Sejarah Dongeng PAS

0 comments


Sejarah Dongeng PAS

Apabila sahabat handai meminta pendapat Tun Sheikh mengenai Parti PAS berikutan perkembangan terbaru hasil Muktamar Ke 61, Tun Sheikh bertanya semula kepada mereka, mengapa Tun Sheikh..? Selamba dan spontan mereka menjawab sebab Tun Sheikh tahu serba sedikit sejarah. Tun Sheikh adalah anak jati Johor yang telah lahir dan dibesarkan dalam lingkungan keluarga AMNO, keluarga PAS, keluarga Parti Tanduk Lembu (Sosialis), Keluarga  Parti IMP, Parti Negara dan juga Kesatuan Melayu Muda sebelum AMNO wujud. Saudara mara, bapa saudara, datuk dan nenek saudara Tun Sheikh terlibat dalam politik sebelum Tun Sheikh lahir lagi. Malah ada yang pernah menjadi komunis Melayu. Itulah sebabnya Tun Sheikh pernah menulis dan mengatakan bahawa kalau komunis Melayu itu tidak percaya tuhan, maka itu adalah fitnah dan pembohongan sahaja. Tapi kalau kata tidak solat atau sembahyang, itu perkara biasa. Orang Amno totok yang bergegar-gegar mengaku Melayu jati dan Islam pun ada yang tidak sembahayang. Itu perkara biasa sebab tidak mengetahui bahawa diri sendiri jahil dan budaya Melayu memang tidak mahu mengaku jahil. Mengaku bodoh sanggup tapi kalau dipanggil bodoh jadi naik berang .

Dalam keluarga Tun Sheikh, sejarah dan cerita dongeng bertukar tangan dan Tun Sheikh adalah antara kerabat atau waris yang suka diperdengarkan dengan cerita-cerita dogeng saudara mara kerana Tun Sheikh sejak kecil memang suka mendengar cerita. Kalau berjumpa dengan saudara mara yang lebih tua iaitu pangkat abang, kakak, emak saudara,  bapa saudara atau datuk saudara, Tun Sheikh suka meminta mereka bercerita. Kalau cerita dongeng rakyat yang diceritakan dan pernah Tun Sheikh mendengarnya, Tun Sheikh akan meminta cerita lain. Tun Sheikh sejak kecil suka melopong mulut dengan penuh minat dan tidak bertanya soalan bodoh yang menjengkelkan tukang cerita. Orang moden kata perangai Tun Sheikh dalam Bahasa Inggeris ialah ‘ good listener’ atau Melayunya seorang pendengar yang baik. Kadang-kadang Tun Sheikh suka membuat provokasi tapi yang positif dengan pujian bagi meransang tukang cerita terus bercerita.

Berbalik kepada cerita PAS, setahu Tun Sheikh yang dikatakan ulamak sebelum wujud PAS adalah ulamak tidur. Ulamak yang merasai cukup apa yang ada dan kuat tawakalnya tetapi kurang usaha ke arah memperbaiki mutu kehidupan seharian. Mereka kuat berzikir dan beribadah di atas tikar sembahyang sehingga sering terlelap di situ. Mereka berjaya melahirkan daei dan pendakwah yang beradab dan berakhlak mulia. Mereka tidak berminat politik dan tidak menceburkan diri dalam politik semasa itu. Mereka sangat dihormati oleh masyarakat. Kebanyakan mereka mengamalkan cara hidup zuhud. Dunia seperti musuh dan terasing. Murid diajar supaya meletakkan urusan dunia di bawah tapak kaki. Murid diajar supaya berpegang teguh kepada ajaran agama, beramal ibadah dan berdakwah. Kehebatan mereka ialah air liur mereka masin. Maksud disini ialah istilah kekeramatan para ulamak ketika itu. Doa mereka makbul. Sumpah mereka mengena. Tegoran mereka berbisa dan digeruni.

Golongan manusia Melayu yang mula-mula membawa idea politik bukanlah AMNO dan bukan ulamak Melayu. Tetapi adalah golongan terpelajar agama dari Timur Tengah dan mereka tidak mengaku diri mereka seabagai ulamak. Mereka dikenali sebagai Kaum Muda. Ulamak tradisional dan pengikutnya sangat dihormati masyarakat, popular dan tersohor  sebagai Kaum Tua. Kaum Tua berterusan berbalah dengan Kaum Muda yang membawa pelbagai pembaharuan. Kaum Muda bertungkus lumus berdakwah supaya anggota masyarakat bangun dari tidur. Jangan terus lena seperti tuan-tuan guru mereka yang hanya sibuk dengan hukum-hakam agama. Lebih menyedihkan apabila Kaum Tua asyik berhujah mengenai hukum hakam dengan bersandarkan rujukan guru dan guru kepada guru mereka. Mereka tidak sedar bahawa dunia memerlukan tenaga yang ageresif kerana dunia Islam di Timur Tengah sudah ditawan si kafir dan si munafik. Musuh kafir berusaha mengkafirkan dan meanyesatkan umat Islam secara halus seperti gunting dalam lipatan. Hal ini tidak disedari oleh Kaum Tua.

Dakwah dan ideology yang dikenali sebagai politik moden kerana berjuang menuntut kemerdekaan bernegara ini masih sangat kabur di kalangan Kaum Tua. Malah mereka menjadi batu penghalang pula dengan mengeluarkan fatwa sesat kepada Kaum Muda sehingga masyarakat Melayu bercelaru fikiran. Yang menyahut ideology Kaum Muda ialah pemuda-pemuda berpendidikan Melayu, guru-guru Melayu, guru-guru sekolah agama kerajaan dan pemuda-pemuda Melayu yang tidak tinggi pelajaran. Manakala pemuda-pemuda Melayu berpendidikan Inggeris hanyut dengan pengaruh Inggeris. Mereka hayal dengan penghormatan yang sengaja dicipta penjajah meskipun hanya bekerja sebagai budak pejabat yang tahu sedikit berbahasa Inggeris. Golongan yang berpendidikan tinggi pula hidup terasing daripada kebudayaan Melayu sendiri kerana berbangga dengan status sosial mereka. Mereka tidak sedar mereka diperalat oleh penjajah dalam pentadbiran bagi memudahkan penjajah membawa keluar hasil bumi tanah air mereka sendiri.

Apabila dunia dalam era memerdekakan negara jajahan setelah tamat Perang Dunia II, penjajah Inggeris segera mencari proksi mereka di Tanah Melayu. Ekonomi diberikan kepada bangsa Cina dan pentadbiran kepada bangsa Melayu. Mereka sedar mereka akan diusir oleh pejuang kebangsaan tulin lantas mereka memilih AMNO dan menekan orang Melayu supaya bersatu dalam AMNO sahaja. Tujuan tersirat mereka agar mudah bangsa Melayu ini dicucuk hidung. Bila orang Melayu bersatu melalui AMNO mereka tidak melupakan golongan  Kaum Tua yang dianggap begitu keramat dalam masyarakat. Kebanyakan pemuda Melayu tidak berpendidikan tinggi dalam bidang agama mahupun pendidikan Melayu. Sehubungan itu mereka mengangkat golongan ulamak terlibat dalam parti. Kaum ulamak ini merasa diri mereka tersepit kerana tidak berpengetahuan dalam pentadbiran. Kehendak mereka supaya pelajaran agama dan syariat Islam diutamakan tidak dipersetujui oleh kumpulan Melayu berpendidikan Inggeris yang membawa akibat keluarnya golongan ulamak dari AMNO pada tahun 1951 dan menubuhkan PAS pada tahun berikutnya.

Sehubungan itu, dapatlah kita gambaran ringkas apabila PAS mengangkat ulamak untuk mentadbir negara moden tanpa sedar bahawa ada peringatan dan petunjuk dalam agama agar jangan melantik pemimpin yang bukan ahli kerana akan merosakkan komuniti atau sesebuah negara itu sendiri. Oleh itu bagaimana pula cita-cita negara dengan syariat Islam yang diidam-idamkan. Secara ringkas Tun Sheikh menjawab, tunggulah 50 tahun lagi. Itu pun jika PAS mulai dari sekarang, perlulah belajar lagi bagi menyiapkan diri untuk itu. Namun janganlah berputus asa kerana niat itu akan dinilai walau hajat dan usia tidak kesampaian.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Gombak 19.6.2015

Sejarah Penubuhan MAGERAN dan BARISAN NASIONAL

5 comments


Sejarah Penubuhan MAGERAN dan BARISAN NASIONAL

BN ialah kependekaan ejaan Barisan Nasional.  Barisan Nasional ditubuhkan pada tahun 1971 setelah pembubaran MAGERAN (Majlis Gerakan Negara). MAGERAN ditubuhkan setelah Kerajaan Perikatan mengisytiharkan DARURAT berikutan Peristiwa 13 Mei 1969. MEGERAN telah diketuai oleh YAB Tun Abdul Razak bin Hussein, Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Majlis ini diberi kuasa penuh mentadbir sementara Negara dan bertanggungjawab membuat penyiasatan dan mengambil tindakan mengatasi  permasaalahan yang timbul sehingga menyebabkan berlakunya keganasan dan rusuhan kaum  13 Mei 1969.

 Ahli MAGERAN terdiri daripada tokoh-tokoh dan ketua politik pelbagai kaum, pemimpin-pemimpin kesatuan masyarakat bukan kerajaan dan politik,  pakar pelbagai bidang, Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Hakim Negara. Tokoh yang sangat besar memainkan peranan dalam MAGERAN ialan Tun Razak sendiri, Tun Dr. Ismail dan Tan Sri Ghazali Shafie.  Buah tangan MAGERAN ialah penubuhan Barisan Nasional menggantikan PERIKATAN dimana YM Tunku Abdul Rahman terpaksa melepaskan jawatan Perdana Menteri kerana dianggap salah satu penyebab tercetus Peristiwa 13 Mei. Beliau dituduh terlalu bias kepada kaum asing terutama  Cina dan India  sehingga mengabaikan kepentingan bangsa Melayu.

Peristiwa 13 Mei 1969 berlaku kerana ketidakpuasan orang Melayu terutamanya UMNO apabila calon-calon Perikatan kalah teruk di handar-bandar besar. Kemarahan dan ketidakpuasan ini memuncak apabila melihat kerenah dan kebiadapan parti DAP menunjukkan keangkuhan dalam perarakan meraikan kemenangan besar calon-calon parti itu di Kuala Lumpur, Ipoh dan Pulau Pinang. Ketika itu parti DAP dan lain-lain kecuali UMNO dan MIC amat jelas berjaya mempengaruhi kaum Cina dengan isu-isu perkauman dan bercita-cita merampas kuasa melalui pilihanraya. Pembantaian, pergelutan dan pergaduhan yang bermula di Kampung Baru Kuala Lumpur cepat merebak ke Setapak, Jalan Raja Laut dan kawasan berdekatan seluruh Kuala Lumpur. Banyak nyawa melayang dan terkorban.

Kerajaan  telah membubarkan parlimen dan mengisytharkan Darurat pada 16 Mei 1969. MAGERAN ditubuhkan dan mengambilalih kuasa pemerintahan. Perintah berkurung seluruh negara terutamanya Kuala Lumpur dikuatkusakan serta merta. Kuala Lumpur, Ipoh dan Pulau Pinang dikawal rapi oleh angkatan bersenjata MAGERAN. Setelah  dua minggu perintah berkurung , pihak keselamatan mengambil masa selama 2 bulan membersihkan sampah-sarap, kenderaan-kenderaan, rumah-rumah dan kedai-kedai  yang rosak, terbakar dan yang musnah. Beratus nyawa dari pelbagai kaum terutamanya Cina dan Melayu  melayang dan banyak  nama-nama yang didaftar masih hilang hingga ke hari ini. 

Apabila keamanan pulih seperti sediakala dan segala perancangan MAGERAN berjalan lancar, kuasa pun diserah kembali kepada parlimen dan MAGERAN dibubarkan. Barisan Nasional diketuai oleh perdana menteri baru YAB Tun Abdul Razak dan Timbalannya Tun Dr. Ismail. Misi dan objektif Barisan Nasional pada mulanya kelihatan begitu jelas untuk kebajikan dan perpaduan kaum disamping memajukan ekonomi secara pratis dan adil berpandukan Dasar Ekonomi Baru, Dasar Muhibah dan Perpaduan dan semua rakyat dikehendaki berpegang teguh kepada Etika dan Prinsip Rukunegara yang diperkenalkan.

Parti pembankang juga dipelawa menyertai Barisan Nasional  memerintah Negara untuk kebaikan semua rakyat. Di antara parti pembangkang yang tertarik dengan keikhlasan Barisan Nasional ialah Parti Gerakan dan PAS yang telah turut serta menjadi kerajaan dalam Barisan Nasional. Tetapi bagi PAS, mereka terasa tekanan demi tekanan dikenakan secara halus sehingga menyentuh dasar prinsip perjuangan PAS iaitu menjadikan Islam dalam segala hal bernegara dan budaya hidup. PAS terasa digula-gulakan dengan anugerah jawatan menteri kepada presidennya Dato’ Asri dan timbalan menteri kepada Dato’ Mustapha Ali. 

Apabila PAS terasa banyak prinsip-prinsip asas perjuangan parti diminta ubah dan dikurangkan oleh Umno, PAS mengesan penipuan dan terjerat dengan helah politik Umno lalu keluar dari Barisan Nasional  menyertai  kumpulan pembangkang. PAS amat bersyukur kerana menyedari penipuan halus Umno di peringkat awal. Mereka mendapati Umno sering bersikap hipokrit dengan alasan politik pada hal sebenarnya Umno selama ini kuat kerana aura tipu dan helah yang membudaya dalam masyarakat Melayu yang dihayalkan dengan pembangunan. Apabila Umno mendapati pengaruhnya sudah kuat, mereka mula mengkhianat khususnya kepada parti-parti lawan termasuk PAS semasa di dalam Barisan Nasional kerana PAS dianggap sering menjadi batu penghalang terhadap program-program yang menguntungkan politik dan pembangunan fizikal termasuk ekonomi tetapi tidak dipersetujui PAS kerana melanggar dan bertentangan syariat Islam.

BN terus dengan agenda mereka khususnya dengan perancangan Dasar Ekonomi Baru, Rancangan Pembangunan Lima Tahun, Rancangan Pendidikan Kebangsaan, Rancangan Hijau Pembangunan Pertanian dan lain-lain. Semuanya pada dasarnya adalah bagi kepentingan Melayu. Untuk keadilan dan kestabilan ekonomi semua kaum, kearah keharmonian dan keamanan dan kemajuan Negara. Terlalu banyak kelemahan kerana kurang kepakaran dan ahli dari kalangan Melayu. Akibatnya lebih banyak yang gagal dari yang berjaya. Kerajaan mengeluarkan banyak belanja memberi latihan, memantau, dan memberi modal tetapi banyak juga yang khianat dan belot sehingga mengujudkan budaya baru dalam ekonomi iaiti ALI  BABA dan Kumpulan Pakar Perunding yang menyeleweng.
Sejak dari penubuhan BN, pelbagai kerenah dan aktiviti sama ada yang positif dan negative dilalui dan dialami menjadi pengalaman kepada Melayu Umno. Sehingga ke hari ini, wajah-wajah mereka  sangat jelas menggambarkan apa yang ada dalam minda dan hati mereka. Jika ditanya kepada orang alim agama yang sememangnya tidak disukai oleh Umno kerana mengetahui firasat dan rahsia mereka, jawapannya ialah “ kebanyakan mereka memancarkan aura hipokrit kerana kepentingan diri, nafsu dan duniawi.”

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Tanjung Puteri JB 30.12.2013

Meninjau Sejarah Dari Perspektif Kerabat Terpinggir

2 comments


Meninjau Sejarah Dari Perspektif  Kerabat Terpinggir
Tun Sheikh masih ingat pesanan Allahyarham Cikgu Shaharum Hussein seorang tokoh sejarawan dan budaya Johor. Beliau memesan supaya kita mencatat dan menulis apa yang terlintas mengenai sastera, sejarah dan budaya atau apa sahaja yang terilham agar tidak hilang begitu sahaja apabila kita meninggal dunia atau terhapus kerana kelupaan. Biar orang yang pakar di kemudian hari mengkajinya atau setidak-tidaknya hasil dari catatan kita akan dapat membantu mereka mengembangkannya, membuat penyelidikan atau mencetuskan ilham yang baru yang lebih otentik mengikut kepakaran dan kemudahan atau fasiliti canggih yang dimiliki mereka.
Hal ini memang ada kebenarannya kerana baru-baru ini Tun Sheikh menerima beberapa pertanyaan sama ada meminta bantuan mahupun menambah tokok terhadap fakta sejarah tokoh dan tempat yang pernah Tun Sheikh tulis daripada generasi muda & juga daripada ahli keluarga yang ingin menyelidik susur galur keturunan mereka. Kerabat Temenggong Muar misalnya sangat berterima kasih kepada Tun Sheikh kerana menulis biografi ringkas Wan Idris bin Wan Ibrahim, bekas menteri besar Johor  yang amat kurang catatan rekod mengenai sejarah dan sumbangan beliau dalam kerajaan negeri Johor. Mereka berterima kasih kerana mendapat pencerahan dan idea mengapa keturunan Temenggong Muar seolah-olah dianaktirikan. Pada hal Temenggong Muar mempunyai daulat tersendiri kerana mempusakai tanah jajahan dan pemerintahan sendiri seperti kuasa otonomi yang dianugerahkan oleh Sultan Melayu Johor-Riau dan Pahang.
Di bawah ini sukalah Tun Sheikh memuat turun jawapan yang pernah Tun Sheikh berikan kepada ahli waris Orang Kaya Muar yang telah terpinggir yang berminat menyelidiki asal-usul keturunan mereka. Bagi Tun Sheikh keturunan Orang Kaya Muar juga mempunyai keunikan dalam memainkan peranan memajukan Muar dan mereka juga mempunyai daulat tradisional kerana kawasan Padang Muar adalah kurnia daripada sultan Melaka kepada putera keturunan Melayu Bugis Campa. Mereka dikurniakan daerah dan sekeliling kawasan Bukit Mor Muar kerana keturunan mereka pernah menguasai alam Melayu Nusantara sebelum kewujudan Kesultanan Melaka. Raja Melayu Campa ini pada suatu ketika dahulu pernah dilagendakan berkerajaan di Muar tetapi masih belum dapat dipastikan lokasinya yang tepat. Artifak tertua yang ada sedikit kaitan dengannya adalah terhadap ‘gendang dongsong’ yang dijumpai dari dasar Sungai Muar. Terdapat juga beberapa catatan hasil kajian lisan terhadap kebudayaan orang sakai atau orang asli Muar yang mengatakan kerajaan Muar Tua/purba pernah dikenali sebagai Kouli yang perkataan Melayu asalnya ialah Kuala, Kole dan  Kouli. Di Muar juga terdapat cerita lisan, dogeng, mitos dan lagenda mengenai budaya dan kehidupan masyarakat silam seperti Hikayat Malim Dewa, Hikayat Puteri Gunung Ledang (visi Jawa), Cerita Si Tanggang (visi orang Asli) dan lain-lain.
Jawapan Tun Sheikh terhadap beberapa pertanyaan dari keturunan Orang Kaya Muar adalah seperti berikut:
“MKsalam wbt., Sy amat berterima kasih di atas emel tuan.
Dalam kajian sy bersama Persatuan Sejarah Malaysia Muar & Yayasan Warisan Johor melalui Sejarah Lisan/menemubual kaum keluarga & kerabat berkaitan tokoh (Hj Md Noh) &  Kg Bakri dan melalui beberapa dokumen/rekod sejarah yang amat terhad, sy tidak menjumpai nama Pandak Yahya kecuali beberapa tokoh Muar yang banyak menggunakan gelaran Hj Long.

 Md Noh bin Lebai Hj Muhamad ialah peneroka Bakri  pd tahun1869 & peneroka Kg Sg Raya Bukit Pasir (*1881). Beliau lahir di Ceribon pd 1850 & meninggal *1923 di Bakri, adalah orang Jawa-Arab dari keturunan Raja Ceribon/Sunan Gunung Jati (Wali Songo). Sg Raya dikurniakan kpd Hj Md Noh oleh Kerabat Diraja Pagoh utk diterokai oleh orang Jawa yang diketuainya setelah beliau bernikah dgn Wan/Tun Hawa  puteri Engku Muda Mansor. Engku Muda Mansor ialah adinda Sultan Ahmad Pahang tlh menikahkan anakanda beliau dlm usaha mencari pengaruh & sumber dana kewangan utk memberontak menentang kekanda beliau yg mungkir janji.

Hj Long anak kepada Hj Md Noh jadi Naib Penghulu Bakri sekitar 1915-1941 tetapi tidak ditauliah oleh Sultan Johor kerana sebab-sabab dasar & politik Johor ketika itu.Beliau berkhidmat dengan Orang Kaya Muar (Orang Kaya Yusuf) dan selepas Perang Jepun anak Orang Kaya Yusuf bernama Hj Abd Kadir bekas Askar Sultan (JMF) dijadikan Ketua Kg Bakri (*1946-1956).

 Hj Abd Kadir adalah biras & sahabat kepada Md Yasin JMF bin Hj Long kerana Md Yasin JMF bernikah dgn Cik Kalsom, adik isteri Hj Kadir.  Mereka  berdua pernah berkhidmat dalam JMF & selepas bersara, mengetuai Kumpulan Harimau yang sangat terkenal dan digeruni ketika itu. Kumpulan Harimau ialah Kongsi Gelap Melayu bandar Muar naungan Sultan Ibrahim. Kumpulan Harimau  diasaskan oleh Hj Abdullah Taiko iaitu datuk Md Yasin JMF sebelah ibu pd tahun *1890 dan dibubarkan oleh Md Yasin JMF pd 1949 (ketua mengikut urutan ialah Abdullah Taiko, kemudian anaknya Wak Mian, Hj Kadir bin Hj Yusuf & Md Yasin JMF) .

 Sy tertarik dengan nama Kadir dan Busu Mon kerana pernah timbul dalam kajian kami tetapi sy tidak pasti adakah mereka orang yg sama. Hj Abd Kadir & Busu Mon ada pertalian saudara kerana mereka adalah keturunan Orang Kaya Muar. Ini termasuklah Tan Sri Kadir Samsudin & isteri. Sehubungan itu sy percaya Pandak Yahya ada pertalian saudara dengan Orang Kaya Muar dan berketurunan daripada Orang Melayu Bugis Campa yang terkenal memerintah Padang/Muar.
Salasilah mengenai Orang Kaya Muar boleh tuan dapati dlm beberapa penerbitan di Perpustakaan Yayasan Warisan Johor & juga ada dalam simpanan Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Muar, Cikgu Hj Khamis bin Joned. Utk makluman tuan PM Dato' Najib & Dato' Hishamudin juga mempunyai talian darah keturunan Melayu Bugis Campa kerana ibu mereka adalah anak kpd Tan Sri Noah Umar dari keturunan Orang Kaya Muar.  Begitu juga dgn MB Johor Dato' Khalid & Dato' Ghani Othman.
Sy amat menggalakkan tuan membuat kajian lanjut mengenai datuk tuan kerana banyak perkara penting akan terbongkar sama ada politik, diskriminasi dsb & akhirnya kita akan dpt menambahkan fakta dasar & kebijaksanaan keturunan temenggong sehingga berjaya menjadi sultan & memajukan rakyat & negeri Johor. Setidaknya kita akan dpt menambah fakta utk sejarah Muar sdn kerana Muar sangat unik dlm sejarah & kebudayaan Melayu. Keturunan Orang Kaya Muar & peranan orang Jawa sangat banyak memainkan peranan sejak dahulu sehingga sekarang.
Selamat berusaha & sy sarankan tuan menulis dapatan/hasil penyelidikan tuan di internet agar boleh diakses oleh orang lain sekaligus menunaskan pengembangan & fakta-fakta baru yg akhirnya membantu ahli & pakar melakukan kesinambungan kajian sejarah mereka. Sekian. terima kasih.”

Dikesempatan akan datang Tun Sheikh akan menulis berkenaan keturunan Dato’ Naning yang telah terpinggir akibat politik Inggeris ketika menjajah Melaka. Beliau telah bercerita mengenai sejarah Naning dalam dimensi alam realiti dan kerohanian.
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Kota Melaka 9.10.2013

Apa Istimewa dan Hebatnya Pakatan Rakyat ( PAS, PKR, DAP) dan Barisan Nasional (UMNO, MCA, MIC dll)

0 comments


Apa Istimewa dan Hebatnya Pakatan Rakyat ( PAS, PKR, DAP) dan Barisan Nasional  (UMNO, MCA, MIC dll)

Ramai orang tertanya-tanya apakah keistimewaan dan kehebatan Pakatan Rakyat (PAS, PKR, DAP) berbanding BN (UMNO, MCA, MIC dll)? Jika mengikut trek rekod pemerintahan atau pentadbiran Negara, rekod lama dan berkemajuan mahupun aktif membangun, BN memang menjadi kebanggaan rakyat. Tetapi apakah tiada hak BN menuntut kelansungan kesetiaan rakyat terhadap mereka memandangka jasa dan pergorbanan mereka memajukan Negara adalah amat besar. Mereka sering mengajukan soalan mengapa pada ketika ini rakyat seolah-olah tidak menyokong BN dan kelihatan seperti tidak mengenang jasa sehingga perbidalan ‘kacang lupakan kulit’ sering digunakan. Pada hal mereka telah bertungkus lumus berusaha memajukan Negara dan menjaga keamanan sehingga dapat bertahan hampir 56 tahun sejak merdeka pada 1957.

Secara rengkas,  Tun Sheikh ingin mengatakan  bahawa  UMNOBN memang bagus sejak dari dulu kerana dipelopori oleh tokoh-tokoh berpendidikan tinggi,bijaksana dan pintar,  ikhlas, amanah dan hebat-hebat kewibawaan dan ketokohan mereka. Mereka berjaya menunjukkan persefahaman dan toleransi yang tinggi diantara sesama kaum dan juga dengan yang berlainan seperti di antara Melayu dengan Cina dan India yang menjadi induk kesepakatan dalam PERIKATAN dan kemudiannya Barisan Nasional. Persefahaman dan kesepakatan mereka sangat bermutu dan memiliki nilai sejagat yang amat tinggi sehingga pemerhati dan penganalisis dari luar juga mengagumi mereka. Ini adalah kerana persefahaman dan kesepakatan mereka yang terdiri dari berbilang kaum berjaya menidakkan keujudan kumpulan pendesak lain sama ada dari golongan politik, social mahupun pekerja atau  ekonomi. Ini termasuk pelbagai kumpulan yang menjadi persaingan dengan mereka.

Dalam menyusuri rantaian perjalanan, perkembangan dan kemajuan dari peringkat awal penubuhan sehinggalah sekarang sebenarnya pelbagai liku dan pengorbanan mahupun pengalaman pahit banyak dilalui oleh BN. Hal ini telah mematangkan mereka dalam sejarah pergerakan dan pembangunan politik mereka. Mereka dianggap terbaik kerana lama bertahan sehingga melebihi separuh abad dan bakal mencipta rekod dunia sebagai sebuah entity politik yang terlama memerintah dan mentadbir sebuah Negara yang merdeka. Kredit dan pujian-pujian ini adalah tertuju secara khusus kepada UMNO dengan sekutunya yang menjadi parti induk dalam BN. UMNO ditubuhkan pada 1946 dan masih bertahan sehingga ke hari ini. Namun pada hakikatnya sangat banyak pengorbanan dan perlepasan hak Melayu telah dikorbankan dan ini tidak disedari oleh rakyat biasa.

UMNO telah tergugat secara besar-besaran  apabila ahli-ahli pendokong Biro Islamnya yang terdiri dari para ulamak dan pencinta agama tidak bersetuju dengan pengorbanan dasar parti yang mengutamakan pendidikan skular sebagai dasar UMNO. Pada 1951 UMNO kehilangan pakar agama yang telah keluar beramai-ramai menubuhkan PAS. PAS sehingga kehari ini masih wujud dan semakin kuat dan berpengaruh. Kelebihan dan keistimewaan PAS ialah memiliki dan mengamalkan dasar dan prinsip  berdasarkan Islam yang memegang teguh kepada panduan dan rujukan kepada sumber Quran dan Hadis. PAS membawa penentangan terhadap kebatilan dalam UMNO dari dahulu hingga sekarang.

UMNO memang mengharapkan PAS lenyap dan luput kerana sering menjadi kekangan dan membatasi aktiviti dan programnya  yang menyalahi syariat Islam. PAS kini menjadi persaingan hebat kepada UMNO dan perjuangannya yang sentiasa  dan terus istikamah sangat dicemburui UMNO. Meskipun PAS berhadapan dengan pelbagai dugaan dan fitnah tetapi mereka tetap menjalankan amanah agama sehingga boleh dikatakan sebagai polis yang mengawal dan pengimbang budaya Melayu. Keistimewaan dan kehebatannya meskipun berasal usul dari UMNO, PAS terus berjaya menjadi entity memperjuangkan syariat Islam supaya tidak diketepikan dalam budaya bangsa Melayu.

UMNO terus dengan sejarah menuntut kemerdekaan 1957 dengan Penubuhan Perikatan, Pembentukan Malaysia 1963, Perpisahan Singapura 1965, Peristiwa Hitam 13 Mei 1969, Darurat dan MAGERAN 1969-1971,Pembentukan Barisan Nasional 1971,  Pengharaman UMNO 1985 dan UMNO Baru,  Pemecatan TPM dan kebangkitan Reformasi 1998, Perlepasan  jawatan PM yang dituduh otokratik 2003, Pembentukan Pakatan Rakyat 2008 dan Tsunami Politik Pembangkang dan ketika ini tekanan kepada politik wang dan perkembangan politik budaya rasuah.

UMNO terus dapat bertahan dan dapat terus membangunkan Negara. Ini merupakan keistimewaan dan kehebatan UMNOBN. Kecemerlangan dan kegemilangan UMNOBN mulai merosot di zaman  Dr.Madey yang mengimarakkan budaya kroni dan nepotisma di sebalik Dasar Pandang Ke Timur dan Penswastaan Negara. Kecenderungan mentadbir secara otokratik menyubur dan budaya rasuah berleluasa di peringkat tertinggi. Ketika ini banyak tokoh pemimpin pelapis yang berbakat telah keluar dan enggan menyertai UMNOBN . Meskipun dalam panorama yang menurun tetapi kelihatan masih gah dan dapat bertahan kerana publisiti projek mega yang dianggap berjaya.

Keistimewaan dan kehebatan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula adalah kerana dibarisi oleh pemimpin muda berbakat dan  ahli –ahli UMNO yang anti rasuah, kezaliman dan penindasan, anti kroni dan nepotisma dan anti otokrasi yang dituduhkan kepada pemimpin tertinggi UMNO iaitu Dr Madey. PKR tertubuh hasil dari perjuangan ‘Reformasi’ yang dicetuskan oleh TPM DSAI yang dipecat dan dipenjara oleh Dr Madey kerana enggan bekerjasama menyelamatkan syarikat mega kroni-kroninya. Keahlian mereka terbuka kepada semua bangsa dan telah mendapat sambutan hangat serta pesat membangun . PKR terus aktif sehingga ke hari ini. Semua rakyat  terutama yang pro UMNOBN yang menyokong dasar keadilan yang diperjuangkan telah menyertainya termasuk dari MIC dan MCA yang tertekan dengan dasar-dasar Dr Madey dan amalan pentadbiran otokrasinya. Jelas, keistimewaan dan kehebatan PKR ialah perjuangan terhadap anti rasuah dan keadilan kepada semua rakyat.

Manakala DAP, dapat merasakan perjuangan parti mereka selama ini sejak berpisah dengaan parti induknya iaitu PAP di Singapura dan bersaing dengan MCA yang dikongkongi  oleh UMNO perlu bersekutu dengan meninggalkan sentiment perkauman yang dilabelkan kepadanya. Mereka tidak menerima parti mereka DAP dianggap rasis kerana keahliannya adalah terbuka kepada semua kaum tidak seperti UMNO, MCA dan MIC. Dasar perjuangan mereka juga terhadap pelbagai isu menuntut keadilan dan persamaan hak selaku warganegara Malaysia tanpa membelakangi  atau menentang ketetapan Perlembagaan Malaysia khususnya yang berhubungan dengan isu Hak-hak Keistimewaan Bumiputera. Mereka sedar kerasisan yang dinafikan oleh mereka sering dipolimik dan mereka  sering difitnah berfahaman atau setidak-tidaknya menyokong komunis.

Apabila PAS, PKR dan DAP bersatu dalam Pakatan Rakyat, objektif perjuangan mereka bertambah terserlah. Kompromi dan toleransi tinggi mereka seolah-olah pengganti kepada BN yang terus merosot kerana budaya rasuah mereka telah membarah dan teguran demi teguran rakyat tidak dipedulikan. AMNOBN kelihatan begitu rakus mengumpul harta dan kekayaan untuk kepentingan pribadi sehingga kelihatan bersaing dengan begitu hebat sesama sendiri.

 Pada waktu yang sama kesempitan hidup rakyat bawahan dan seruan meminta penyelesaian masalah kesempitan hidup tidak dihiraukan oleh AMNOBN. Mereka asyik berlumba sesama sendiri mengambil peluang yang terhampar sehingga terlupa kepada amanah dan sanggup menyeleweng dan pecah amanah. Sikap sombong dan angkuh sangat mengecewakan rakyat.  Permintaan supaya mereka membasmi dan mengatasi masalah budaya rasuah yang tidak dihiraukan bertukar kepada keinsafan dan keinginan rakyat untuk menggantikan mereka dengan pemimpin atau parti lain yang lebih berwibawa, amanah,  istimewa dan hebat daripada mereka. Semoga PR 13 berjaya menginsafkan AMNOBN!!

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Parit Jawa Muar 4.5.2013

 
Copyright 2009 Sejarah
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere