah untuk mengutakmakan pelajaran, beliau telah disindir dan diperkecilkan serta dianggap tidak layak lagi memimpin UMNO kerana beliau tidak berpendidikan tinggi. Dato’ Onn mengakui bahawa beliau pernah menggenang airmata apabila bangsanya sendiri memperlekeh beliau kerana tidak berpelajaran tinggi atau memiliki sebarang ijazah dan beliau sangat kecewa apabila dituduh sebagai pengkhianat bangsa kerana tidak bersetuju untuk menuntut kemerdekaan segera secara paksa, rundingan mahupun pertumpahan darah atau pengorbanan nyawa.

Dato’ Onn juga berasa kesal apabila dituduh sebagai pembelot dan sebagai anak emas British. Sebenarnya beliau juga sedia maklum usaha kerajaan British untuk menyingkirkan dirinya kerana dianggap terlalu bahaya dan merupakan seorang pemimpin Melayu yang berjaya membuka mata orang Melayu dan menyusahkan Inggeris. Inggeris juga sentiasa berusaha secara halus supaya Dato’ Onn dibenci oleh orang Melayu sendiri. Inggeris pernah meminta Dato’ Onn berundur dan digantikan dengan orang yang dianggap diterima baik oleh Inggeris dan raja-raja Melayu iaitu YM Tunku Abdul Rahman. Dato’ Onn segera menulis surat peribadi kepada YM Tunku Abdul Rahman secara sulit dangan kata-kata permintaan yang agak keras iaitu ‘..soal orang Melayu, saya memohon Tunku janganlah menyibuk..” Surat ini amat memberi kesan yang mendalam kepada YM Tunku yang telah bersetuju untuk mengambilalih kepimpinan Dato’ Onn setelah dipujuk oleh British. Berikutan itu YM Tunku terus membuat keputusan untuk ke London menyambung pelajarannya. Beliau hanya mengambilalih kepimpinan Dato’ Onn dalam UMNO pada tahun 1951 apabila Dato’ Onn keluar dari UMNO dan menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP).

Dato’ Onn menganggap sentiment emosi dan kemaruk semangat kebangsaan yang membara telah membuat orang Melayu tidak dapat berfikir jauh dengan wajar. Dato’ Onn dapat membaca tipu helah Inggeris yang tidak dapat difahami oleh orang Melayu. Ini adalah kerana beliau membesar dalam lingkungan dan persekitaran yang sama seperti mereka sama ada di Johor mahupun di Britain sejak kecil hinggalah dewasa.

Oleh sebab itulah beliau telah menerima tawaran Sultan Johor untuk menjadi Menteri Besar Johor agar dapat mempergunakan kedudukan itu bagi menyusun rancangan kearah kemerdekaan. Ketika menjadi menteri besar, beliau telah ditegur beberapa kali oleh sultan yang dipercayai termakan hasutan Inggeris supaya memecat Dato’ Onn kerana enggan mendengar nasihat dan enggan mengikut telunjuk mereka yang mendakwa rapat dengan sultan Johor. Dato’ Onn dituduh telah salah menggunakan kuasa dan kedudukan sebagai menteri besar kerana banyak menumpukan perjuangan Melayu daripada memajukan Johor. Apabila Sultan Ibrahim mencabar beliau agar meletak jawatan dan menumpukan politik, Dato’ Onn telah menyahut cabaran itu dan meletak jawatan Menteri Besar. Beliau telah memberitahu orang ramai betapa jahatnya perancangan British untuk menjajah Tanah Melayu semula melalui kedudukan sultan Johor tetapi ramai tidak mempercayainya.

Diwaktu yang sama, beliau terus menuntut kerajaan Inggeris melaksanakan butiran perlembagaan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu yang telah diterima oleh Ingggeris bagi menggantikan Malayan Union. Desakan Dato’ Onn ini tidak menyenangkan British dan mereka telah menuduh Dato’ Onn mempunyai rancangan pribadi dan berkepentingan diri sendiri. Inggeris memaksa orang Melayu mesti menerima semua pendatang asing sebagai warganegara dan mempunyai keistimewaan sama seperti orang Melayu. Inggeris juga mencadangkan supaya Dato’ Onn membuka keahlian UMNO kepada bangsa lain jika benar-benar ingin merdeka. Hal ini telah menjadi kemarahan orang Melayu dan mereka telah menuduh Dato’ Onn sebagai pengkhianat sehingga Dato’ Onn terasa begitu tertekan dan tidak berpeluang memperjelaskan keadaan sebenar.

Paksaan dan ugutan Inggeris agar UMNO menerima pendatang asing sangat memeritkan dan menyakitkan hati Dato’ Onn. Inggeris yakin strateji mereka untuk menyingkirkan Dato’ Onn akan berjaya. Mereka khuatir jika mereka membiarkan Dato’ Onn terus menerajui UMNO dan merdeka, besar kemungkinan Dato’ Onn akan membelakangkan nasihat dan tiada hubungan baik antara Tanah Melayu dan British. Manakala pada waktu yang sama British mempunyai dasar penjajahan langsung kepada Tanah Melayu bagi memastikan bahan mentah dan segala keperluaan dagangan yang menguntungkan British selama ini berterusan.

Dalam suasana getir dan tegang berhadapan dengan orang Melayu, Sultan Johor dan raja-raja Melayu serta Inggeris inilah, Dato’ Onn berada dalam dilemma dan mengeluarkan ungkapan ‘ mulut saya sudah dijahit….”. Ini adalah kerana beliau tahu bahawa orang Melayu tidak akan menerima cadangannya yang sebenarnya disyaratkan oleh Inggeris jika orang Melayu hendak merdeka. Beliau juga tahu bahawa beliau akan dibenci dan ditolak oleh orang Melayu sendiri kerana jarum halus yang dicucuk Inggeris mengatakan Dato’ Onn ingin memimpin seluruh Tanah Melayu dan berkepentingan peribadi. Beliau juga yakin bahawa beliau akan disingkirkan jika tidak bersetuju memperjuang kemerdekaan segera. Beliau juga tahu bahawa ini adalah salah satu strateji Inggeris untuk menyingkirkan dirinya dari pesada politik Tanah Melayu.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Kelab Sultan Sulaiman KL 1.3.2012

 
Copyright 2009 Sejarah
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere